Kata orang peluang berkumpul adik beradik, sahabat handai dan jiran tetangga hanya datang bila ada kenduri kendara atau kematian. Di masa lain masing-masing sibuk dengan tugas yang tidak pernah ada penghujungnya. Kala ke KMB untuk Majlis Restu awal bulan lalu saya dan suami mengambil peluang untuk menjemput saudara mara dan rakan taulan yang ada di Lembah Kelang. Meskipun tarikh masih jauh tetapi masa yang senggang itu memang tidak wajar dilepaskan begitu saja.
Mujur ada Encik Garmin, alhamdulillah kami dapat sampai di depan rumah yang dituju dengan mudah. Teknologi adakala amat membantu walaupun dalam kebanyakan masa disalahgunakan oleh manusia. Sudah bertahun saya tidak mengunjungi sesetengah rumah. Bukan tidak ada keinginan dan kesungguhan sebelum ini untuk mengunjungi tetapi selalu sahaja tergendala atau terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana ada sahaja perkara lain yang mendadak.
Masa sudah jauh berubah. Dulu mungkin kita banyak masa untuk berkumpul dan berhimpun tetapi kini hanya dapat bertemu di alam maya lebih kerap dari di alam nyata. Ketika ini saya sedang berbual dengan abang yang sedang berada di Jogja kerana tugas. Sudah 2 tahun kami tidak bertemu muka. Bunyi macam teruk betul hubungan kekeluargaan kami tapi itulah realiti yang terpaksa diterima. Kesibukan dan tanggungjawab yang dipikul menjadikan kita sukar mencari titik pertemuan. Ada orang kata Facebook membazir masa dan ada pula yang kata paling mudah menjejak sahabat yang hilang. Apa-apa pun kenalah diseimbangkan agar tidak leka dan lalai sehingga mengabaikan mana yang lebih afdal diutamakan. Era ibu-ibu menunggu posmen membawa kabar anak nun jauh di mata sudah berlalu. Jika ingin berbual melepas rindu hadaplah screen PC dengan sedikit bantuan, anak yang jauh bagaikan berada di hadapan kita sahaja.
Perjalanan dari Taman Melawati, ke Ampang Jaya, Bukit Bangsar,Petaling Jaya, Putra Height, Bangi dan Sunway Semenyih berjalan begitu lancar sekali. Walaupun Garmin membawa kami melalui depan Pudu Raya tetapi mungkin kerana niat ingin menghubung silaturahim maka segalanya berjalan begitu lancar sekali. Pertemuan dengan mereka yang satu waktu dulu begitu dekat di hati menjadikan saya sarat dengan berbagai rasa. Ada yang sudah kehilanagn pasangan hidup. ada yang sudah berpisah kasih dan ada yang sedang melalui saat gelap dan sukar. Hidup ini umpama roda. Sekejap di atas dan sebentar nanti di bawah pula. Jauh di sudut hati saya bersyukur kepada Allah . Saya hidup dalam rasa bahagia yang melimpah ruah sedangkan di antara mereka yang saya kunjungi tidak sama dengan suratan takdir saya.
No comments:
Post a Comment