Monday, June 20, 2011

Dari Suwon KuKirim Rindu

Ni pula segala macam makanan depa ..siap susun punya meriah
 Memang tak pernah bercita-cita dan bermimpi akan sampai ke Korea. Walaupun kawan-kawan dan saudara mara asyik bertanya bila mahu ke Korea. Saya hanya tersenyum dan menjawab insyaallah. Jika saya bekerja dan punya pendapatan sendiri mungkin sudah lama kami ke sini tetapi dengan kekangan kewangan sudah pasti hasrat itu tidak pernah disimpan di sudut hati. Namun siapalah kita yang mampu meneka apa yang telah Allah sediakan untuk kita. Cuma kita saja yang sering tidak sabar dan tidak bersangka baik dengan Allah. 

Saya terkenang ketika di tingkatan 5  saya selalu bercita-cita ingin melanjut pelajaran ke England. Walaupun ada banyak lagi negara di dunia tetapi entah kenapa suka sangat nak ke England. Mungkin kerana kerap sangat baca buku sejarah dan macam kenal sangat Frank Sweatenham, Hugh Low, Francis Light sampai teringin sangat nak ke negeri mereka. Ketika itu memang saya tak suka pada Tok Janggut, Datuk Bahaman.Oh! Rupa-rupanya  teks buku sejarah yang ditulis ketika itu berjaya mencuci otak saya dan mungkin ramai lagi rakyat Malaysia. Cuma bila saya semakin dewasa , mula meminati politik, mula faham saya perlu melakukan sesuatu untuk masa depan yang lebih baik untuk masa depan barulah saya rasa terhutang budi pada  Datok Bahaman, Datok Maharaja Lela, Sultan Abdullah, Tok Janggut dan lain-lain. 

Keputusan MCE diumumkan saya mampu ke ITM dan bukan ke England. Adik saya yang tahu saya bersahabat dengan seseorang  sering mengusik. "Tak pa kak Ti nanti sure boleh punya pergi England". Mengarutlah...saya dan dia kawan saja, mana ada apa-apa pun. Tapi kuasa Tuhan siapa yang tahu, dia yang saya sangka tak ada apa-apa tu akhirnya bertanya jika saya sudi berkahwin dan mengikutnya ke England. Oh Tuhan! Saya terkesima. Mahu belajar sampai tamat. Mahu mak, bapa dan wan bangga dengan kejayaan saya atau berkahwin muda. Memang sukar membuat pilihan. Jalan terbaik yang disaran mak ialah buat solat istikharah. Berkali-kali saya bangun malam ketika adik beradik yang lain enak tidur saya solat dan merintih.Meminta Allah memberi petunjuk dan pilihan terbaik untuk saya dan masa depan anak cucu saya nanti.

Dan akhirnya kami bernikah dalam satu majlis sederhana seminggu selepas raya puasa. 6 bulan kemudian saya berangkat ke England dan tinggal di sana selama 18 bulan. Dan kemudian pergi semula selama 12 bulan lagi. Tahun 1994 kami berjaya menunaikan fardhu haji ketika anak keenam saya baru berusia 6 bulan. Saya tidak pernah lagi bekerja sepenuh masa. Sebahagian besar usia dan tenaga saya ditumpukan kepada usaha dakwah dan mendidik anak-anak . Seorang demi seorang melangkah meninggalkan rumah. Anak keempat saya paling awal keluar. Dari usia 12+ tahun. Sehingga kini sudah 11 tahun rupanya.Namun kecanggihan teknologi sentiasa mendekatkan kami. Berhubung bila dan dimana saja. Terima kasih kerana Allah memudahkan saya melempiaskan rasa rindu pada anak-anak. 

tiap rumah mesti ada pintu gerbang cantik berukir pulak tu..unik kan?

Ketika anak ke dua di Australia  kami tidak berpeluang menziarahinya kerana sibuk merancang dan bersiap untuk majlis perkahwinan anak sulung.Dan kunjungan ke Korea ini adalah anugerah Allah untuk kami setelah sekian lama dalam keadaan yang agak tertekan. Begitulah cara Allah menguji hambaNya . Berbagai ujian yang menanti dan dengan kesabaran serta ketajaman akal semua itu dapat dilalui. Dia yang menguji dan Dia juga yang menunjuk jalan keluar. Persiapan untuk perjalanan ini telah dibuat sejak November lalu. Saya pasti jika baru ini kami merancang untuk datang ke sini sudah tentu itu  akan tinggal angan-angan sahaja. Maklumlah bermula bulan Februari sehingga Mei tak henti-henti ujian kesihatan diberi Allah. 

Alhamdulillah, selama beberapa hari di sini kesihatan suami ditahap yang memerangsangkan. Kami yang biasa hidup di rantau tidak cerewet mencuba makanan. Jika di Malaysia sentiasa manjakan diri dengan berkereta dan bermotor .Di sini kami banyak berjalan, naik bukit turun bukut, naik train turun train. Pada mula memang terasa penat dan sakit perut betis tetapi apa yang dalam fikiran itu rupanya mampu mengubah persepsi kita. Bila kita kuatkan semangat semuannya menjadi mudah rupanya. Segala ubat dibawa sebagai persediaan tetapi setakad ini alhamdulillah masih belum disentuh.

Esok kami akan ke Jeju. Kami berdua tidak teruja sangat untuk membeli-belah .Walaupun pramugari siap berpesan "Happy shopping". Kami lebih suka berjalan, mengambil gambar dan melihat cara hidup orang di sini. Semalam saya sudah berbaik-baik dengan jiran anak saya. Seorang nenek tua tetapi masih rajin mencari kertas-kertas kotak yang dibuang orang untuk dijual. Tanah sekangkang kera di tepi rumah ini penuh dengan salad dan labu. Rajin sungguh mereka. Belum lagi dihitung kekuatan fizikal mereka.Mendaki bukit bagaikan berlari di padang datar.Naik tangga macam melunsur dari gelungsur. Uis...malunya kami.

Walaupun nampak mereka macam tidak peramah tetapi bila kita sudah menegur mereka akan menjadi sanagt ramah. Semalam saya menghulur sebungkus Orea dan pulangan seberkas daun salad segar untuk makan malam kami.Salad yang saya selalu dapatkan di Tesco SP  dengan harga RM4 hanya saya bayar dengan senyuman manis di sini. Orang berbudi kita berbahasa. Fanzuru.....berjalanlah melihat kebesaran Allah dan Dialah menjadikan kita bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Tiadalah antara kita siapa yang lebih mulia kecuali mereka yang beriman dan tinggi taqwanya. S

maklumlah tanah berbukit rumah pun dibina bercerun-cerun..puas kami mengurut betis
Sehingga salam dari Jeju.Cukuplah dulu....saya sudah berjanjji mahu jalan-jalan sekitar rumah sahaja kerana anak sudah ke SKK untuk final papernya. Kita kan boleh survive dah tau jalan walaupun tak faham bahasa depa. Tu la hari tu nak bawa buku translation beg dah ngam-ngam 20kg. Jika tak bolehlah faham lain dari anyeo sayyeo tu....hm...kena mai lagi nih!!!!

No comments: