Thursday, September 3, 2009

Rayuan Ramdhan


Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi MAWD akan diadakan. Saya sudah lama melobi orang-orang muda untuk mengambil beberapa jawatan utama untuk menerajui aktiviti daerah. Tapi biasalah "Ana tak mampu", "Ada orang lain yang lebih baik lagi" dan macam-macam lagi jawapan yang diberikan. Memegang tugas bererti memikul amanah. Setiap kamu akan disoal dengan apa yang dipertanggungjawabkan. Jika difikirkan mampu sampai kiamat pun tiada siapa yang berani mengaku dia mampu. Jika menunggu tidak sibuk, bila yang tidak sibuk. Sudah lama sangat saya memegang jawatan ini, sudah hampir 20 tahun. Saya masih ingat saya terpaksa hadir ke Mesyuarat Agong pertama ketika sedang berpantang anak kelima kerana kekurangan korum. Saya ingin berundur, bukan ingin lari dari tugas tetapi ingin memberi peluang jiwa-jiwa muda menimba pengalaman, belajar ilmu memimpin dan paling utama menghimpun pahala. Bekerja untuk Islam memang tidak glamour, tiada elaun yang dibayar , tiada kedudukan di mata masyarakat tetapi percayalah jika kita benar-benar ikhlas banyak sungguh pahala yang menanti kita di akhirat sana. Percayalah jika kita menolong agama Allah , Allah pasti akan menolong kita

Pengalaman melaksanakan berbagai program untuk masyarakat banyak mengajar saya berbagai skil yang tidak akan saya dapat jika tidak memikul jawatan ini. Bertemu dengan berbagai lapisan masyarakat dan pangkat mengajar saya menjadi berani dan yakin diri. JIM sudah banyak mengubah diri saya dan persepsi hidup saya. Jadi saya sangat berharap dapat berkongsi nikmat ini dengan pucuk-pucuk muda yang bakal mewarisi perjuangan ini. Kita tidak akan berhenti selagi belum mencapai misi dan visinya. Ayuh! jiwa-jiwa muda SPU Wanita JIM perlukan buah fikiran dan semangat orang muda yang akan digandingkan dengan hikmah orang tua untuk terus bersama Islam membina masayarakat. Ada satu perkara lucu yang tak mungkin saya lupa ialah ketika kami menganjur satu program di sebuah komplek. Mungkin kerana kurang tunjuk arah maka ada peserta bertanya seorang mak cik yang bertugas di situ" Kak...kat mana program JIM?".Dia terpinga-pinga lantas menjawab" Tu di sana" Maka bergeraklah mereka ke arah yang ditunjuk. Yang peliknya di dalam tu semua lelaki sasa sedang membina badan. Bila melihat adik-adik tu datang semula , makcik tadi bertanya"Awat tak kena, ka?" Sambil tersenyum mak cik tu berkata " Mana kak tau ..apa dia..Jin ka Jim ? Yang kak tau tu laa gym tempat orang dok pi senaman".

Saya mengimbau kembali ketika pertama kali memegang jawatan sebagai KW. Ketika JIM baru sangat ditubuhkan , 27 Julai, 1990 kami masih tercari-cari bagaimana hendak menggerakkannya. Jika selama ini ketika berusrah hanya ilmu-ilmu teori yang dipelajari tetapi bila terjun ke medan baru kita berdepan dengan realiti kehidupan. Berbagai pengalaman yang telah dilalui semua ini menjadikan kita matang dan kental jiwa. Itu cerita 20 tahun lalu kini JIM sudah mula dikenali . Malah jika anda mencari dalam wikipedia pun sudah ada deskripsinya. Marilah mengenali JIM dengan melayari webnya. Tak kenal maka tak cinta. Wahai adik-adik muda, dengarilah rayuan ini dan demi bulan yang penuh barakah ini bersegeralah menyahut seruan dari hati yang paling dalam ini. Bagi yang belum bersama JIM marilah bersama Islam membina masyarakat. Jika bukan kita siapa lagi?

1 comment:

SHAHIDAN SAAID said...

Setuju ...JIM perlukan pelapis tiap-tiap tahun,baru JIM ramai pemimpin.Boleh tukar ganti...semua org memimpin di relung yang berbeza.Teruskan perjuangan sehingga akhir hayat.