Monday, August 27, 2018

Kenangan di Aidil Adha

Semasa arwah mak masih ada, dia selalu menunggu-nunggu ketibaan Hari Raya Haji. Walaupun persiapan menyambut Hari Raya Haji tidak sehebat menyambut Aidilfitri tetapi mak tetap memasak semua makanan kesukaan arwah bapak.

Bertahun -tahun kemudian baru saya tahu rupa-rupanya setiap kali datang hari raya haji  adalah juga hari mak menyambut hari ulang tahun perkahwinan mak. Patutlah mak beriya-riya memasak rendang, kuah lodeh dan segala masakan yang mak pelajari semasa tinggal di Singapura pada tahun-tahun menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.

"Dulu mak pelik juga kenapalah tok ayah kauorang ni, orang sibuk nak beraya  dia sibuk nak nikahkan kami. Tapi fikir-fikir balik masa hari raya haji sajalah orang kampong dapat banyak daging dan memang sesuai sangat buat kenduri masa tu. Zaman tu bukan mewah macam sekarang, nak makan daging pun kena tunggu masa raya terutama hari raya haji Bukan ada catering bagai semuanya gotong royong memasak'

Saya mendengar dengan tekun ketika  mak berkisah bagaimana mak bertemu dengan bapak. Maklumlah bukannya dekat dan mudah orang Kedah nak bertemu orang Perak. Zaman itu banyak yang berkahwin saudara sendiri atau anak anak kenalan.Tapi mak pula bertemu jodohnya  melalui Halaman Sahabat Pena dan pertama kali berjumpa bila bapak datang ke Kampong Tanjung, Simpang Pulai, Ipoh selepas menghadiri  satu pertemuan rakan penulis di Ipoh. Dan perjodohan ini juga yang membawa mak berpindah mengikut bapak ke Singapura. Ketika itu bapak bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu dan namanya tercatat dalam Kumpulan Asas 50.

Bapak pula yang katanya baru  putus tunang membawa diri ke Singapura dan meninggalkan jawatan guru agama selepas tamat belajar di Maktab Mahmud, Alor Setar. Sayangnya tidak ada gambar perkahwinan mereka untuk tatapan anak cucu hanya ada baju dan tudung yang mak pakai ketika berkahwin.Dan semua itu hanya tinggal dalam memori kerana barang barang lama telah dipindahkan ketika proses menyewa rumah 101B selepas mak meninggal dunia.

Tahun ini saya jadi sedikit teruja kerana tahun ini ulang tahun perkahwinan kami yang ke 38 jatuh pada  21hb. Ogos bertepatan dengan Hari Raya Qurban yang disambut di Makkah  atau 9hb Zulhijjah bagi kita di Malaysia. Sudah pasti sedikit sebanyak persiapan dilakukan bagi merai hari yang mulia ini.Dan secara tak sedar membawa saya mengenang saat indah bersama menyiap juadah bersama mak.

Rendang, kuah lodeh bagaikan hidangan wajib bagi kami sejak encik suami kenal kedua makanan ini pada bulan Ogos, 1980. Malah malam raya adalah malam paling sibuk dimana anak menantu sibuk membantu  mak merebus ketupat nasi dan mengacau rendang di rumah 103 B, Jalan Sungai Baru, Kampong Baru, Kuala Lumpur. (Mungkin beberapa tahun lagi rumah ini sudah tidak ujud lagi, tenggelam bersama arus pembangunan )

Mungkin kerana mak sudah berpengalaman berhijrah ke Kota Singa sebaik berkahwin maka itu agaknya mak pasrah bila saya mahu melepaskan tugas di Maybank, Jalan Tuanku  Abdul Rahman  dan mengikut suami yang sedang menamatkan pengajian di Brighton, Sussex pada Januari, 1981.

"Mujur mak dapat kakak-kakak angkat yang mengajar mak menyesuai diri. Ajar mak masak macam-macam dan melihat cara kerja bapa kau orang ,mak memang tak nak anak-anak jadi wartawan macam dia. Pagi raya pun kena keluar cari berita. Nak balik kampong beraya memang tak ada dalam istilah. Bukannya dekat nak balik Ipoh, naik kereta api pun bukan selamat, kadang kena serang dengan komunis. Cuma masa nak bersalin kak long dengan abang ngah kami tawakkal balik Ipoh dan Kedah.  Sebab tu bang lang lahir di Singapura. Dan kau, Yati lahir di Kampong Pandan sebab masa tu bapa dah tukar ke Utusan di Kuala Lumpur"

Saya mengingat baik-baik cerita mak sebab saya tahu saya adalah antara anak-anak yang paling sedikit dapat meluang masa bersama mak. Jadi bila mak bercerita, saya hanya diam, menganggok dan sesekali bertanya apa yang tak jelas.

" Jangan ingat mak tak sayang kau, Yati. Masa kau umur 6 bulan bapa nak bawa kami semua balik jumpa wan dan tok di Alor Setar. Bila nak balik Tok Yah (mertua mak) minta bersungguh-sungguh nak jaga kau. Bapa pula tak sampai hati nak menolak jadi tanpa berbincang bapa dah setuju beri engkau pada Tok Yah. Puas juga mak menangis siang malam, kadang-kadang terpaksa perah buang susu kerana bengkak susu sedang kau di Kedah hanya diberi susu Dumex bertin tin."

Saya melihat mak mengesat air mata yang mula bertakung di tubir mata dan saya turut merasa sebak dan bersalah kerana merasa kecil hati sebab mak tidak menjaga saya sedangkan anak yang lain dapat mak jaga walaupun dalam berbagai keperitan slepas bapa jatuh sakit dan berpanjangan hingga ke akhir hayatnya.

Rupa-rupanya peluang berbual dengan mak pada satu petang itu adalah sangat berharga. Setiap kata-kata mak saya pegang sebagai azimat untuk bekalan dalam kehidupan. Banyak tindak-tanduk saya selama menyandang tugas sebagai anak, isteri, menantu dan mertua bersandar kepada pesan-pesan mak yang diberi secara santai.

Dan saya rasa perlu mencatat untuk tatapan anak cucu bila saya sudah pergi nanti. Kita banyak sejarah dan sayangnya tidak ditulis semula maka bila perlu merujuk perlu pergi jauh hingga ke Eropah sana mencari tentang negara kita.

Sempena Hari Merdeka bakal tiba mari kembali kepada diri. Mari mengenang dan menghargai nikmat merdeka yang Allah beri, pasti bukan tugas mudah membangun negara jika tiada pemimpin yang berwawasan dan sokongan padu dari seluruh rakyat.

Sayangi Malaysiaku




Thursday, August 2, 2018

Hujan Emas Di Negeri Orang

Jauh jauh Seluang Melaut

Jauh berjalan luas pandangan.

 Itu simpulan bahasa yang dipelajari seawal darjah 3 pada tahun 1968. Setiap kali guru membacakan karangan saya di hadapan kelas saya pasti tunduk malu dan hati berdebar kerana pada waktu rehat nanti pasti ada suara nakal kawan-kawan yang sampai ke telinga.
"Perasan..macam dia sorang saja besa (biasa) pi Kuala Lumpur"
Saya pasti merasa sedih dan setiap kali menulis karangan saya cuba menulis biasa-biasa sahaja tetapi guru tetap memilih karanagn saya untuk dibacakan sehingga pernah pelajar darjah lima datang mencari saya di kelas kerana karangan saya dibacakan guru di kelas mereka.

Saya sering menulis pengalaman bercuti ke Kuala Lumpur kerana hampir tiap cuti penggal , arwah wan akan bawakan saya bertemu mak, bapa dan adik beradik yang lain di Kampong Baru ,Kuala Lumpur. Pasti di sana wan akan ambil peluang bawa saya dan sepupu melawat Tugu Negara, Muzium, Stadium Merdeka , Zoo dan paling jauh kami pernah dibawa ke Bandar Hilir melihat Kota A Famosa. Semua itu menjadi kenangan manis dan saya catat kembali bila guru menyuruh menyiap karangan bertajuk " Bagaimana  Saya Mengisi Masa Cuti". Rupanya keseronokan mencurah semula pemerhatian, perasaan dan keterujaan melihat tempat orang itu menjadi saya seorang pemerhati dan merakam kemas dalam ingatan apa yang saya suka dan tidak suka bila berkunjung ke sesuatu destinasi dan akan dipaparkan semula.

 Pergi ke "Negeri atas angin " adalah  sesuatu yang saya tidak pernah jangka dan impikan. Simpulan bahasa itu juga diajar guru di darjah tiga beriring pesanan

"Kalau kamu nak pergi ke negeri atas angin kenalah belajar rajin-rajin sebab negerinya jauh dan bukan semua orang mampu membayar tambang kapal terbang atau kapal laut untuk ke sana ".

Dan guru menambah lagi cerita  tentang pengorbanan rakyat Tanah Melayu yang berjaya mengumpul wang dan ibu-ibu menyerah barang kemas mereka untuk diberi kepada Tunku Abdul Rahman bagi memboleh beliau ke London untuk menuntut kemerdekaan dari Kerajaan British.

 Rezeki Allah juga membolehkan sesuatu yang mustahil itu berlaku. Tiada yang mustahil bagiNya dan jika sudah tercatat rezeki maka ia tetap datang cepat atau lambat. Kunjungan pertama ke negeri atas angin kerana jodoh saya dengan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana dan kunjungan kedua kerana meneman suami menyambung pengajian. Seterusnya kerana rezeki anak anak yang belajar dan menyaksikan Hari Graduasi mereka. Alhamdullillah.

Setiap perjalanan itu pasti ada ibrah yang dikutip dan menjadi pelajaran hidup yang perlu dikongsi agar ada kebaikan yang boleh dikutip dan ada perkara buruk yang perlu dielakkan. Saya cukup gembira bila ada yang memberi komen keinginan mereka ingin melawat tempat tersebut selepas membaca pengalaman dan melihat gambar yang   dilampirkan.

Tanpa pertolongan Allah tak akan mampu kami berdua lalui perjalanan yang panjang ini. Suami dengan slip disk sdan jantungnya, dan saya pula dengan masalah lutut. Dan bila berjaya redahi semua ini demi untuk berkongsi kegembiraan anak ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Nikmat kesihatan itu adalah nikmat terbesar yang sering kita alpa tentangnya.

Qatar Air yang memulakan perkhidmatan terus dari P.Pinang adalah pilihan terbaik. Dimana kami tak perlu ke KLIA dan menunggu penerbangan pada tengah malamnya.  Dan memilih tiket melalui Expedia berjaya menjimatkan kos. Kewujudan Airbnb juga memboleh kami memilih penginapan pada harga yang mampu dan berkenalan dengan hos yang berbagai ragam.

Nikmat teknologi yang memudahkan dan sangat sangat membantu membuat perancangan. Dan  terima kasih suami yang menaja tiket dan segala-galanya , juga kepada penghuni Albert Edwards, Liverpool 7  yang menawar penginapan kami, terima kasih Harith jadi tour guide dan porter boy begitu juga Ammar/Aina yang jadi hos selama kami di bumi Belanda.

Perjalanan ini adalah sesuatu yang sangat indah untuk dikenang. Meski ada sedikit kesukaran tapi kegembiraan melihat kalian bahagia sudah mampu membuat kami menarik nafas lega.

Sedar atau tidak kami sudah redahi awan dan jejaki tanah bersama :


Qatar Air : Penang-Doha-Manchester-Doha -Penang.  22,090 km /Total : 28 jam( pergi/balik)

Ryan Air: Manchester- Koln, Germany: 701km ( 1 jam 30 minit)

Amsterdam-Liverpool John Lennon : 520 km (1 jam +)

Perjalanan darat:  Berbagai mode transpot yang digunakan.


Tren:                  Manchester Airport - Liverpool Lime Street Station                                                                                 bertukar di Stesen Victoria mengambil masa 3 jam.

                           Koln /Bonn Airport (Germany)- Koln Centraal !5 minit

                           Koln Hbf - Aachen Hbf -Herzogenrath -Heerlen (Netherlands): 2 jam
                   
                           Heerlen- Maatchritch  15 minit

                           Valkenburg- Heerlen:  10 minit

                            Amsterdam Sloterdijk- Amsterdam Centraal-  Zaanse Schans-Amsterdam                                               Centraal- Schipol Airport   anggaran masa 3 jam
                           
Kereta:
                            Liverpool-Glasgow: 352.91 km melalui M6 mengambil masa 4 jam

                            Glasgow-Edinburg: 67 km mengambil masa 1 jam

                             Edinburh-Newcastle Upon Tyne : 148km mengambil masa 3 jam melalui A15

                             Newcastle-Liverpool: 195 km hampir 3 jam
 
                        
Coach                   Liverpool-Manchester Airport: 50 km: 51 minit

                              Heerlen- Rotterdam:

                              Rotterdam-Amsterdam :

                              Liverpool- Manchester-Liverpool: 50km x2/  2 jam pergi balik

                              Liverpool-Manchester  Airport: 50km : 51 minit

Tram:                     Rotterdam
                               Amsterdam
                               (tak sempat ingat nama stesen sebab bergerak pada kad )

Bus (free  ride /berbayar) :    Manchester
                                               Suluurstraat - Heerlen

Uber                        Di  Liverpool berpeluang menaiki berbagai jenis kereta  seperti Audi, Mercedes,                                  Volksowegen, BMW, Toyota Prius, Citreon, Ford Focus.

Berjalan kaki:         Lebihkurang  200,00 langkah. (Rujukan dalam Health apps.) Minima sehari                                         10,000 langkah (kalau di Malaysia jenuh nak dapat macam ni).
                           
Usia dan kemampuan fizikal juga makin menghambat muga pengalaman selama 25 hari ini sempat  dicatat untuk tatapan anak cucu dan rujukan sesiapa  yang perlukannya.

Persiapan kewangan, fizikal dan mental perlu dilakukan terlebih awal kerana bermacam perkara yang tak dijangka bakal ditempuhi sepanjang perjalanan ini. Dan setiap satunya makin menambah kayanya pengalaman dan mematangkan cara berfikir.

Muga ada yang dapat dimanfaatkan.


Monday, April 23, 2018

Taiping Bandar Warisan

Awal minggu bersiap-siap untuk berkursus ke Taiping. Sejak menjadi Ahli Lembaga Koperasi  Qaryah saya sudah menjadi makin sibuk. Ada beberapa kursus wajib yang perlu dihadiri untuk memahami selok-belok pengurusan sesebuah koperasi.

Saban tahun saya tidak pernah culas menghadiri Mesyuarat Agong Tahunan. Disamping mengikuti perkembangan koperasi adakala saya tertarik dengan 'door gift' yang ditawarkan. Biasalah manusia suka sangat pada yang percuma walau bukan sangat memerlukannya.

Dan kali ini entah bagaimana  terpilih pula menjadi Ahli Lembaga. Memang tak pernah mimpi apatah lagi bercita-cita menjawat sebarang jawatan di koperasi. Tugas yang sedia ada pun rasa tak tertunai dan terpikul. Jawatan yang datang bersama tanggungjawab dan di hujung tahun kewangan pasti akan dipersoalkan anggota jika prestasi tidak memerangsangkan.

Sudah 10 tahun Koperasi Qaryah Masjid Taman Bertam Indah beroperasi. Sudah banyak kejayaan dan pengiktirafan yang diterima dan sering menjadi rujukan pulak. Dan bila terpilih menduduki kerusi ALK sudah pasti banyak yang perlu saya pelajari. Maklumlah kita berurusan dengan wang yang dikutip dari anggota, walaupun tak ramai tetapi sudah pasti setiap sen itu ada pertanggungjawabannya.

Sikap suka mengutip ilmu baru memjadikan saya mudah memahami dan mengikuti perbincangan yang dijalankan. Dan ditambah pula dengan pengalaman mengurus sumber manusia bertahun-tahun lalu membuat saya bersemangat untuk membantu mengujudkan satu SOP untuk pengurusan Taqwa Inn( motel 6 bilik  milik Koperasi ) insyaallah.

Jika tidak dimulakan dengan cara yang teratur dan terurus di peringkat awal ditakuti nanti bertambah payah mengurus bila Koperasi berkembang.




Kami dibawa melawat kilang Spritzer beroperasi

Faizah. staf Kotaqwa yang bersama berkursus.