Tuesday, March 9, 2010

Pada Detik Itu





6 Mac, 2010 saya berada di bumi Klang. Setelah berbelas tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke situ tanpa di duga saya dapat melihat Klang yang sudah berubah wajah. Hari ini pula hari ulang tahun kelahiran anak sulung saya. Ketika meninjau panorama dari tingkap hotel sudah pasti saya tidak akan  pernah lupa satu masa dulu. Saat-saat  payah mengajar anak membuat keputusan. Antara pilihannya dan kehendak hati kita. 

Keputusan meneruskan pengajian di KISAS adalah saya rasakan satu keputusan besar yang pernah di buatnya. Kini saya pasti dia bersyukur dan berbangga diberi peluang belajar dan menimba pengalaman hidup di bumi wakafan.itu. Walau dimana kita berada sudah pasti akan ada saat manis dan saat pahitnya. Itulah warna kehidupan. Sudah pasti segala warna itu akan mematangkan fikiran dan menjadikan kita orang yang lebih baik dari hari semalam.

Saya hanya sempat mengirim SMS pada hari itu kerana jadual yang padat. . Kami menyambut hari lahir dalam bulan yang sama. Sebagai anak sulung sudah pasti dia mendapat perhatian yang lebih dari kami. Dia dilahirkan di Royal Sussex Hospital  ketika suami saya sedang bergelut dengan ijazah pertamanya. Melalui hari-hari awal hidupnya  di Park Village, Falmer bersama kami berdua. Hanya gambar yang dapat dikirimkan kepada wan , atuk dan kedua mak toknya di Malaysia. Ketika itu mana ada webcam dsbnya. Jika ingin menunggu berita terpaksa menulis di aerogram kerana jauh lebih murah dan mencetak gambar hanya melalui pos sahaja. Kakak juga dibesarkan di banyak tempat. Dari Brighton kami berpindah ke P. Pinang kemudian ke Kuantan, Liverpool, Alor Setar dan Bertam sebelum dia  menetap di Kota Bharu.

Sudah jauh rupanya anak saya ini berada di lorong kehidupan. Dari seorang sudah berdua dan kini bertiga. Sudah pasti sebagai ibu bapa kami hanya mendoakan yang baik-baik sahaja.Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan maka berkayuhlah menuju pulau harapan bersama jurumudi yang diharap dapat membawa kolek selamat di dunia dan di akhirat. Harapan bercinta sudah pasti ingin sehingga ke syurga. sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Berbincang dan sentiasa mengamalkan musyawarah adalah sebaik-baik pegangan. Sebagai ibu bapa kami sudah menyelesaikan sebahagian tugas sebagai ibu bapa dan kini tugas itu sudah diserahkan kepada suaminya. Jika ingin menaikkan ikan ke darat jangan sampai pancing patah atau kita jatuh ke air. Wanita dijadikan Allah untuk dilindungi dan disayangi. Dibetulkan mana yang silap dan ditambah mana yang kurang. Semuga perjalanan yang masih jauh itu akan dibekali dengan iman dan taqwa selaras dengan usia yang bertambah dan fikiran yang makin matang. Jika ingin melihat generasi masa depan lihatlah wanitanya hari ini. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Didiklah anakmu agar dia cinta kepada Allah Dan Rasulnya. Hidup bersyariat adalah sebaik-baik anugerah dari Allah kepada kita.

"Selamat Ulang Tahun...kakak. Tambah usia tambah iman dan tambah matang dalam berfikir dan bertindak."






No comments: