Kesempatan menziarahi Darul Hidayah, rumah yang menempatkan saudara baru dan lelaki warga mas yang tidak berwaris di Permatang Tok Gelam tidak saya lepaskan. Bila menyelami kesengsaraan dan kedukaan mereka hati kita menjadi begitu bersyukur di atas segala yang Allah nikmatkan. Saban tahun Masjid Bertam mendapat sumbangan yang sangat besar dari para jamaahnya yang sangat pemurah untuk tabung anak yatim dan fakir miskin. Sebagai pemegang amanah dana tersebut mestilah segera dikeluarkan sebagai mengambil pahala berganda yang Allah tawarkan. Mereka yang tinggal di sini adalah saudara baru yang telah dipinggirkan keluarga kerana telah bertekad kembali kepada Islam. Sudah sewajarnya kita sebagai saudara seagama menghulurkan tangan membantu mereka selagi daya. Bila dijemput bercakap sudah pasti mereka akan bercakap dicelah sebak dan linangan air mata. Berat bahu memikul sudah pasti tidak sama dengan mata yang memandang. Saya berdoa agar Allah menyiramkan hati mereka dengan kesabaran dan kekuatan azam untuk terus hidup dalam cahaya Islam. Cabaran demi cabaran mereka tempuhi. Namun jika tidak dibantu dan terus diberi motivasi mungkin iman mereka akan bergoyah bila dilanda ujian yang bertimpa-timpa. Saya berazam akan cuba meluangkan sedikit masa untuk bersama mereka di bulan-bulan mendatang.Insyaallah. Menolong saudara di dalam kesusahan semuga Allah menolong kita di hari kita perlukan pertolonganNya kelak.
Ramadhan sudah pergi. Syawal pun sudah masuk hari ke empat. Jika yang sudah mula berpuasa...alhamdulillah, Jika yang belum jangan lama-lama sangat menangguh takut terleka dan tak sempat. Setelah berakhir Ramadhan saya ingin bertanya kepada diri sendiri sudah berapa kali membuka dan membaca ayat-ayat Allah? Sibuk di dapur , sibuk melayan tetamu dan sibuk ke sana ke mari membuatkan kita suka bertangguh. Untuk berlama-lama di sejadah pun sudah tidak betah. Apatah lagi meluang 10 minit membaca 2 muka ayat Qur'an. Saya ingin mengingatkan diri saya kepada pesanan dari Dr Yusuf Qardawi "jika kamu beribadah di bulan Ramadhan semata-mata maka jadilah kamu hamba Ramadhan, tetapi jika kamu teruskan ibadah selepas Ramadhan maka jadilah kamu hamba Allah". Pilihan di tangan kita maka kitalah yang mengatur urusan hidup kita. Biarlah pilihan kita selari dengan apa yang disukai Allah.Agar kita diserunya dengan panggilan ""Wahai jiwa-jiwa yang tenang"
No comments:
Post a Comment