Thursday, September 17, 2009

Dendang Si Perantau

Mulai semalam seorang lagi anak saya pulang ke rumah. Insyaallah, hari ini ada empat orang lagi anak akan kembali untuk meraikan hari-hari terakhir Ramadhan  1431. Seperti biasa masing-masing sudah merangka di fikiran menu apa yang ingin saya sajikan untuk berbuka nanti. Sebagai ibu sudah pasti kita tak sampai hati mennolak permintaan mereka. Sebagai ibu juga kita sudah dapat mencongak apa dalam kepala mereka, maka sejak minggu lepas saya sudah  sedikit demi sedikit mencari bahan-bahan yang diperlukan. Soto ayam, hati masak hitam, nasi tomato, lopes....Hai banyaknya  permintaan. Maklumlah ahli keluarga besar sudah pasti besar juga keraknya. Sebagai suri rumah kita juga yang mengatur perbelanjaan. Kenaikan harga barang telah mengecilkan nilai mata wang. Jika dulu dengan RM50 sudah hampir seminggu barang basah dapat dibeli tetapi hari ini hanya beberapa barang sahaja lagi. Saya yang bersuamikan seorang kakitangan kerajaan pun adakala bersungut apatahlagi mereka yang kais pagi makan pagi. Sudah pasti terasa peritnya menyambut raya. Islam mengajar kita bersederhana tetapi kita perlu ada anjakan paradigma juga. Membuang konsep beraya sakan jauh-jauh dari fikiran kita. Kita hanya digalak beraya pada 1 Syawal dan menyambung puasa sunat 6 hari bagi melengkapkan  tuntutan agama. Namun kita bagai tidak upaya menolak undangan rumah terbuka yang datang sekali setahun itu, sedangkan  sebenarnya  kita digalakkan menjamu seramai mungkin pada bulan Ramadhan dan bukannya pada bulan Syawal. Nampak gayanya kita kena beranjak 360 darjah untuk kembali ke landasan yang diajar Nabi SAW. Bolehkah kita berubah? Mukimin yang baik ialah hari ini lebih baik dari semalam. Esuk pula lebih baik dari hari ini.

No comments: