Wednesday, May 26, 2010

Meracik Rampai

Hari makin dekat...kerja makin banyak. Mujurlah rakan kongsi saya baik hati nak lepaskan saya bercuti awal untuk consentrate pada kenduri nanti. Waduh!!! banyaknya kerja depan mata dan dalam kepala. Mujur juga budak KMB yang sedang bercuti panjang tolong buat itu dan ini. Dia sudah jadi sub-con saya untuk menyelesaikan tugasan yang kian bertambah. Suami pula dalam saat -saat 'kecederaan' ini kena pula ke perkampongan Orang Asli kat Tasik Banding untuk khidmat masyarakat. Berat mata memandang, berat lagi kepala memikir. Dengan berat hati saya terpaksa merelakan dia pergi. Kad jemputan sudah dan sedang diedarkan. Berbagai pengalaman manis yang dihadapi sepanjang membuat tugasan ini.



Pada suatu hari, saya mendapat kejutan .tiba-tiba rakan sekolah menghubungi. Nombor dia dapat dari kad yang diedar bakal besan. Kecilnya dunia. Dia yang teruja kerana kedua-dua pihak sama-sama budak Asma dan budak Kolej. Tapi R., .kami tak kenal pun masa sekolah kat Jalan Langgar tu tau! Walaupun setiap hari cycled kat depan sekolah Kolej dan sabar menanti keretapi lalu kat lintasan dekat sekolah depa tu. Bakal pengantin  pun  tak saling kenali walaupuan sama-sama  SKTU dan rumah pula hanya dipisah Jalan Sultanah. Jodohlah kata kan, ,macam juga rezeki datang dari punca yang tak diketahui. Bila Allah kata "Kun..Fayakun maka jadilah...

Bila ingin 'lari' sekejab dari stress ini, sudah pasti saya akan menjenguk ke blog dan Facebook. Melayan cerita terkini dari anak-anak dan anak-anak saudara di merata tempat. Ada juga kawan-kawan menawar diri untuk membantu apa yang patut ,tetapi ketika ini belumlah ada kerja yang betul-betul nak buat. Cuma saya sudah meminta jiran belakang rumah agar jangan memotong pokok melur dan daun pandannya. Saya juga sudah tidak malu-malu meminta bunga kerak nasi, ros dan melur dari jiran-jiran yang baik hati.Sudah pasti harum bunga rampai yang diadun mak dengan sandal wood, red roses dan atar dari Mekah itu akan menyimpul semua kenangan manis menyambut orang baru bertahun-tahun lamanya. Oh Tuhan! Permudahkanlah urusan kami.

Thursday, May 20, 2010

Patah Tumbuh Hilang Berganti


Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus selama dua tahun, lusa bang cik akan melangkah meninggalkan KMB. Sudah pasti ummi dan abu turut memahami betapa getirnya perjuangan untuk meraih kejayaan. Masa berusaha sudah selesai jadi tinggal berdoa dan terus bertawakkal mengharapkan poiter yang baik dan melayakkan  ke peringkat seterusnya.

Esuk juga para pelajar cemerlang SPM 2009 yang telah memohon dan menjalani temuduga Program Luar  Negara akan mengetahui keputusannya. Bagi yang berjaya tahniah dan teruskan usaha dan bagi yang tidak berjaya jangan berputus asa insyaallah masih ada peluang di tempat lain untuk anda menimba ilmu.

Buatlah pilihan yang terbaik demi masa depan anda. Bagi bakal siswa/i beberapa IPTA mereka akan mula mendaftar pada hujung minggu ini. Sudah pasti yang menunggu keputusan JPA/MARA tidak lena tidur malam ini. Bertenanglah kerana tinta sudah diangkat hanya ketukan jari sahaja selepas jam 3 petang yang akan menukar seluruh hidup anda selepas ini.

Faris dan Nini, selamat maju jaya. Kalau bakal masuk Ke KMB jangan lupa bertanya dan menimba tips dari 2 mentor kita, kak Rehan dan bang cik Syamil. Apa-apa pun jangan lupa info ngah ya!. Saja tumpang seronok melihat orang lain berjaya.

Wednesday, May 19, 2010

Rancang Dan Atur

Hari makin dekat kerja masih banyak belum selesai dan makin banyak pula yang menanti. Bila orang bertanya "Dah habis bersiap untuk kenduri?' Jawapan standard sudah pasti " Macam orang nak pi Mekah, selagi tak pergi ada-ada saja yang nak dikemaskan beg tu". Esuk lusa insyaallah akan bertolak ke Selangor pula. Disamping menjemput bang cik kami akan mengambil peluang menjemput keluarga senbelah emak di Simpang Pulai. Kalau ada rezeki harap-harap dapatlah merasa durian  dari kebun arwah tok.

Insyaallah, sudah dua kali merancang dan membuat persediaan menyambut tamu, bakal besan dan menantu. Tetapi  meskipun aturan kerjanya sama tetapi masih perlu dirombak dan diubahsuai di sana sini. Tenaga pun makin berkurang. Cepat sungguh rasa penat dan letih. Jika dulu pantas saja ke sana sini tetapi kali ini kena diambil sedikit masa untuk rehat dan melepas lelah.



Saya teruja bila suami berkata" Lepas ni kenduri kita buat kat dewan pula".Kalau ikutkan hati memang dah lama saya ingin diadakan di dewan sahaja tetapi bila diambil kira,  di tolak campur,  dicongak sana sini kami memilih untuk melangsungkannya di rumah.  Persiapan bukan bermula seminggu dua lalu tetapi sudah bermula sejak awal tahun lagi. Saya suka merancang awal supaya tidak kalut di saat akhir. Kita tidak tahu adakala berlaku berbagai perubahan mendadak yang memaksa kita menukar pelan dan strategi. Maklumlah dengan  kekangan masa sukar kita mengharap jiran dan sanak saudara datang membantu meringankan tugas, jadi supaya tidak pendek nafas merancanglah awal 




Friday, May 14, 2010

Let's Count

Saban waktu di kaca TV di semua channel gamat menyiarkan gimik demam World Cup di South Africa. Demam sudah bermula dan countdownnya bertepatan dengan countdown kami sekeluarga  .Rumah sedang di touch up dan difurbish di sana-sini.Alhamdulillah, suami sudah selesai memasukkan markah dan grade final exam jadi hari ini dia bolehlah mengambil cuti untuk mengurus beberapa hal. Dia yang man of all trade dan berjiwa DIY memang suka melakukan sendiri sebarang kerja pembaikan. Jadi kalau datang ke rumah waktu ini jangan terkejut melihatnya sedang  mengecat rumah atau  memasang railing curtain  sendiri. Kerja ini tidak dapat dilakukan sepenuh masa, dengan kekangan masa  kerja remeh ini hanya dilakukan selepas solat insyak  atau  kalau dapat cuti bolehlah dimula seawal jam 8.30 pagi. Saya yang tak pandai atau pun kalau teringin nak tolong tapi not up to the standart sekadar menjadi peneman bersembang , tukang bancuh air, tukang komen  atau  tukang mengubah perabut   Kalau rajin kami akan buka ceramah online  di mymaktaby.  Maklumlah kadangkala tak ada benda juga nak dibualkan tambah pula bila bantal-bantal kat katil tu bagikan memanggil-manggil. Hari kan dah lewat malam!!!

Persiapan untuk kenduri memang memenatkan. Padanlah  Wedding planner buat duit bukan main sakan bila musim kahwin. Alhamdulillah, pengalaman mengurus events NGO yang saya sertai membantu saya merancang dan mengatur acara besar ini. Yang penting sentiasa berdoa agar badan sihat  agar dapat bergerak pantas mengatur itu dan ini. Mujur juga anak saya belum bekerja tetap jadi dapatlah kami berbincang dan berbagi kerja. Adakala saya yang keluar, ada masa pula dia yang keluar atau ada juga ketika kami keluar bersama-sama. Insyaallah, seminggu lagi bang cik akan pulang mudah-mudahan dia dapat membantu mana yang patut. Yang pasti perlu disegerakan ialah membayar cukai jalan motor kapcai kat depan rumah tu, supaya dapat bergerak lebih jauh dan  membantu urusan kami .

Thursday, May 6, 2010

Lorong Kehidupan

Kata orang peluang berkumpul adik beradik, sahabat handai dan jiran tetangga hanya datang bila ada kenduri kendara atau kematian. Di masa lain masing-masing sibuk dengan tugas yang tidak pernah ada penghujungnya. Kala ke KMB untuk Majlis Restu awal bulan lalu saya  dan suami mengambil peluang untuk menjemput saudara mara dan rakan taulan yang ada di Lembah Kelang. Meskipun tarikh masih jauh tetapi masa yang senggang itu memang tidak wajar dilepaskan begitu saja.


Mujur ada Encik Garmin, alhamdulillah kami dapat sampai di depan rumah yang dituju dengan mudah. Teknologi adakala amat membantu walaupun dalam kebanyakan masa disalahgunakan oleh manusia. Sudah bertahun saya tidak mengunjungi sesetengah rumah. Bukan tidak ada keinginan dan kesungguhan sebelum ini untuk mengunjungi tetapi selalu sahaja tergendala atau terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana ada sahaja perkara lain yang mendadak.
Masa sudah jauh berubah. Dulu mungkin kita banyak  masa  untuk berkumpul dan berhimpun tetapi kini hanya dapat bertemu di alam maya lebih kerap dari di alam nyata. Ketika ini saya sedang berbual dengan abang yang sedang berada di Jogja kerana tugas. Sudah 2 tahun kami tidak bertemu muka. Bunyi macam teruk betul hubungan kekeluargaan kami tapi itulah realiti yang terpaksa diterima. Kesibukan dan tanggungjawab yang dipikul menjadikan kita sukar mencari titik pertemuan.  Ada orang kata Facebook membazir masa dan ada pula yang kata paling mudah menjejak sahabat yang hilang. Apa-apa pun kenalah diseimbangkan agar tidak leka dan lalai sehingga mengabaikan mana yang lebih afdal diutamakan. Era ibu-ibu menunggu posmen membawa kabar anak nun jauh di mata sudah berlalu. Jika ingin berbual melepas rindu hadaplah screen PC dengan sedikit bantuan,  anak yang jauh bagaikan berada  di hadapan kita sahaja. 


Perjalanan dari Taman Melawati, ke Ampang Jaya, Bukit Bangsar,Petaling Jaya, Putra Height, Bangi dan Sunway Semenyih berjalan begitu lancar sekali. Walaupun Garmin membawa kami melalui depan Pudu Raya tetapi mungkin kerana niat ingin menghubung silaturahim maka segalanya berjalan begitu lancar sekali. Pertemuan dengan  mereka yang satu waktu dulu begitu dekat di hati menjadikan saya sarat  dengan berbagai  rasa. Ada yang sudah kehilanagn pasangan hidup. ada yang sudah berpisah kasih dan ada yang sedang melalui saat gelap dan sukar. Hidup ini umpama roda. Sekejap di atas dan sebentar nanti di bawah pula. Jauh di sudut hati saya bersyukur kepada  Allah . Saya hidup dalam rasa bahagia yang melimpah ruah sedangkan di antara mereka yang saya kunjungi tidak sama dengan suratan takdir saya. 

 Perjalanan yang panjang dan memenatkan itu terusir bila melihat wajah-wajah ceria dan teruja melihat kita terpacak di depan pagar. Masa berlalu begitu cepat sekali , peluang begini tidak selalu datang. Sementara berpeluang dan berdaya ringan-ringankan badan menjengah  rumah-rumah yang kita sendiri sudah lupa jalan dan lorongnya. Jangan nanti sampai anak cucu kita sudah tidak kenal mana sepupu mana pak saudaranya. Zaman memang berubah tetapi nilai kemanusian dan silaturrahim itu adalah tali yang akan sentiasa mengikat hati-hati kita. Berpegang teguhlah dengan tali ini, insyaallah jika kita yang memulakan langkah Allah pasti tidak akan mensia-siakan  amal kita.

Wednesday, May 5, 2010

Resepi Sihat

Bila tinggal berdua sudah pasti sekali sekala datang rasa malas mahu masuk ke dapur. Sudahnya kami akan makan di luar sahaja selepas mendengar kuliah di masjid. Pilihan makanan sudah pasti yang ringkas dan tidak terlalu berat. Di Penang banyak kedai-kedai yang menawarkan roti benggali yang dicecah dengan sup. Bau sup yang kaya dengan rempah ratus dan panas berasap sentiasa menjadi pilihan kami berdua. 

Meskipun kami mengamalkan makan malam sebelum maghrib tetapi sekali sekala kami melanggar juga peraturan itu. Dulu ketika anak-anak masih bersama saya suka menyelesaikan makan malam awal kerana bila sudah solat maghrib mereka sudah dapat menumpukan perhatian kepada buku dan kerja sekolah masing-masing. Saya dan suami juga bebas dengan aktiviti masjid kerana urusan makan-makan sudah dapat selesaikan. Kini bila tinggal berdua sudah pasti rutin itu tetap diteruskan kerana banyak manfaatnya. Sejak dulu lagi ahli keluarga saya tidak menghadkan makan malam mesti ada nasi. Jadi bila kami ingin mengubah selera sudah pasti ada bihun, mee, soto, speggati, piza, capati , nasi goreng, moi atau laksa menggantkan  nasi.  Adakala mee maggi segera juga jadi pilihan. Minggu ini di tadika  kami mula menawarkan makan pagi untuk anak-anak tadika. Bayaran yang dikenakan adalah minimal tetapi yang seronoknya bila melihat anak-anak yang sering membawa roti  atau biskut atau apollo akan bertambah-tambah makan. Komen mereka " Sedap". Saya percaya rasa masakan biasa sahaja tetapi mereka ini ingin perhatian dan ditunjuk rasa peduli. Mulai minggu ini tiada lagi roti yang tak habis dimakan dalam beg mereka. Ibu-ibu kelegaan kerana anak-anak tidak lagi merengek mahu singgah ke kedai sebelum ke tadika. Yang bertambah sudah pasti tugas menyedia dan mengemas selepas waktu rehat. Namun bila melihat pinggan yang licin tidak berbaki hati terasa puas kerana mampu menyediakan makanan yang berkhasiat dan sihat buat mereka. Otak yang sihat dan fizikal yang cergas sudah pasti datang dari sumber  yang bersih dan halal.Diadun pula dengan rasa kasih dan sayang yang tulus dan ikhlas.

Bila Anak Masuk Ke Dewan



Yang ditunggu dah tiba. Countdown saya juga sudah berhenti berdetik. Semalam bang cik dan batch 2008-2010 di KMB sudah memulakan perjuangan untuk menyelesaikan diploma IB mereka. Saya terjaga awal pagi. Sudah pasti wajah bang ciklah yang pertama terlayang di fikiran. Melihat kepada sejarah pembelajaran bang cik selama berada di KMB, saya memang merasakan program IB ini satu program yang sungguh mencabar. Namun bukan juga program yang sangat sukar hingga tidak ada seorang pun yang lulus dan berjaya mencapai grade penaja dan university. Semalam di rumah ada lagi surat dari University Bristol untuk bang cik, namun di saat ini saya tidak ingin menganggunya dengan soal pemilihan universiti kerana dia perlu fokus dahulu dengan exam yang akan tamat pada 21hb Mei nanti, insyaallah.


Saya percaya bila anak-anak akan mengambil peperiksaan biasanya ibubapa yang 'lagi sibuk' dari anak. Berbagai tip dan nasihat diberi, belum lagi supplement ubat/vitamin . Ketika menjelang minggu peperiksaan air penerang hati, Jus Tok Guru, kismis minda, Jus IQ, Examo dsb akan laris hingga stokis terpaksa bertelifon berkali-kali kepada pengeluar untuk mendapatkan produk mereka. Ya..itu hanyalah ikhtiar tambahan, pokok pangkalnya bermula dari dalam diri anak-anak kita juga. Jika dari awal mereka sudah konsisten belajar dan mencapai keputusan yang baik, insyaallah mereka kan mampu mencapai keputusan yang baik juga di dalam peperiksaan sebenarnya. Dan doa juga serta solat hajat sangat penting sebagai sokongan di atas segala usaha tadi. Kita cuma merancang tetapi Allah yang menentukan. Jadi seringlah berdoa dan bersolat hajat agar anak-anak sihat dan tidak ditimpa sesuatu perkara yang akan menjejas prestasi dan penumpuan mereka. Saya pernah menulis satu artikel di Berita Harian beberapa tahun yang lalu tentang persiapan ibubapa bila anak menghadapi peperiksaan.  Insyaallah jika dapat saya akan kongsikan artikel itu nanti. Saya juga sebenarnya sedang  menghitung hari untuk menyambut menantu ke dua. Jadi akhir-akhir ini saya sangat sibuk. Di tadika dua orang guru sedang cuti bersalin sudah pasti tugas bertambah dan saya juga perlu berkejar ke sana sini untuk mengurus majlis besar nanti. Namun saya bersyukur diberi kesempatan oleh Allah untuk bangun di awal pagi menadah tangan berdoa untuk kejayaan bang cik dan kawan rakannya yang sedang bergelut dengan pen dan kertas. Kita merancang dan Allah juga yang menentukan. Bertawakkal hanya setelah berusaha, insyaallah  doa adalah senjata yang mampu mengubah takdir.