Saturday, September 26, 2009

Sang Setia

Jika tak silap mungkin ini cuti raya yang terpanjang pernah dilalui. Suami mengeluh kerana lepas ini bermakna banyak kelas kena diganti sebelum students mula exam pada hujung bulan depan. Ketika itu pula  insyaallah kami akan ke Dewan Sri Budiman lagi untuk konvo kak lang.Sepanjang cuti kami banyak berada di rumah kerana anak-anak sibuk menyiap kerja sekolah dan kursus. Saya pula tidak kering tangan di dapur menyiap hidangan untuk tetamu. Sambil menerima tetamu kami juga meluangkan masa untuk menghadiri jamuan kesyukuran dan bacaan Yassin untuk anak-anak teman, jiran dan saudara yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Seronoknya melihat ramainya bakal doktor, dentist dan ustaz yang akan menerajui negara di masa depan. Suami sampai berpesan kepada kawan-kawan anak yang datang bertamu "Lepas ni kalau sakit senang lah sikit pak cik cari hampa (kamu) no". Mereka hanya ketawa sambil menyuap kek coklat yang mereka gemari sejak zaman di sekolah asrama dulu. .


(Nostalgia Raya 2005)

Hari ini kami sekeluarga telah meluangkan masa untuk  ke Kulim. Majlis doa selamat dan bacaan Yassin untuk Kak Lah yang akan ke India awal bulan depan. Emak dan abah sudah ke sana sejak malam tadi. Seorang lagi cucu mereka bakal mendalami bidang perubatan seperti dua orang kakaknya. Saya masih sibuk mengurus kain baju anak-anak yang akan pulang ke asrama sambil mengemas pinggan mangkok yang bertoran di dapur. Mulai hari ini bang cu akan balik ke BKH, esuk ngah pula akan balik ke JB, Harith petangnya  dan bang cik Selasa depan. Lepas ni insyaallah barulah saya akan memikirkan untuk berpuasa sunnat. Jika ditangguh-tangguh sudah pasti banyak lagi halangan dan rintangannya. Walaupun kita yang mengatur hidup kita tetapi ada ketika-ketikanya  kena pula dirai jemputan dari sahabat, saudara dan jiran. Muga Allah memberi banyak-banyak kelapangan untuk melakukan kebaikan. Saya berdoa muga tarbiah dari madrasah Ramadhan  tidak berlalu begitu sahaja. Kepada yang akan ke luar negara didoakan semuga tabah menghadapi ujian hidup. Bagai  apa yang selalu dipesankan suami saya kepada anak-anak, students dan anak-anak buahnya "Jika inginkan  sesuatu yang besar kenalah ketepikan banyak yang remah-remeh" Apa tu? Kalau nak kejayaan yang besar kenalah diketepikan perkara kecik-kecik yang kalau tak dak pun tak effect apa-apa. Contohnya banyak tidur, banyak ronda-ronda, hp mahal...etc

Selamat  terbang untuk yang bakal terbang  dan selamat kembali ke asrama bagi yang akan kembali. Dan saya ?  ...Masih tetap di sini bagai pelabuhan yang saban waktu tetap setia menanti datang dan perginya kapal-kapal  kecil dan besar.

No comments: