Friday, June 4, 2010

Ruang Hati

Eh! betulkah dah tak sampai seminggu sahaja lagi sekali lagi kami akan menerima orang baru ke rumah ini. Rupa-rupanya dalam seminggu terakhir ini berbagai ujian datang menyapa. Sebagai orang yang beriman dan bertaqwa sudah semestinya ujian diterima sebagai hikmah dan peringatan dari Allah. Mujurlah segala yang besar-besar sudah dibereskan, jika tidak sudah pasti kelamkabut juga jadinya. 

Hari ini ada students anak saya datang membantu mengisi cenderahati ke dalam kotak-kotaknya. Kenduri zaman ini bukan macam zaman kita kecik-kecik dulu, saudara mara berkampong ,bertunggu tangga berhari bermalam. Bila hari sudah jauh malam, letak aja kepala di mana sahaja insyaallah akan lena sampai ke pagi. Bangun pagi-pagi  masing-masing menolong menyiap sarapan apa yang patut. Walau sekadar tamban kering bergaul pulut tanak bercampur kelapa sedap sahaja jadinya. 
  
Masa sudah berubah, zaman sudah berlalu. Rumah akan meriah hanya pada hari kenduri sahaja. Sanak saudara tidak betah tinggal lama-lama kerana rumah sekarang sudah sempit-sempit walaupun dibeli harga beratus ribu. Jadi sebagai tuan rumah atau tuan kenduri kita sentiasa perlu berlapang dada, menerima siapa sahaja yang sudi membantu sebelum kenduri dan hadir di hari kenduri.

Pengalaman menjemput rakan taulan, sahabat handai dan jiran tetangga dari berbagai negeri memang satu pengalaman yang sungguh bermakna bagi kami. Dijemput awal takut orang lupa dijemput lambat orang sudah ada perancangan  masing-masing. Ada yang akan mengerja umrah, melancong ke luar negara, kenduri yang bertindih tarikh dsbnya. Jadi kami memegang prinsip "Siapa yang Allah telah tetapkan rezekinya di rumah kami nanti, tentu dapat datang. Yang tak dapat datang tu memang sebab bukan rezekinyalah" Dengan berbicara begitu kita tidak perlu risau dan rungsing hingga menjejas kesihatan. 

Namun saya suami isteri sentiasa berdoa agar kenduri nanti mencapai sasaran yang diharapkan kerana kita tidak mampu membiar makanan yang ditempah terbiar terbuang kerana nun jauh di sana aada saudara-saudara kita yang menderita kelaparan kerana bantuan kemanusiaan tidak dapat sampai kepada mereka. Kita yang lemah hanya mampu menadah tangan dan berqunut nazilah bagi menyatakan rasa kebersamaan dengan mereka. Jadi bagi yang sudah menerima undangan kami dipersilakanlah ke rumah kami kerana  kehadiran anda bakal membawa rahmat kepada rumah dan membantu mengeluarkan dosa-dosa  dari rumah ini, insyaallah.

No comments: