Monday, September 26, 2011

Melakar Rindu

Lama sungguh saya tidak berpeluang  bertemu adik-beradik sendiri.  Maklumlah bila emak dan bapa sudah tidak ada di dunia anak-anak bagaikan kehilangan tonggak keluarga. Satu masa dulu ketika emak dan bapa masih ada kami akan berkumpul . Sekurang-kurangnya setahun sekali . Terutama pada hari raya . Ketika itu dapatlah bergurau, bertukar berita  sambil menikmati juadah hariraya yang dibuat atau yang diberi jiran tetangga. Ketika itu juga  anak-anak dapat bermain dengan sepupu-sepupu mereka atau bergaduh dengan anak jiran tetangga. Maklumlah ketika masih kanak-kanak belum pandai berfikir silap sikit semua akan jadi punca pergaduhan dan perselisihan faham.
Seronoknya dapat bertemu semua yang dirindu
Selepas emak meninggal kami tidak berpeluang berkumpul. Walaupun pernah ada usaha sekali dua untuk sama-sama menyambut raya tetapi kami tidak berjaya mengumpulkan semua ahli keluarga. Bila arwah mak dan bapa sudah tidak ada tanggungjawab kami berdua beralih kepada keluarga mertua  pula. Selagi termampu suami saya tetap ingin berbakti kepada mak dan abah .Seboleh mungkin suami saya mahu berada di sisi mereka setiap kali tibanya hari raya. Begitu juga adik beradik saya yang lain. Perhatian dan tanggungjawab beralih ke keluarga mertua masing-masing. Seingat saya selepas pemergian mak kami tidak pernah beraya di tempat lain selain Titi Gajah. Jadi bila datang raya ada yang beraya di Johor, ada yang beraya di Rembau, di Melaka dan di Kedah. Waktu lain memang sukar untuk berkumpul. Jika seorang di Sarawak, sorang di Johor, 4 di Selangor dan saya sendiri di P.Pinang tentu agak sukar untuk bertemu walaupun bukanlah mustahil. Makin meningkat usia makinlah beratlah tanggungjawab dan makinlah singkat masa senggang untuk kita.

Kami empat beradik tanpa ancik Tim.
Panggilan telefon dari kak long membuka ruang untuk kami bertemu. Saya terus menghubungi suami dan segera merangka perjalanan kami. Maklumlah bila hari cuti hujung minggu tidak sama tentu banyak perkara perlu diuruskan. Kebetulan  menantu saya sedang berkursus di Bayan Lepas jadi mudahlah dia ikut serta. Saya memang sangat ingin membawanya  bertemu ahli keluarga saya. Selepas berkahwin tahun lepas mereka ada juga ke sana tetapi maklumlah bukan senang bertemu orang KL. Bila kita lapang mereka pula tidak lapang. Bila kita sudah ada di depan pagar mereka pula sedang tersepit di kesesakan jalan raya. Jadi bila Allah bukakan jalan sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang ini.

Selepas solat Jumaat kami bertolak ke sana. Kami .merancang untuk .tidur di rumah adik menantu saya di Rawang. Jadi tidaklah terlalu lama  Lutfil Haziq terkurung di dalam kereta. Maklumlah baru belajar merangkak tentu rimas bila terperok lama-lama di ruang yang sempit. Kebetulan pula  isterinya anak sepupu suami saya .Mereka berdua  baru diuji Allah kehilangan anak sulung berusia 9 bulan  pertengahan Ramadan lalu. Anak adalah amanah yang dipinjamkan Allah. Tiba masanya akan diambil kembali. Walau betapa kasih dan sayang kita kepada mereka. Dan Allah menguji dengan apa yang kita mampu tanggung. Semuga Allah akan mengantikan dengan  yang lebih baik lagi.Ameen.
Berpuluh tahun tidak bertemu

Selepas sarapan kami singgah sebentar di Taman Melawati. Menziarahi  keluarga adik ipar. Mereka juga sedang bersiap ke satu majlis raya. Selepas  merasa sepotong dua lemang Pak Ajai kami meminta diri. . Destinasi seterusnya sudah pasti ke tempat kenduri. Taman Bukit Mahkota. Kami tiba tepat jam satu. Majlis baru bermula. Pengantin pun belum lagi tiba. Selepas  bersalam  dan bertanya kabar andak ,busu dan  kak long kami segera  mengambil beberapa keping foto  sebelum melangkah ke meja hidangan.

Menantu saya memuji acar buah yang hidangkan manakala suami saya termenung memikir apa yang boleh dimakannya. Kasihan dia  tidak ada pilihan. Semuanya pedas dan berempah. Selepas pembedahan  dulu dia terpaksa menapis  apa yang boleh dimakan. Sambil kami menjamu selera kami memerhati keliling. Ada tetamu yang dikenali dan ada juga yang tidak.Maklumlah bila sudah lama tidak bertemu sudah pasti ada perubahan fizikal yang menyukarkan kita mengecam  mereka yang satu waktu dulu sangat hampir dengan kita. Sekejap-sekejap ada sahaja adik , abang atau kakak mengajak saya bertemu dengan saudara mara yang sudah lama tidak bertemu.  Memang betul kata orang tua-tua. Di tempat kenduri dan kematian sahaja tempat kita bertemu saudara mara.
Perjalanan pertama Lutfil Haziq 

Majlis hampir berakhir ketika kami meminta diri. Lutfil Haziq sudah rimas. Sebaik mendapat kunci rumah dari adik ipar kami meminta diri . Saya melangkah pulang dengan hati yang berbagai-bagai. Wajah-wajah ceria adik beradik dan anak-anak saudara  kuat mengingatkan saya kepada emak. Terbayang di mata betapa gigih dan sabarnya  mak menjaga dan mendidik cucu-cucunya ketika ibuayah mereka keluar bekerja. Walaupun kepoh mulutnya meleterkan budak-budak tu tetapi bila sudah ke dapur bagaikan hilang rasa penatnya memasak itu dan ini untuk anak menantu dan cucu-cucu kesayangannya. Cuma saya berharap dan berdoa agar dalam keceriaan dan kegembiraan hidup hari ini  masing-masing tidak lupa menziarahi  pusaranya dan menitip sepotong dua doa untuk kesejahteraannya di alam sana.Tiada apa lagi yang didambakan sekadar doa-doa yang tidak putus-putus dari anak-anak yang soleh. Tika harta tidak lagi berguna doa-doa itulah yang lebih bernilai dari dunia dan seluruhnya. Meskipun iman itu tidak boleh diwariskan tetapi saya percaya mak dan bapa sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan iman itu sebagai bekalan hidup kepada anak-anak yang tinggal. Terserahlah kepada anak-anak yang tinggal untuk menyemarakkan lagi iman itu atau membiarnya terkulai layu. Saat ini  mak dan bapa sudah tidak ada lagi di sisi tetapi ajaran dan kata-kata nasihatnya masih terngiang segar di telinga. Mudah-mudahan apa yang kita kerjakan hari ini tidak sampai menjadi beban kepada ibubapa yang sedang menanti kita di alam sana. Permudahkanlah Ya Allah urusan mereka di sana.Ameen Ya RabbalAlameen.Dan anakmu ini tetap akan menyusulmu cuma bila dan ketikanya hanya di dalam ilmu Allah Taala jua.
Bersama busu, kak long dan andak.

No comments: