Wednesday, September 14, 2011

Hari ini realiti, semalam tetap sejarah

Bila mencari buku saya suka mencari buku yang mengisahkan kehidupan seseorang. Tak kira orang itu terkenal ataupun tidak. Tak pula bermakna saya jenis suka jaga tepi kain orang. Cuma bila mengatup buku saya akan pandai-pandai buat analisa sendiri. Kenapa orang tu jadi begini dan bukan begitu. Dan apa yang boleh saya pelajari dari kisah kehidupan itu. Jadi secara tak langsung saya belajar tentang sejarah. Cuma bila sebut pasal sejarah , perkataan itu sudah jadi satu perkataan yang sensitif lah pulak.

Saya yang lahir selepas merdeka...oopps betulkah perkataan itu? Makin pening dan keliru. Hari in ini orang ini cakap ini dan esok orang lain pula cakap lain. Makin keliru dan kepala yang sering migrain makin kena telan banyak ubat-ubat bagi meredakan rasa pening itu. Saya tidak pasti juga samada mulai tahun ini tarikh 31 Ogos itu perlu diingati atau tidak? Dan sesiapa yang lahir pada tarikh tersebut atau ada perkataan Merdeka pada nama mereka patut terus merasa unik dan bangga. 

Mungkin juga lepas ini kita tidak berpeluang mendengar  suara Sudirman setiap kali tiba bulan lapan. Lagu  Tanggal 31....bulan lapan 57...mungkin  tidak lagi dimainkan di corong radio dan kaca TV kerana secara teknikalnya kita tidak pernah dijajah. Jadi kita tidak perlu merdeka dari siapa yang menjajah kita. 

Dengar kata panel mengkaji buku teks sejarah juga sibuk bekerja. Laporannya dijangka siap hujung tahun ini. Cuma jika ada orang yang sudi menemu bual dan bertanya saya apa yang saya harap dari laporan itu. Saya sekadar ingin berkata. Peradaban manusia menjadi bertambah baik jika kita  belajar dari kesilapan diri sendiri dan orang lain. Tidak ada yang perlu dimalukan jika kita mengaku yang benar tetap benar. Perkara yang paling berat ialah mengaku kebenaran walaupun ia sangat pahit . Lihatlah seerah Nabawiyah. Saidina Omar ra yang hebat itu tidak pernah menafikan sejarah ketika dia menanam  anak perempuannya hidup-hidup. Bertitiktolak dari saat dia melafazkan syahadah dia telah menjadi orang yang hebat dan tinggi imannya. Sejarah tetap sejarah. 

Berilah peluang  anakcucu kita membaca yang benar-benar belaka . Tidak guna membiar mereka rasa bangga tak tentu arah kerana lahir di bumi yang tidak pernah dijajah. Sedangkan pada hakikatnya  setiap keputusan sebelum 31hb Ogos 1957 itu  perlu mendapat kata putus dari Penasihat British kecuali yang berkaitan dengan  agama dan adat istiadat orang Melayu. Apakah yang akan kita labelkan kepada Tok Janggut, Hj  Abd Rahman Limbong, Mat Kilau dsbnya. Apakah gelaran Bapa Kemerdekaan yang dipegang Tunku Abdul Rahman kena ditarik balik dan ditukar dengan gelaran yang lain pulak?

Gambar dalam buku Sejarah

Oh! Masa saya di dunia ini sudah semakin singkat. Saya tidak  boleh menongkat langit untuk bercerita tentang sejarah negara bila anak cucu cicit bertanya nanti. Apa yang akan mereka baca tentulah apa yang ditulis pada hari ini. Setiap kita bertanggungjawab dengan apa yang dipertanggungjawabkan.  Saya makin pening jadi sebelum bertambah kuat peningnya baik saya bangun mencari Dyfenamic Tablet. Sementara saya reda dari pening ini tolong-tolong fikirkan apa yang sebenarnya sedang berlaku ini.Dan bolehkah menyediakan jawapannya sekali.?  Oh! Kepalaku.



No comments: