Tuesday, October 18, 2011

Nilai Kehidupan

Angka-angka di kalendar menginjak satu-satu. Menghampiri hujung tahun bererti calon-calon  SPM makin kuat menumpukan perhatian di dalam kelas. Kata orang Kedah mungkin tak panggung (angkat ) kepala dari buku.Pulun studi lah tu. Maklumlah sekarang semua orang ingin dapat A yang berderet-deret. Bukan setakad A tapi A+ ya, nak. Peluang cerah kalau dapat 8A+ ke atas. 8 sahaja pencapaian minima. Sikit saja tu.


Oh! Anak saya selalu komplen. Mana boleh dapat A+, ummi. Lainlah kalau asyik tunggu buku saja. Nak juga masuk itu dan ini. Markah koko bukan 10% saja,ka? Soal saya pula. Tapi ummi kalau masuk macam-macam sijil pun banyak..yang penting dapat pengalaman.Buat persiapan, buat perbincangan, bagi tugasan dan paling seronok bila nama sekolah dipuji.Terasa macam terbang di udara.Terangkat gitu.Kuatnya rasa sayang kat sekolah .Tambah pula era sekolah kluster dan sekolah  berprestasi tinggi. Setiap sekolah berlumba-lumba untuk mencapai sasaran itu.


Oh!!! Begitukah rasanya bila dapat jadi wakil sekolah.Tambah-tambah pula kalau dapat jadi wakil negeri tentu lebih seronok perasaan itu. Sebagai ibu saya tidak menyekat asalkan mereka tahu batas-batas kemampuan mereka. Saya juga tidak juga mahu mereka gila nama dan glamour sedangkan akademik terabai. Jadi apa yang saya ulang dan pesankan berkali-kali terutama pada anak bongsu saya ialah pandai-pandai imbangkan. Jangan sampai  keputusan hujung tahun akan beri kesan besar pada awal tahun depan nanti.

Saya rasa dilema ini dihadapi oleh semua orang. Adakala kita ingin anak kita selalu skor, tiap tahun dapat naik pentas mengambil hadiah dan kita terus menekan, berleter dan memaksa mereka menjadi seperti anak orang itu dan anak orang ini. Sedangkan kita lupa anak kita adalah anak kita. Adakah mereka mampu mencapai impian kita ?  Kita juga suka membanding "Tengok sepupu kamu tu...maknya bagi tau dapat jadi top 5 in school" atau "Eh...tau tak macam mana anak pak su  kamu belajar.???..Bukan macam kamu ni asyik main Fifa 24 jam" Saya sendiri pun bila dibanding begitu ketika kecik-kecik dulu memang rasa geram, bengang dan kata hati yang jahat awat tak ambik budak tu jadi anak awat ambik kita yang tak reti ni jadi anak.

Kalaulah kita diberi pilihan tentu kita mahu memilih siapa patut jadi ibu bapa kita atau anak-anak kita. Dan manusia tidak pernah diberi pilihan itu kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Dan jika diberi peluang memilih  manusia tidak akan pernah berpuas hati.Ada-ada sahaja yang tidak puas dan tidak kena. Jadi sebagai ibubapa kita patut bersyukur dengan apa sahaja kurniaan Allah. Kita yang mencorak dan melentur mereka. 

Anak-anak kita tidak perlu dipaksa dengan  apa yang tidak termampu mereka capai. Yang penting kita perlu pantau, beri semangat dan keyakinan untuk mereka terus melangkah dan bersaing secara sihat dengan  rakan pelajar yang lain. Tidak semestinya yang cemerlang di zaman sekolah akan terus cemerlang bila melangkah ke dunia pekerjaan. Ada rakan-rakan yang satu masa dulu asyik kena marah dan denda kerana mencapai markah rendah dalam kelas tetapi hari ini sudah menjadi orang itu dan orang ini dalam masyarakat.Dan kita yang mungkin lebih hebat dari mereka satu masa dulu hanyalah orang biasa-biasa sahaja.

Yang penting sematkan  ke dalam hati anak-anak untuk cemerlang di dunia dan juga di akhirat kerana kehidupan baik di dunia memberi kita banyak peluang untuk menanam  saham buat kehidupan akhirat.Dan jika kehidupan di dunia tidak begitu membahagiakan bersabarlah. Berkat kesabaran dan redanya kita akan memberi peluang kita meraih bahagia yang kekal abadi di alam akhirat. Bukankah itu matlamat utama kita? Ajar anak-anak kita supaya berpeganglah dengan kata-kata ini. Suruhlah mereka  berusaha bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya di dunia dan beramallah seolah-olah kamu akan mati esok hari. Insyaallah jika hati mereka tertanam tekad ini kita hanya perlu mengingatkan mereka sekali sekala dan mereka berusaha dan kita tolong dengan doa pula.Mudah-mudahan anak-anak kita menjadi orang-orang yang cemerlang demi untuk masa depan Islam itu sendiri.

Thursday, October 6, 2011

Suara Hati

Bila sudah separuh abad meniti hari saya bagaikan terperasan. Patern hidup saya . Ada masa Allah bagi hati ini sangat gembira, sangat sedih dan sangat tenang. Tidak sangat risau walaupun banyak masalah yang berlegar dalam fikiran. Ketika sangat tenang saya bagaikan tertanya-tanya apakah ujian lagi yang bakal menanti untuk muncul.

 Dan kini pertanyaan itu terjawab. Apakah perasaan saya? Saya masih boleh berlaku tenang. Hanya tidur malam yang terganggu. Menghampiri jam 4 pagi mata sudah tidak mahu pejam.Tidur pun sudah rasa sangat puas. Berlama-lama di tempat tidur tidak memberi apa-apa manfaat lagi. Ayuh! Bangun.Hati kecil saya menyeru. Tuhanmu sudah lama menunggu.Menunggu mu tunduk sujud dan menunggu mendengar apa yang kamu resahkan.

Di luar tingkap terdengar titik-titik embun menimpa bumbung. Tap..tap..tap...sudah berkali-kali saya mengira tetapi sekujur tubuh ini masih malas untuk bingkas bangun. Entah apa lagi yang disayangkan. Tilam empuk? Bantal? atau teman tidur disebelah? Tiba-tiba hati yang satu lagi berkata. Apa yang kamu sayangkan hanyalah pinjaman. Satu masa nanti bukan saja semua itu akan meninggalkan kamu tetapi kamu juga akan pergi meninggalkan semuanya. Sudah banyakkah bekalan yang kamu persiapkan? Untuk perjalanan yang jauh, yang tiada u turnnya dan tidak akan kembali lagi ke dunia ini.Walaupun betapa kamu merayu meminta dikembalikan walaupun sedetik waktu.

Bisikan  suara hati ini rupanya mampu membuat saya bingkas bangun. Meleraikan 3 simpulan syaitan pada tubuh. Satu simpulan terbuka bila kita mengingati Allah, simpulan kedua terbuka bila mengangkat wudu' dan mudah-mudahn terbuka yang ketiga bila dahi berjaya  mencecah lantai. Suasana hening pagi memberi rasa yang sungguh syahdu. Dapat berlama-lama berbicara dengan Allah tanpa rasa tergopoh-gapah. Ingin cepat selesai kerana banyak urusan dunia yang menanti. Bebas juga menatap ayat-ayat Allah selama mana yang diingini. Tanpa rasa ingin segera mengatup mushaf.

MengingatiNya dalam senang dan susah

Benarlah kata -kata yang selalu didengar. Bila datang ujian itu tanda Allah sayangkan kita. Memang iya. Bila datang ujian sudah pasti lebih kuat pergantungan kita kepada Allah.Kerana kita tahu Dia yang mendatangkan ujian dan Dia juga yang akan membantu kita melepasi ujian itu. Dan Dia tidak menguji melainkan apa yang termampu kita hadapi. Ya!! Saya berdoa dan meminta Dia menuang sepenuh-penuh kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Dan hayat maut kita adalah milikNya. Dan kepadaNya kita berserah diri. Kita datang sendiri dan kita akan pulang juga sendirian. Permudahkanlah urusan kami di dunia dan di akhirat nanti.Ameen.