Tuesday, December 28, 2010

Menghitung Hari

Berapa hari sahaja lagi tahun 2010 akan pergi meninggalkan kita. Begitu juga dengan diri kita. Kita beranjak ke tahun baru ke usia baru dan tetap membawa bersama segala kenangan silam. Yang pahit, yang manis dan itu adalah lumrah kehidupan. Bukan semua manusia dapat menerima ujian Allah dengan sabar . Sesungguhnya Allah menguji kita dengan apa yang mampu kita tanggung. Berhentilah mengeloh, berdoalah. Kita akan melangkah ke tahun baru. Dan ketika ini kita siap memasang impian,angan-angan dan azam untuk membina kehidupan dan diri ke arah yang lebih baik dari tahun ini. Semua orang merancang tetapi berapa orang yang mampu beristiqamah dan mendisiplinkan dirinya. Apa-apa pun resolusi tahun baru kita semuanya bermula dengan diri kita, Jika ingin berubah dari yang buruk kepada yang lebih baik kita tidak payah menunggu hingga datang tahun baru. Islam telah lama mengajar  kita supaya menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini.

Ingati Allah tika senang 

Jam kehidupan terus berputar samada kita mahu ia bergerak cepat atau lambat. Dan selagi bernama manusia kita tidak akan pernah berhenti menanti dan menghitung hari. Saya juga tidak terkecuali. Banyak benar yang dinanti dan ditunggu. Jika sebulan lalu saya asyik melihat kalendar bila SPM akan tamat dan kini anak saya sudah pun ada di hadapan mata. Jika dua bulan lepas hati resah menanti keputusan PMR diumumkan tapi
pada saat ini hati sudah reda debarannya. Syukur di atas nikmatNya.

Rasa bahagia bila doa dikabul Allah
.Saya kembali sibuk memaksa anak-anak mengemas peralatan dan pakaian mereka. Seorang akan ke Kem PLKN di Kedah dan seorang lagi akan kembali ke asrama. Saya juga sudah menyiapkan beg untuk pergi menjaga cucu. Jika mampu meminta sudah pasti saya ingin cucu ini lahir selepas kedua bapa saudaranya pergi  Tetapi siapalah kita yang ingin mengarah -ngarah Allah. Setiap kejadian bukan satu kebetulan tetapi semuanya  telah ada dalam perancangan dan perkiraan Allah. Jika doa kita diterima dan hasrat kita dipenuhi bukan kerana diri kita tetapi kerana rahmat dan kasihsayang Allah. Dan jika Allah menguji bukan juga bermakna Allah bencikan kita tetapi kerana dia kasih dan ingin kita lebih hampir dengan meminta penuh ikhlas dariNya.
Saat bahagia sesekali dapat bersama
Tahun datang dan pergi .Selagi matahari masih muncul  setiap pagi kita tidak boleh berhenti beramal, berdoa dan menanti ketetapan dari Allah.

Thursday, December 16, 2010

Baiti Jannati

Kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermanja. Inilah perasaan saya bila dapat kembali ke rumah lama kami. rumah ini memang rumah lama.Usianya kalau tak silap mungkin sudah 40 tahun. Ketika taman perumahan ini mula diduduki kalau tak silap saya masih di sekolah rendah lagi. Rumah ini adalah rumah pertama kami. Pada tahun 1994 kami sekeluarga menyewa di Jitra ditakdirkan Allah suami saya terpaksa menjalani satu pembedahan di Hospital Alor Setar. Saya memohon bantuan tok su untuk menjaga anak-anak dan saya pula berada di HAS sepanjang masa. Pada suatu hari suami saya meminta saya membawa kereta untuk dicuci. Sambil menanti kereta dicuci di sebuah kedai di Jalan Sultanah saya terfikir 'Alangkah baiknya kalau rumah kami dekat-dekat dengan hospital "
Ditakdirkan Tuhan mertua adik ipar saya memberitahu ada sebuah rumah hendak dijual.  Rumah lama tetapi lamannya luas. Kami juga meminta pandangan mak dan abah tentang  rumah tersebut.
Kalau nak cari suami syarat tambahan mesti pandai membaiki paip bocor atau yang tahu tukar mentol lampu .Itu kata A Jalil Ali dalam majalah MIDI.

Suami saya pun mula bertanya tentang pinjaman perumahan dsbnya. Saya pula sudah teruja maklumlah entah kenapa suka sangat nak tinggal di situ. Mungkin kerana lokasinya dekat dengan masjid atau  kerana ada dua buah stesen minyak atau kerana dekat dengan sekolah atau kerana dekat dengan hospital atau kerana ada kedai Peladang yang menjual bun .Wah...the lists may go on. Pak Jamil pula terus tidak berhenti bertanya "Jadi dak nak ambik rumah tu?". Setelah berbincang panjang kami pergi  bertemu jiran di sebelah rumah tersebut. Jiran ini yang memegang kunci rumah tersebut kerana tuan rumah asyik outstation mengusung kamera RTM mengikut menteri. Segera kami maklumkan hasrat  kami.  Beberapa minggu kemudian kami pergi melihat rumah itu lagi. Kata jiran tadi  "Kalau tak jadi pun tak pa...sebab 4-5 orang dah datang bertanya. Siap tinggal nombor telifon..kalau tak jadi depa nak" Saya menoleh melihat muka suami. Tanpa ragu-ragu dia menjawab "Insyaallah..jadi. La ni saya tengah tunggu surat dari bahagian pinjaman saja".
laman tepi pagar tempat anak lelaki mengasah bakat jadi Bekham.

Sebaik surat perjanjian dibuat saya mula mengemas barang-barang untuk berpindah. Maklumlah bila dalam pantang nanti tentu pergerakan saya agak terbatas.  Setiap hari saya akan memasukkan barang ke dalam kotak dan letak di bilik belakang. Ketika ini masa untuk menyaring mana yang perlu simpan dan mana yang perlu dibuang.  Akhirnya selepas selesai berpantang kami mengadakan  majlis baca Yassin di rumah tersebut. Selepas tinggal di sepuluh buah rumah sewa selama 14 tahun akhirnya kami ditakdirkan berpindah ke rumah sendiri November 1995
mujur juga ada pembantu jika tidak teruk juga mengerjakan rumah tu!
 Bila mengetahui kami membeli rumah di situ , emak saudara saya mengusik " Ambuih!..dulu mak cik nak jual rumah mak cik depa tak mau noo...last-last mai dok juga Taman Uda" Suami saya segera menyambut "Bukan tak mau mak cik.Tapi saya dah azam nak pi Mekah dulu baru nak beli rumah.Masa mak cik pelawa tu kami baru dok pekin nak bagi duit dalam Tabung haji cukup.Nak buat macamana dah tak jadi   rezeki kami dan rezeki mak cik "  Sambil tersenyum mak cik menjawab " Tak pa..mak cik bukan apa..bukan tak sayang rumah tu tapi bila sudah tinggal sorang rasa macam besar sangat rumah tu.Lagipun rumah tu mak cik jual kat cikgu yang satu sekolah. Dia tu pun macam adik juga . Kurang-kurang bila rindu dapat jugak mak cik pi rumah dia nanti " Kami menganggok .Rupanya apa yang mak cik sebut dan rasa  15 tahun lalu itulah yang kami rasa sekarang ini.
Tak tahulah konsep apa dapur ini dicat oleh penyewa lama. Moden retro ka...? Tu kena confirm dgn  Eric Leong kot
 Ketika kami ditukarkan ke Pulau Pinang rumah itu terpaksa disewakan. Bila sudah disewakan kami tidak gemar sering sangat datang memeriksa  itu dan ini. Tambahan pula kami percaya penuh dengan penyewa dan kami yakin mereka akan menjaga rumah kami seperti rumah sendiri. Sebarang kerosakan kecil minta dibaiki. Maklumlah mereka yang akan duduk dan untuk keselesaan sendiri juga. Kami pun bukanlah  berkira  sangat kalau perlu ditolak sewa ,tolaklah asalkan rumah itu selesa untuk diduduki. Yang penting rumah itu terjaga dan berpenghuni. Bukankah kata  orang jika rumah tidak dihuni selama 40 hari akan ada makhlok halus pula yang tinggal di situ. Sebelum berpindah keluar suami saya baru  mengecat keseluruhan rumah tersebut luar dan dalam. Mahal juga upah dan harga cat. Cat minyak bukan cat kapor. Sekarang 1 liter cat sahaja berharga RM26 . Bayangkan berapa liter cat yang cukup untuk mengecat keseluruhan rumah. Kata suami saya "Kita nak bagi orang sewa kenalah bagi elok.Barulah puas hati. "Jadi setelah tujuh tahun disewakan dan melihat kondisi  rumah yang disewakan maka kami berdua bertungkuslumus berulang-alik setiap minggu untuk memastikan bakal penyewa selesa dan kami juga berpuas hati dengan  kondisi rumah tersebut.

rumah yang sedang di 'make over'

Suami saya yang memang berjiwa "engineer" sentiasa bertegas mahu melakukan sendiri. Menukar washer paip air yang kembang, menukar soket lampu, mengecat, memasang railing curtain , kerja-kerja plumbing sampailah menjolok lubang tandas semua dilakukan sendiri. Kalau mengupah orang mahu juga beratus-ratus ringgit habis di situ. Jadi  orang-orang muda di luar sana yang bakal-bakal mendirikan rumah tangga mulalah menyiapkan diri dari sekarang. Saya baru membaca kolum Dairi Suami di majalah MIDI. Saya kongsi kata-kata A.Jalil Ali ya!
"Saya bertanya menantu macamana yang menjadi iadamannya? Katanya "Tidak kira menantu lelaki atau perempuan, yang penting baik budi pekerti"Ada lagi syarat tambahan."kalau menantu lelaki biarlah yang pandai membaiki paip bocor atau yang tahu tukar mentol lampu. kalau yang perempuan mesti tahu kerja-kerja dapur"
walaupun serba tak sempurna tapi makan mesti nak fresh dari dapur juga.
Yang perempuan mesti ada sedikit sebanyak kemahiran memasak , menjahit dan mengemas rumah. Mana tahan kalau asyik beli sahaja setiap hari. Suami kan manusia biasa juga. Walau betapa sayangnya dia kepada kita sudah pasti satu hari akan timbul rasa bosan dan jemu jika asyik makan benda yang sama setiap hari. Jika tak percaya bila sudah kahwin nanti perhatikan suami kita bila pulang ke rumah ibunya. Walaupun perut sudah kenyang tetapi bila melihat ada lauk kegemarannya di depan mata pasti dia tanpa menunggu kita akan segera mencapai pinggan. Dan kita pula janganlah berkecil hati bila suami berkata "Bila lagi awak nak belajar masak lauk ni dari mak? Saya suka lauk ni" .Dulu memang ada rasa kecil hati bila suami  berkata begitu tetapi setelah bertahun-tahun berkongsi hidup saya mula memegang prinsip kita memang tidak boleh menukar citarasa suami kerana sedari kecil itulah yang dijamu ibunya dan dimakannya tanpa jemu. Jadi untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga belajarlah memasak dari ibunya. Setiap mertua  pasti gembira dan berbesar hati kerana menantu  benar-benar mahu menjaga anaknya seperti mana  dia menjaganya. Namun bukan semua lauk kegemarannya saya mahir dan  suka memasak. Bila dia bersungut saya menjawab "Saya bukan tak mau masak tapi kita tu kan ada  penyakit" Suami pula selalu membalas "Cakap rajin ke cakap malas?" Saya segera menjawab "Cakap malas" sambil melihat dia menambah nasi lagi ."Tu yang  saya tak mau masak sedap-sedap tu....Kalau masak lagi sedap tentu tak reti nak berhenti pulak. Orang kata hujan pun reti berenti tau ! " " Ha..ha..haa " dia terus ketawa sambil menghirup kuah pindang hingga kering dan isu lauk kegemarannya mati di situ untuk hari itu.