Monday, June 15, 2009

Perhentian Terakhir

Isnin, hari pertama sekolah kembali dibuka. Saya meluang masa menziarahi perhentian terakhir ini. Cuaca masih nyaman kerana hujan lebat yang turun malam tadi. Tanah masih becak dan basah disimbahinya. Redup dengan naungan pokok ceri yang berbuah lebat. Suasana di sini sangat tenang sekali. Saya mengambil masa melihat keliling, tiada kelibat manusia hanya sekadar burung-burung kecil mengutip ceri merah di celah dahan.

Setelah mencari saya ketemu pusara yang masih baru, tiada batu nesan yang dipacakkan. Hanya pohon renik sebagai penanda. Di sinilah bersemadinya sebuah jasad. yang pasti akan diriingati, dan akan sentiasa dirindui oleh semua yang mengenalinya. Saya menziarahi perhentian terakhir yang disinggahi Muhammad Ammar Zulkifli ini kerana kata nabi di sinilah bermulanya barzakh. Kubur adalah suatu alam yang dilihat ditandai batu nesan tetapi pada hakikatnya ini adalah satu alam perantaraan. Ruh memasuki alam ketiga sementara menunggu untuk satu perjalananan yang jauh di akhirat.Mereka dapat mendengar dan menjawab salam yang disampaikan. Di muka pintu tertera ucapan yang diajar Ar Rasul ketika kita berziarah.

Ruang di sini masih banyak yang kosong. Tetapi siapakah kita yang dapat menduga di sinikah kita akan disemadikan kelak. Di alam roh lagi Allah telah menulis di mana kita akan mati dan dimana pula tanah kubur kita. Ar rasul sangat menggalakkan kita menziarahi kubur sebagai tanda kita sentiasa mengingati mati. Dia pasti akan datang meskipun kita tidak ingin bertemu dengannnya. "Kamu telah dilalaikan dengan sikap bermegah-megah sehingga kamu memasuki alam kubur-"At Takaathur


"Bercucuk tanamlah kamu seolah kamu akan hidup selamanya dan beribadatlah kamu bersungguh-sungguh seolah kamu akan mati esuk hari"

Saya merenung sayu ke pusara yang masih merah dan saya merenung pula ke dalam diri. Sambil melangkah pergi saya mengungkap di dalam hati:

"semuga keselamatan tetap ke atasmu (wahai mukmin ) dan sesungguhnya kami insya Allah pasti akan menyusulimu"

No comments: