Thursday, August 4, 2011

Harapan Ramadan

Sudah berbuka hati berperang. Mahu tarawih di rumah saja atau ke masjid. Ketika berbuka tidaklah makan banyak sangat.Sekadar melenyap rasa lapar dan supaya tidak mengantuk bila bertarawih nanti. Usai solat maghrib terpaksa lelapkan mata sekejap.Sekadar mengusir rasa ngantuk yang teramat sangat. Alhamdulillah, hujan turun setelah beberapa lama  panas membahang. Sudah dua malam berkereta ke masjid. Jemaah muslimat sudah memenuhi ruang dalam dan luar masjid. Alhamdulillah, dapat juga satu ruang untuk solat di bahagian dalam. Ketika sedang sujud sunat tahiyatul masjid seorang kanak-kanak  memijak dan melangkah untuk pergi ke ibunya. Mujur tidak patah cermin mata yang terjatuh. Apa nak dikata sabar sajalah. Nama pun kanak-kanak cuma alangkah baiknya jika ibu-ibu yang membawa anak kecil bersolat di ruang luar  yang disediakan. Anak-anak juga boleh berlari dan bermain tanpa menganggu orang yang betul-betul ingin khusyuk.Lumrah manusia, bila tak ada ruang dikecohkan, bila disediakan tak mahu digunakan.


 Seronok juga melihat ruang solat dipenuhi .Cuma terkilan kerana saf tidak dijaga dengan baik. Ada lubang di sana sini dan ada yang bengkang -bengkok. Ada yang berubah bila ditegur dan ada yang buat tidak apa saja. Kemahuan untuk beribadat memang bagus tetapi jika tidak dilengkapi ilmu memang tidak sempurna jadinya. Sedangkan perbuatan kita akan memberi dan mengurang pahala keseluruhan jamaah

Usai solat  insya' saya terpaksa keluar mencari bilik air.Tiba-tiba perut terasa memulas. Selesai berwudu kenalah bersolat di luar kerana ruang  dalam sudah penuh. Diantara rakaat-rakaat yang 20 itu saya asyik bertukar tempat. Untuk menghilang rasa mengantuk yang begitu menganggu. Akhirnya selesailah sudah tarawih malam ini. Dan seruan untuk witir pula. Sebenarnya saya  suka berwitir di masjid kerana suka mengaminkan doa-doa yang dibacakan. Mudah-mudahan makin banyak tangan yang menadah meminta , makin kuat pula  Allah memakbulkanya. Mendengar suara imam mengalun ayat-ayat Allah saya tidak jadi melangkah keluar. Lagipun dalam menahan ngantuk tadi saya tidak ingat langsung janji dengan suami. Solat witir di masjid atau di rumah. Apa yang dalam fikiran hanyalah doa agar Allah izinkan saya menyempurnakan 20 rakaat itu. Inilah azam saya sejak akhir Syaaban.

Dalam dilema  saya masuk ke saf dan ketika itu imam hampir menghabiskan bacaan suroh untuk rakaat pertama. Alhamdulillah. dapat juga mengaminkan doa dengan linangan airmata. Meminta Allah sudi menerima sedikit amalan yang termampu dibuat.  Rupanya perbuatan baik ini akan membuat hati kita gembira kerana berjaya melakukannya.Walaupun berbagai halangan yang menganggu. Di Ramadan ini saya hanya berperang dengan nafsu bukan seperti Ar Rasul dan para sahabat yang berperang di Badar di bulan Ramadan. Tetapi ada kalanya kita kalah juga dengan  nafsu dan adakalanya kita berjaya memeranginya. Memang bukan seratus peratus kemampuan kita melaku semua itu.Semuanya  dengan pertolongan dan ikhsan Allah jua. 


Alangkah indahnya jika madrasah Ramadan ini mampu menjadi medan untuk kita mendidik diri.  Kata orang rasa  lapar atau panas akan  menjadi kita mudah marah. Tetapi berbalik kepada tujuan kita berpuasa. Bukankah Allah ingin mendidik diri kita supaya banyak-banyak bersabar. Sabar melawan nafsu. Sabar untuk ketaatan .Sabar dan terus sabar,. Walaupun mudah untuk dikatakan tapi  berat untuk dilakukan.Hanya orang  pernah  bersabar sahaja memahami betapa manisnya buahnya. Dan  yakinlah  dengan janji Allah .Manusia itu teruji dengan apa yang mampu ditanggungnya. Setiap ujian kesabaran itu akan meninggikan lagi darjat kita di sisiNya .Walaupun hati bagaikan pecah menahan rasa. telinga bagaikan ditusuk panah menerima kata pedih. Muga Ramadan ini mampu menjadi Ramadan terbaik buat diri ini dan kita semua. Dan kita keluar dari madarasahnya dengan  rasa puas kerana berjaya mendidik diri menjadi Muslim yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Ameen.

No comments: