Bila tinggal berdua sudah pasti sekali sekala datang rasa malas mahu masuk ke dapur. Sudahnya kami akan makan di luar sahaja selepas mendengar kuliah di masjid. Pilihan makanan sudah pasti yang ringkas dan tidak terlalu berat. Di Penang banyak kedai-kedai yang menawarkan roti benggali yang dicecah dengan sup. Bau sup yang kaya dengan rempah ratus dan panas berasap sentiasa menjadi pilihan kami berdua.
Meskipun kami mengamalkan makan malam sebelum maghrib tetapi sekali sekala kami melanggar juga peraturan itu. Dulu ketika anak-anak masih bersama saya suka menyelesaikan makan malam awal kerana bila sudah solat maghrib mereka sudah dapat menumpukan perhatian kepada buku dan kerja sekolah masing-masing. Saya dan suami juga bebas dengan aktiviti masjid kerana urusan makan-makan sudah dapat selesaikan. Kini bila tinggal berdua sudah pasti rutin itu tetap diteruskan kerana banyak manfaatnya. Sejak dulu lagi ahli keluarga saya tidak menghadkan makan malam mesti ada nasi. Jadi bila kami ingin mengubah selera sudah pasti ada bihun, mee, soto, speggati, piza, capati , nasi goreng, moi atau laksa menggantkan nasi. Adakala mee maggi segera juga jadi pilihan. Minggu ini di tadika kami mula menawarkan makan pagi untuk anak-anak tadika. Bayaran yang dikenakan adalah minimal tetapi yang seronoknya bila melihat anak-anak yang sering membawa roti atau biskut atau apollo akan bertambah-tambah makan. Komen mereka " Sedap". Saya percaya rasa masakan biasa sahaja tetapi mereka ini ingin perhatian dan ditunjuk rasa peduli. Mulai minggu ini tiada lagi roti yang tak habis dimakan dalam beg mereka. Ibu-ibu kelegaan kerana anak-anak tidak lagi merengek mahu singgah ke kedai sebelum ke tadika. Yang bertambah sudah pasti tugas menyedia dan mengemas selepas waktu rehat. Namun bila melihat pinggan yang licin tidak berbaki hati terasa puas kerana mampu menyediakan makanan yang berkhasiat dan sihat buat mereka. Otak yang sihat dan fizikal yang cergas sudah pasti datang dari sumber yang bersih dan halal.Diadun pula dengan rasa kasih dan sayang yang tulus dan ikhlas.
No comments:
Post a Comment