Sunday, March 21, 2010

Di Hari Ini



"Sana helwa ya ummi, barakallhufi walakum" SMS dari kakak merupakan doa ketiga yang saya terima . Semalam sebelum melangkah naik ke bilik lang dan bang cik sudah mendoakan yang sama dan pagi tadi bang cu juga sudah menalipon. Bila sudah beranjak usia sudah pasti saya tidaklah teruja sangat menyambut ulang tahun kelahiran. Sisa usia yang tinggal entah berapa tahun, bulan atau hari hanya Allah yang tahu. Apa yang bermain di fikiran sudah pasti amalan dan bekalan untuk dibawa  mati. Sudah cukup atau masih jauh dari mencukup hanya Allah dan saya sahaja yang tahu.
Untuk urusan dunia saya bersyukur dapat menyempurnakan tugas mendidik anak-anak. Walaupun masih ada lompong di sana sini tetapi insyaallah hari demi hari saya dan suami sentiasa menegur dan membaiki apa yang kurang. Saya bukanlah ibu yang terbaik. Banyak kelemahan ketika membesarkan mereka. Ada yang saya tidak mampu sempurnakan dan penuhi kemahuan mereka. Namun sedaya mungkin mereka adalah top priority dalam hidup saya. Segala keperluan belajar sedaya mungkin akan dicukupkan. Maklumlah seorang sahaja yang membawa duit pulang ke rumah ini saban bulan. Tambahan pula bila anak-anak di asrama perlu juga diagihkan belanja untuk melawat dan memberi sokongan moral bila mereka akan menduduki peperiksaan besar. Apa yang sering saya ulang-ulangkan kepada mereka ialah kita tidak pasti dapat semua benda yang kita inginkan dalam hidup ini.


 Ketika saya melepas tugas di Malayan Banking dulu saya sudah menanam azam agar tindakan saya itu tidak sia-sia . Mungkin ada kekangan kewangan sekali sekala tetapi alhamdulillah anak-anak tetap mendapat peluang pendidikan yang baik dan mereka juga diajar hidup sederhana. Bila sampai ketika dan perlu mereka akan dibelikan komputer dan handfon.Memang benar kata kakak jika ditukar buku-buku yang ada di rumah ini menjadi bungkal emas sudah pasti lenguh tangan saya dan leher membawa emas yang bermayam-mayam . 
 Saya percaya mereka tidaklah kurang dari segi material dari rakan-rakan mereka dan mungkin ada ketikanya
lebih baik dari setengah-setengah orang


.
Saya juga berada bersama kawan rakan yang ingin menjadikan Islam satu cara hidup. Bertolong-tolongan dalam melakukan perkara yang baik dan mencegah yang mungkar. Indahnya hidup bersyariat menjadikan kita orang yang sentiasa menyandarkan apa sahaja kepada Allah. Bersyukur bila diberi nikmat dan bersabar bila ditimpa musibah dan ujian yang datang dalam berbagai bentuk.


Alhamdulillah, saya juga memiliki pasangan hidup yang sangat saya cintai. Sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri. Ada kala kami berselisih pendapat tetapi dalam kebanyakan masa kami sentiasa bersendapat. Dia adalah pakaian saya, yang saya dambakan kasih hingga ke syurga. Menerimanya sebagai suami adalah satu keputusan besar yang pernah saya buat. 



Bukan mudah saya melepaskan banyak perkara ketika itu bila bersetuju berkahwin dan mengikutnya ke UK. Hari ini saya bersyukur meraih segala pengorbanan yang pernah saya lakukan dulu. Kehidupan yang sederhana tetapi penuh dengan kebahagian yang melimpah-limpah. Apa lagi yang saya harapkan pada hari ulang tahun ini? Saya mendoakan negara saya ditadbir oleh orang-orang yang beriman yang tahu bahawa mereka memikul amanah dan akan disoal Allah kelak. Saya juga mendoakan anak cucu saya menjadi orang yang matang berfikir, berakhlaq mulia dan sentiasa mendahului tuntutan Allah dan Rasul dalam bertindak. 
Terima kasih, Allah kerana terlalu banyak nikmatMu dan ampuni aku jika terlalu sedikit aku bersyukur.Berkatilah usiaku ini dengan amal-amal yang baik  dan bantuilah aku untuk menjauhi laranganMu, Ameen"

"Terima kasih juga untuk ucapan, doa dan hadiah-hadiah dari suami dan anak-anak tercinta. Tidak sempurna hidup ini tanpa kasih sayang kalian. Ummi sungguh terharu!!"

3 comments:

Lady Qay said...

mana gmabq coklat kakak?nak tgok cantik ke dak??hihi..sdap ke??harap ummi suka dgn hadiah tuh..taktahu nak bg apa....just some sweet choc for my sweet mum....harap umi happy...

huds said...

salam..acik..selamat ulangtahun..yg ke berapa ek...moga hari2 yg mendatang akan lebh bermakna dlm hidup acik...

Misk said...

Selamat Hari Lahir... Semoga bertambah usia bertambah mantap amalan ...Terima kasiha kerana menerima keluarga mak ngan abah menjadi sebahagian hidup kak. cik .