Hari -hari yang berlalu ibarat daun-daun kehidupan yang gugur satu demi satu. Maka akhirnya pohon yang megah berdiri sujud rebah ke bumi menunggu perhitungan seterusnya.
Friday, September 4, 2009
Di Keheningan Malam
Tanpa disedari dengan melibatkan diri dengan dakwah saya rupanya kena pandai membahagikan masa. Mengurus keluarga, kerjaya dan dakwah. Ketika belajar ilmu teori dulu memang sangat ingin meletakkan tugas dakwah tu no.1 dan yang lain-lain tu ke 2,3 dsbnya. Namun bila berjejak di bumi nyata rupanya sukar menjadikan dakwah tu no 1 kecuali orang-orang yang imannya sekental Abu Bakar dan Abdul Rahman Auf. Dua di antara banyak sahabat Nabi SAW yang bergandingbahu dengan Baginda di zaman awal Islam. Bila dipaksa memilih di antara tugas dan keluarga saya percaya ramai diantara kita yang memilih tugas kepada keluarga mendahului dakwah. Maka jadilah masa untuk dakwah masa serpihan atau masa kecederaan sahaja. Kita lakukan tugas ini ketika seluruh tenaga sudah hampir habis dan badan sudah terlalu penat. Inilah realiti hidup. Namun peluang berkumpul saban minggu membantu menyuntik semangat dan menaikkan iman. Tazkirah dan mendengar pengalaman sahabat-sahabat yang lebih sibuk tetapi masih punya ruang waktu untuk melakukan tugas dakwah membuat kita tersipu malu pada diri sendiri. Ketika iman kita mendadak naik bukan main lagi bersemangatnya kita ingin buat itu dan ini tetapi bila iman menurun terasa sangat lemahnya hati dan kecilnya jiwa. Rohani juga perlukan makanan dan makanan paling baik ialah berjaga di sepertiga malam. Berkata-kata dan merayu kepada Allah Azzawajalla betapa hina dan betapa lemahnya kita. Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah agar hati-hati manusia di sekeliling kita tersentuh untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup. Kita tidak akan disoal dengan kejayaan kerana itu adalah hak Allah untuk memasukkan hidayah ke hati-hati yang kita sentuh. Tugas kita hanyalah menyentuh seramai mungkin hati-hati yang gersang, resah gelisah kerana tersasar dari nur Tuhan. Demi malam dalam bulan yang penuh barakah ini, saya berdoa dan merayu kepada Allah agar menjadikan saya terus beristiqamah di jalanNya dan menjadikan ahli keluarga saya orang yang membesarkan agama. Dakwah ini perlu sangat segera diwariskan kepada mereka kerana sisa usia yang tinggal sudah terlalu sikit jumlahnya. Obor dakwah itu masih panjang perjalanannya dan masih jauh dari matlamat yang disasarkan. Semuga Allah mendengar permintaan yang sangat besar dari diri yang amat kerdil ini. Ameen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment