Monday, August 30, 2010

Bila Musang Berbulu Ayam

Sebaik pulang bertarawih malam tadi saya tertanya-tanya di dalam hati. Adakah kita terlalu mengamalkan pendekatan psikologi maka anak-anak yang ada di hadapan kita hari ini sudah hilang adab dan tatasusila. Saya suka melihat ramai kanak-kanak memenuhi ruang solat saban malam. Tetapi saya menjadi tidak suka bila ibu ayah yang membawa mereka tidak pula menegur atau mengajar anak-anak adab-adab bila berada di dalam surau/masjid. 

Dua malam  lepas saya melihat anak-anak dibiarkan ( lingkungan 5-6 tahun)  dibiar berjalan-jalan di hadapan jamaah yang sedang mendengar tazkirah. Saya tidak nampak pun seorang bapa bangun mendapatkan anak itu atau memanggil anak itu duduk di tepinya. Bayangkan betapa terganggunya ahli jamaah lain. Bila imam mula mengangkat takbir mereka mengejek-ngejek mengikut bacaan iman. Kalau zaman saya kecik-kecik hm...maunya berbirat belakang kena pukul dengan arwah wan kalau buat perangai  macam tu.Sudah pasti lepas tu terus kena ban dari pergi ke masjid.





Saya tidak faham tujuan sebenarnya anak-anak dibawa. Bukankah kalau anak-anak kita menganggu orang solat kita yang akan menumpang  'dosa'nya (anak masih kecil tak faham dosa atau tidak ). Memanglah semua orang nak pahala lebih tapi kalau kehadiran anak-anak kita sampai menganggu kosentrasi makmum lain, tak taulah banyak mana ganjaran yang kita dapat. Takut dinegetif-negetifkan pulak. Bersolat kan boleh dilakukan di rumah. Kitalah kena pandai-pandai mengatur agar anak tidur awal  atau ada anak yang lebih besar menjaganya sementara kita solat.

Saya dah tak tahan dengan perangai anak-anak tu bangun menegur walaupun ada mata-mata yang memandang dengan pandangan yang pelik. Hai....saya tiba-tiba rasa macam bersalahlah  pulak....tapi bila fikir balik saya buat kerana Allah..supaya  orang lain dapat solat dengan tenang saya buat-buat tak tahu saja. Walaupun mungkin lepas ni saya jadi tidak popular di mata anak-anak dan makcik-makcik.

Oh...sukar rupanya berhasrat berbuat baik. Kita selalu mendapat tentangan. Jika bukan dari orang lain ia datang dari dalam diri kita sendiri. Kita selalu takut apa orang fikir, apa orang kata dan berbaga apa-apa lagi.
Anak-anak kita tanggungjawab kita. Wah...macam tema hari Merdeka lah pulak. Mereka cuma buat apa yang mereka suka dan kita yang kena menegur dan mengajar mereka.

Contohnya mematuhi perintah agama. Bersolat , menutup aurat. Bolehkah kita  membiarkan orang keliling kita tidak menutup aurat kerana kita menghormati hak asasinya sebagai sebagai seorang manusia. Tiada siapa berhak memaksa orang menutup aurat jika dia sendiri tidak mahu, tidak suka dan tidak rela. Mau jadi huru-hara dunia ini kalau semua orang boleh buat ikut suka aku dalam sebarang tindakannya.Apalah erti kita mengambil cuti Nuzul Qur'an jika sekadar memperingati malam turunya Al qur'an. sedangkan qur'an hanya sekadar kitab yang kita buka bila datang Ramadhan dan tidak pula kita ambil pengajaran dan titah perintah Allah kepada kita.

Bila memandang keliling saya selalu berdoa semuga anakcucu saya dijauhi Allah dari melakukan segala kesilapan tersebut. Tidak bermakna anak-anak saya baik-baik semuanya tetapi sedaya mungkin kami berdua berusaha menerapkan adab susila, amalan agama dan segala yang baik-baik sedari kecil. Jika mereka berubah kerana berbagai faktor yang melilit hidup mereka hari ini. Cuma  dalam usaha melakukan pembaikan  banyak pula cabaran dan cacat cela di sana-sini. Kita tidak sempurna dan Allah tidak melihat hasilnya tetapi yang dilihatNya ialah usaha dan kesungguhan kita.

Setelah melalui berbagai fasa melawan mata yang mengantuk, badan yang letih, riuh-rendah suara anak-anak bermain, dentuman mercun di sana sini  alhamdulillah selesailah juga 23 rakaat. Ingatkan berlalulah sudah satu malam sementara menanti cabaran-cabaran pada malam-malam berikutnya. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan dialog berikut dari ruang solat muslimin.

" Handphone tok imam kena  curi"
"Bila?"
"Masa dok sujud rokaat 20"
"Kan kita sujud lama sikit"
"Ni mesti budak-budak yang mai solat jugak"
"Aah...kalau tidak mana dia tau hp tok imam letak  di mana"
"Kalau anak saya..dah teruk kena tibai ni"
"Haa.....tu lah kalau dok biar semua hal.Mulalah depa melampau ni"

Doa saya biarlah ini insiden terakhir di surau  kami.Sudah terlalu sering tabung bergerak hilang, kereta jamaah dipecahkan , kipas -kipas dicuri orang.  Malu rasanya nak  tatap muka ustaz yang kami import saban tahun tu. Suaranya yang mendayu-dayu ketika megimamkan solat mampu membantu kita khusuk ketika solat dan cuba memahami ayat-ayat Allah. Tambahan  pula bila doa qunut dibacakan, walau tak faham bahasa Arab tapi hati kita boleh sebak  dan airmata turun bagai kita mengerti apa yang didoakannya. 

Handphone hilang  kan boleh aja dicari ganti, yang hilang dan kian hilang sudah pasti maruah diri sebagai  anak-anak dan ibubapa Islam. Sambil datang bersolat sempat pula mengatur strategi . Musang kan sudah berbulu ayam di mana-mana. Anak-anak tanggungjawab kita dan kita juga bertanggungjawab terhadap anak-anak orang lain juga. Inilah kesilapan kita kerana tidak menganggap mereka sebagai tanggungjawab kita. Atau mungkinkah kerana kita terlalu mengambil sikap berhikmah maka anak-anak mengambil kesempatan di atas sikap kita. Mampukah kita melaung Merdeka..Merdeka...Merdeka...sedangkan kita masih terjajah dengan berbagai sifat-sifat  mazmumah Wallahhuaklam.


No comments: