Hari ini di sana sini kita memang bersiap awal menanti Ramadan tetapi cara kita mungkin berbeda. Sejak awal tahun mungkin kita telah menetapkan tema baju raya keluarga kita , kita mungkin sudah keluar masuk kedai kain memilih kain untuk dibuat baju melayu atau baju kurung untuk kita beraya sakan tahun ini. Usahawan kuih raya sejak bulan Mac sudah menganjur bengkel membuat kuih raya terkini. Contoh-contoh kuih raya juga sudah beredar dipasaran. Untuk dirasa dan ditempah. Kenapa kita melaku ini semua? Alasan kita : kalau lambat hantar tukang jahit sudah tidak mahu menerima tempahan kita, jika kuih muih diedar ketika bulan puasa bakal pembeli tidak dapat merasa kerana berpuasa. Salah atau tidak bukanlah kita yang mampu menentukannya. Masing-masing ada jawapan yang rasional. Apa pun tindakan kita janganlah sampai kita lupa menyiapkan jiwa kita untuk menghadapi Ramadan tahun ini.
Masih ada berapa Ramadan lagi untuk kita ? Kenapa kita tidak jadikanlah Ramadan ini Ramadan terakhir kita. ?Bulan dimana Allah telah menjanjikan keampunan, rahmat dan dijauhi diri kita dari api neraka. Lihatlah disekeliling kita, siapakah ahli keluarga atau kawan rapat kita yang masih bersama kita. Foto raya tahun-tahun lepas sudah pasti banyak menyimpan seribu kenangan. . Jika dulu abah duduk tenang menanti anak cucu berkumpul untuk mengambil gambar bersama.Tetapi tahun ini abah sudah tidak bersama kami lagi. Pak ngah Hj Mahmud yang sering datang di hari raya pertama juga sudah pergi menemui Allah beberapa hari yang lalu. Giliran kita entah bila. Sempatkah kita bertemu Ramadan tahun ini dan tahun-tahun depan ? Semua ini belum tahu lagi. Jadi kenapa kita tidak siapkan minda kita agar Ramadan terakhir ini terisi dengan sebaik-baik amalan yang termampu.
Kita boleh mula membaca buku-buku dan rencana yang menerangkan kelebihan beribadah di bulan Ramadan. Boleh juga mula menanam azam untuk kurang berbelanja agar kita dapat melebihkan sedekah di bulan Ramadan . Boleh juga mengintai-intai mana-mana keluarga miskin yang boleh kita hantar sajian untuk berbuka. Jika kita boleh membuat perancangan kewangan untuk kehidupan di dunia sudah pasti kita mampu juga membuat perancangan kewangan untuk hidup akhirat kita. Berjualbeli dengan Allah adalah satu perniagaan yang tidak akan rugi. Dan jika kita tahu kelebihan Ramadan sudah pasti kita mahu Ramadan bersama kita sepanjang tahun. Ada segelintar manusia yang menangis bila Ramadan bakal berlalu meskipun ramai manusia bersukaria kerana Syawal bakal menjelma. Sesungguhnya Baginda Rasulullah SAW apabila tiba bulan Rejab akan banyak berdoa :
"Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan"
Dan kita ummat yang disayanginya pasti ingin berusaha menurut langkah Baginda.
"Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan"
Dan kita ummat yang disayanginya pasti ingin berusaha menurut langkah Baginda.
No comments:
Post a Comment