Yang ditunggu dah tiba. Countdown saya juga sudah berhenti berdetik. Semalam bang cik dan batch 2008-2010 di KMB sudah memulakan perjuangan untuk menyelesaikan diploma IB mereka. Saya terjaga awal pagi. Sudah pasti wajah bang ciklah yang pertama terlayang di fikiran. Melihat kepada sejarah pembelajaran bang cik selama berada di KMB, saya memang merasakan program IB ini satu program yang sungguh mencabar. Namun bukan juga program yang sangat sukar hingga tidak ada seorang pun yang lulus dan berjaya mencapai grade penaja dan university. Semalam di rumah ada lagi surat dari University Bristol untuk bang cik, namun di saat ini saya tidak ingin menganggunya dengan soal pemilihan universiti kerana dia perlu fokus dahulu dengan exam yang akan tamat pada 21hb Mei nanti, insyaallah.
Saya percaya bila anak-anak akan mengambil peperiksaan biasanya ibubapa yang 'lagi sibuk' dari anak. Berbagai tip dan nasihat diberi, belum lagi supplement ubat/vitamin . Ketika menjelang minggu peperiksaan air penerang hati, Jus Tok Guru, kismis minda, Jus IQ, Examo dsb akan laris hingga stokis terpaksa bertelifon berkali-kali kepada pengeluar untuk mendapatkan produk mereka. Ya..itu hanyalah ikhtiar tambahan, pokok pangkalnya bermula dari dalam diri anak-anak kita juga. Jika dari awal mereka sudah konsisten belajar dan mencapai keputusan yang baik, insyaallah mereka kan mampu mencapai keputusan yang baik juga di dalam peperiksaan sebenarnya. Dan doa juga serta solat hajat sangat penting sebagai sokongan di atas segala usaha tadi. Kita cuma merancang tetapi Allah yang menentukan. Jadi seringlah berdoa dan bersolat hajat agar anak-anak sihat dan tidak ditimpa sesuatu perkara yang akan menjejas prestasi dan penumpuan mereka. Saya pernah menulis satu artikel di Berita Harian beberapa tahun yang lalu tentang persiapan ibubapa bila anak menghadapi peperiksaan. Insyaallah jika dapat saya akan kongsikan artikel itu nanti. Saya juga sebenarnya sedang menghitung hari untuk menyambut menantu ke dua. Jadi akhir-akhir ini saya sangat sibuk. Di tadika dua orang guru sedang cuti bersalin sudah pasti tugas bertambah dan saya juga perlu berkejar ke sana sini untuk mengurus majlis besar nanti. Namun saya bersyukur diberi kesempatan oleh Allah untuk bangun di awal pagi menadah tangan berdoa untuk kejayaan bang cik dan kawan rakannya yang sedang bergelut dengan pen dan kertas. Kita merancang dan Allah juga yang menentukan. Bertawakkal hanya setelah berusaha, insyaallah doa adalah senjata yang mampu mengubah takdir.
No comments:
Post a Comment