Monday, September 28, 2009

Meraih Cinta Ilahi




Semalam abah ke KMC lagi untuk rutin check upnya. Cuti  raya yang panjang menjadikan mereka terpaksa sabar menunggu. Kesihatan abah makin baik. Ingatan abah makin pulih sedikit demi sedikit. Meskipun pada fizikalnya abah nampak sihat tetapi adakala kami perasan juga betapa abah tertekan. Dia ingin menyampaikan sesuatu tetapi adakala lain yang dikata, lain pula yang dimaksudkan. Kami puas berfikir bagi memahami apa yang ingin diperkatakan. Adakala berjaya dan adakala tidak. Kasihan abah! Saya selalu  merasa sayu bila melihat abah duduk bersendirian. Saya amat berharap ada orang lain yang dapat  meluang lebih masa untuk melayan abah. Meskipun tidak banyak berkata-kata tetapi saya  percaya abah masih memiliki emosi dan perasaan yang perlu dijaga agar tidak terguris dan tercalar. Jika  Syawal dulu abah begitu ceria menyambut  ketibaan tetamu tetapi kali ini abah hanya mampu tersenyum dan adakala menjawab juga soalan yang ditanya. Meskipun kadangkala jawapannya tersasar.




Saya sedih bila ada tetamu yang bertanya samada abah sudah nyanyuk. Memang patut pun kalau abah nyanyuk kerana dia sudah berusia 80+ tetapi saya percaya abah belum nyanyuk kerana dia masih sedar dan tahu rutin hariannya. Yang paling saya kagum bila abah sentiasa menunggu waktu solat. Tepat jam 1.20 petang dia sudah masuk ke bilik mandi untuk berwudu' begitu juga bila jam 6.30 petang dia tetap akan mencari tuala untuk mandi tanpa perlu disuruh-suruh. Semua  bacaan dalam solat dan wirid-wirid selepas solat masih lancar disebutnya. Saya percaya jika kurang iman sudah pasti sukar kita bersabar dengan kerenah orang tua. Saban tahun di TV selalu disiarkan kisah warga emas di pinggir keluarga, sepi menanti kunjungan sanak-saudara di rumah kebajikan bagai menunggu buah tak gugur.Jika bertahun-tahun lalu senario itu hanya  berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi hari ini sudah jadi perkara biasa di kalangan orang Islam sendiri.  Kesibukan anak-anak, kesukaran mendapatkan pembantu rumah menjadi antara sebab rumah perlindungan warga emas muncul bagai cendawan selepas hujan.

Kunjungan ke Darul Hidayah dan bertemu warga emas tanpa waris menjadikan hati saya begitu terusik. Ada yang mempunyai anak yang berjawatan tinggi tetapi dipinggirkan selepas kematian isteri. Saya faham siapalah yang sanggup menjaga dan melayan orang tua yang  banyak pula kerenahnya. Makanan perlu dijaga, pantang itu , pantang ini. Kalau dapat yang bising pula mulutnya...alahai memang surrender habis. Belum lagi dikira berak kencingnya. Anak pun tak sanggup apatah lagi menantu.

Bila melihat iklan Petronas dengan lagu "Aku Ingin Pulang" tu...kami semua menatap tanpa bersuara. Bila sudah habis anak saya berkata "Pak cik tu macam kisah wan saja".Saya menambah" Cuma wan tak dapat layanan buruk macam anak pak cik tu buat kat ayah depa". Saya sentiasa berdoa agar Allah terus memberi sebahagian ruang di hati kami untuk terus berbakti kepada abah sehingga ke akhir hayatnya. Sudah pasti sedikit bakti yang mampu kami curahkan masih belum cukup untuk membalas segala jasa abah .

No comments: