Balik terawih semalam sementara menunggu waktu tidur sempat juga bina blog yang dijanjikan. Sempena mood raya dan significantnya makanan itu sejak dulu hingga sekarang maka nama itu yang dipilih. Jadi lepas ni rajin-rajinlah berkunjung untuk berkongsi makanan yang kini sudah jadi kegemaran keluarga saya. Untuk yang jauh-jauh tu, lepas ni taklah tertunggu-tunggu nak YM atau SMS yang lambat berbalas. Memasak itu mesti datang dari hati. Kalau hati tengah suka segala yang indah-indah sahaja yang muncul di fikiran. .Bila hati lara yang mudah-mudah dan yang cepat masak saja terlintas di kepala
Bagi anak-anak perempuan dan anak-anak buah saya yang banyak menghabiskan masa remaja mereka di asrama sudah pasti blog ini akan menjadi hits mereka. Anak bujang saya yang jauh di rantau tetapi sangat rajin berexperimentasi dengan segala rempah dan rencah di dapur comelnya ,blog ini diharap akan membantu menghilangkan sebahagian rindu pada aroma dan enaknya masakan dari dapur keluarga.
Proses menyiapkan satu-satu hidangan itu adalah antara moment yang manis dalam hidup. Ketika mereka kecil saya memaksa mereka menolong jika ingin makan sedap. Walaupun terpaksa bertolakansur jika mereka ingin berkerja sambil mennonton TV."Mata tengok TV tapi tangan mesti jalan" kata saya. Bila mereka sudah dewasa dan jauh pula dari rumah keluarga sudah pasti detik-detik ini yang dikenang sehingga mampu menggenang airmata .
Atas memori inilah saban tahun kita sanggup berbondong-bondong dan bersesak-sesak di jalan raya mencari rumah-rumah keluarga untuk sama meraikan hari lebaran. Lauk-pauk dan kuih-muih boleh saja di 'tunjuk' tetapi rohnya tidak ada. Rasa enak itu hanya terasa bila dikongsi proses penyediaannya .. Penat-lelah di dapur bagaikan terhapus bila melihat wajah-wajah yang ceria menyuap 'air tangan' kita.
No comments:
Post a Comment