Wednesday, August 24, 2011

Terimalah Seadanya


Tempat berlindung dan membesarkan anak-anak
Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Berbekalkan kesungguhan hati dan keyakinan pada janji Allah kami bertekad  untuk memulakan kehidupan berumahtangga. Bukan sedikit cabaran yang dihadapi untuk menyakinkan semua orang, yang kami memang bersungguh-sungguh. Ketika umat Islam sedang berpuasa dan menghampiri hari raya kami masih belum mencapai kata sepakat. Kami  tidak berhenti-henti berdoa  mudah-mudahan doa ikhlas di bulan mulia ini akan dikabulkan Allah. Bukan mudah rupanya kita menyakinkan semua pihak. Berbagai kata nasihat diterima. Masing-masing menasihati supaya  kami menangguhkan pernikahan ini  namun tidak sedikitpun melunturkan  hasrat di hati. Menghampiri penghujung Ramadan akhirnya terdengar kabar akan datang  utusan dari pihak sana.

Alhamdulillah arwah mak dan bapak yang sangat faham hal agama tidak memberat-beratkan. Kata mak  ada hadis yang menggesa dikahwinkan anak perempuan bila datang lelaki yang kita percayai agamanya.  Ketika itu saya bertugas di Maybank Jalan Tuanku Abd Rahman.   Hari yang dijanjikan itu  akhirnya tiba jua.  Menyedari mereka masih di rumah saya memutuskan untuk berjalan kaki pulang ke rumah. Bukan jauh benar lebihkurang 2 Km sahaja. Lagipun petang-petang begini bukan senang nak mendapat bas Srijaya atau bas mini . Saya berjalan perlahan-lahan menyusuri Jalan Raja Muda  Abdul Aziz, masuk ke Jalan  Datuk Abdul Malik, menempuh Jalan Raja Uda, masuk ke Jalan Haji Yaakob sebelum sampai ke rumah.


Abah dan mak  kasih ditumpahkan
 Ketika tiba di rumah kelihatan mak, bapa dan kak long sedang berbincang dengan dua tetamu . Mereka memperkenalkan diri sebagai  bang char dan pak ngah . Selepas bertegur sapa  saya segera ke bilik. Usai solat asar saya ke dapur membantu mak dan kak long.  Mak menggesa 'orang sana'  berbuka puasa di rumah. Lagipun waktu berbuka sudah sangat  hampir. Ketika berbuka saya melihat ada agar-agar gudil dan sup bola ikan parang. Itu adalah menu kesukaan kami dan mak selalunya akan memasak agar-agar gudil itu bila ada satu-satu occasion yang istimewa. Terima kasih  mak.

Sama berkongsi minat
Lepas solat maghrib mereka memohon diri kerana akan bertolak pulang ke Alor Setar dengan bas malam itu.  Sebaik mereka keluar mak masuk ke bilik. "Haa...lepas raya kauorang nikah"  Saya diam tidak bersuara. Betulkah saya sudah bersedia?  Saya baru berusia 21 tahun. Dan dia pun masih belajar lagi. Malam itu saya memang tak dapat tidur. Ketika itu memang tak ada talian telefon iuntuk saya hubungi dia meminta kesahihan. Jika  perlu telefon terpaksa menelefon ke rumah mak saudaranya. Dan longnya akan menjerit memanggil kuat-kuat .Kesian dia terpaksa berlari-lari ke rumah  long.  Jadi jika perlu sangat -sangat barulah saya menghubunginya. Tidak mampu melelapkan mata saya bangun ke bilik air. Mengangkat wudu dan terus mencapai telekong. Saya bersolat dan bersujud lama-lama. Saya meminta Allah memberi kekuatan hati untuk saya mengharungi kehidupan baru nanti.
Di perkuburan Ampang jasad bapa dan mak bersemadi
Ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut Syawal saya lebih banyak menyendiri. Di sana sini  terdengar letupan mercun dan bunga api. Kerlipan lampu-lampu berwarna-warni tidak mampu menceriakan saya. Memandang liuk api pelita menjadi hati saya sangat  sayu. Ini mungkin raya terakhir saya di rumah mak. Tahun depan dan seterusnya besar kemungkinan saya tidak dapat beraya dengan mak lagi. Saya mungkin jauh beribu-ribu batu dari mak. Sudah tertakdir hanya sebentar sangat  Allah bagi kesempatan untuk saya bersama mak. Jika dihitung tak sampai 3 tahun saya betul-betul tinggal dengan mak. Baru sangat belajar kasihkan mak sudah  terpaksa berpisah jauh.
Di  hari  bahagia anak ketiga
1 Syawal tiba jua. Tak henti-henti melayan tetamu kecil mak. Macam-macam juadah yang dibawa mereka. Mak sejak awal sudah menyediakan wang syiling untuk anak muridnya. Tetamu keluar masuk sehinggalah ke malam..Malah  anak muridnya yang telah bekerja pun datang juga menziarahi ustazah mereka. Ketika menunggu keputusan MCE dahulu, saya rajin juga membantu mak mengajar mereka mengaji, jadi ada sesetengahnya saya kenali dengan baik. 

Sehari dua selepas raya kami sudah sibuk mengemas rumah. Mak sibuk menyuruh saya segera keluar mencari barang untuk hantaran.  Mak cik Loyah jiran kami menghulur tangan untuk menggubah hantaran. Mak Zalin pula menawarkan baju songketnya untuk saya pakai di majlis itu. Mak cik Rahmah tawarkan ruamhnya tempat untuk orang lelaki  makan. Oh! Saya sungguh terhutang budi dengan mereka. Jiran-jiran mak yang bagaikan saudara. Patutlah Nabi SAW pernah berpesan antara nikmat dunia ialah jiran yang baik. Mereka yang tahu susah senang kita. Untuk dapat jiran yang baik kita juga perlu baik dan banyak berlapang dada kata mak.. 

31 tahun berkongsi hidup
 Bapa  pula sibuk mengurus pernikahan saya. Malam yang dinanti akhirnya tiba. Usai maghrib hati berdebar kencang. Macam-macam perasaan  yang berkecamok  di dada. Takut orang tak jadi tiba, takut menerima tanggungjawab  bakal dihadapi. Tetamu yang mak jemput tiba seorang demi seorang.Kelihatan pak cik Zam, ayah cik Tajul, Tok long Amah .Masing-masing memeluk dan mengucap tahniah. Saya cuma tersenyum dan sesekali mengerling muka jam. Detik terus berlalu. 

"Dia orang dah datang" bisik adik saya. Saya menarik nafas lega dan meraup tangan ke muka. Tidak lama kemudian  bermulalah perbincangan antara imam dan pihak lelaki. Detik dan debar terus berlagu. Selesai mendapat tandatangan saya majlis pernikahan pun bermula. Alhamdulillah, pada 21hb Ogos, 1980 bersamaan 10 Syawal 1400 bapa selamat menikahkan kami .
Bahagia hati seorang ninda
Sebaik tetamu beredar pulang. Mak berkata  " Ni dah jadi isteri orang  kena jaga tingkah laku , rajin-rajin  masuk ke dapur tu ". Saya yang tidak biasa menjawab hanya terdiam. Bila pihak lelaki meminta diri untuk pulang ke rumah persinggahan mereka di Ulu Kelang saya  turut menghantar ke  muka tangga. Saya merenung suami saya hilang di selekoh tangga. Sebelum  kelibatnya hilang dia sempat menoleh dan tersenyum.  Saya melangkah masuk  dengan hati yang lapang walaupun  nun di kejauhan ada menanti onak diri dan badai  di samudera  perkahwinan.
Cucu sulung penyeri rumahtangga
. "Ummi...happy anniversary!!!" ucap  'Ammar. "Oh! Ya..ka...lupa".  Saya baru pulang dari masjid . Ada majlis pengkisahan manaqib Siti Khadijah. Saya baru saja menangis mendengar betapa tingginya pengorbanan Khadijah sebagai isteri Rasulullah SAW. Berkorban diri harta demi membantu perjuangan suami yang dikasihi. Saya belumlah sampai ke tahap itu anniversary sendiri pun terlupa. Saya  segera mengadap suami. Mencapai tangan dan mencium jari-jemari. Kata Nabi SAW jika suami isteri bersalaman akan gugur dosa-dosa mereka dari celahan jari-jemari. Masyaallah.....banyaknya ruang untuk membuat pahala.
"Minta maaf banyak-banyak...saya memang lupa.Terima kasih untuk 31 tahun bersama "  
" Sama-sama kasih..ingat dah lupa"
"Eh..Hari ni memang lupa tapi kan kita dah plan nak buat iftar sempena anniversary." Saya kembali  ke dapur. Daun pandan perlu dimesin, daging perlu direbus.
"Betulkah nak masak ni..???..larat ka????"
"Hai....31 tahun larat masak...tak kan rini (hari  ini)  tak larat...insyaalllah"
" Daun pandan buat apa?"
"Bingkang "
"Daging?"
"Nasi daging cicah air asam" sampok ' Ammar yang sedang sibuk mengupas bawang.
"hpy anniversary  ke 31 umi, abu mga bkekalan kasih hnga ke syurga" tiba-tiba masuk SMS dari anak sulung saya.
'O..tq.mai makan nasi daging" SMS saya kirimkan kembali.Daging sudah menggelegak.  Bukan selalu kami dapat mengundang rakan taulan berbuka puasa. Di hari yang istimewa ini sudah pasti kami ingin berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan orang lain. Bukan mudah mengharungi 31 tahun bersama. Berbagai peristiwa yang dilalui yang kini tinggal dalam lipatan sejarah. Banyak juga pelajaran hidup yang diperolehi. Semua ini menjadi i'tibar untuk generasi  akan datang.

Susah senang bersama.
Seminggu lagi anak cucu dan menantu akan memenuhi rumah.  Ramadan sudah berkali-kali dilalui namun kenangan dan kerisauan ketika menanti saat dijabkabulkan itu tetap segar dalam ingatan. Daun-daun hari di lalui   dengan bermacam kisah.suka duka silih berganti. Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri. Jika tidak ada badai tentu tak seronok pula pelayaran itu. Jadi sesekali Allah menguji sudah pasti untuk meningkatkan  darjat kita. Dia akan menguji kita dengan apa yang mampu kita tanggung. Percayalah setiap masalah ada jalan keluarnya. Petua hidup bahagia mudah sahaja. Banyak bersabar, bertolak ansur dan berlapang dada. Jika kita amalkan prinsip ini insyaallah apa pun halangan yang tiba akan dapat diharungi walaupun dada bagaikan hendak pecah menahan rasa. Insyaallah, di akhirat sana tersedia ganjaran pahala untuk orang-orang yang sabar. Untuk bersabar juga perlu pergantungan yang kuat dengan Allah. Tika mak bapak jauh di mata hanya Dia tempat saya mengadu. Memohon petunjuk dan kebijaksanaan menyelesai masalah dan memecah kebuntuan. Bila sudah biasa  mengadu dan meminta tolong dari Nya insyaallah kita tidak  akan gentar menghadapi ujian kerana di sana ada Allah yang sedia bila-bila masa sahaja membantu  jika kita meminta kepadaNya. Banyak-banyak beramal dengan doa ini mudah-mudahan rumahtangga  kita dalam  redaNya. 


Ingatkanlah peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".
   
   

        “Ya Tuhan-ku, tunjukilah aku untuk mensyukuri Nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau Ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf 15) 

No comments: