Tuesday, December 28, 2010

Menghitung Hari

Berapa hari sahaja lagi tahun 2010 akan pergi meninggalkan kita. Begitu juga dengan diri kita. Kita beranjak ke tahun baru ke usia baru dan tetap membawa bersama segala kenangan silam. Yang pahit, yang manis dan itu adalah lumrah kehidupan. Bukan semua manusia dapat menerima ujian Allah dengan sabar . Sesungguhnya Allah menguji kita dengan apa yang mampu kita tanggung. Berhentilah mengeloh, berdoalah. Kita akan melangkah ke tahun baru. Dan ketika ini kita siap memasang impian,angan-angan dan azam untuk membina kehidupan dan diri ke arah yang lebih baik dari tahun ini. Semua orang merancang tetapi berapa orang yang mampu beristiqamah dan mendisiplinkan dirinya. Apa-apa pun resolusi tahun baru kita semuanya bermula dengan diri kita, Jika ingin berubah dari yang buruk kepada yang lebih baik kita tidak payah menunggu hingga datang tahun baru. Islam telah lama mengajar  kita supaya menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini.

Ingati Allah tika senang 

Jam kehidupan terus berputar samada kita mahu ia bergerak cepat atau lambat. Dan selagi bernama manusia kita tidak akan pernah berhenti menanti dan menghitung hari. Saya juga tidak terkecuali. Banyak benar yang dinanti dan ditunggu. Jika sebulan lalu saya asyik melihat kalendar bila SPM akan tamat dan kini anak saya sudah pun ada di hadapan mata. Jika dua bulan lepas hati resah menanti keputusan PMR diumumkan tapi
pada saat ini hati sudah reda debarannya. Syukur di atas nikmatNya.

Rasa bahagia bila doa dikabul Allah
.Saya kembali sibuk memaksa anak-anak mengemas peralatan dan pakaian mereka. Seorang akan ke Kem PLKN di Kedah dan seorang lagi akan kembali ke asrama. Saya juga sudah menyiapkan beg untuk pergi menjaga cucu. Jika mampu meminta sudah pasti saya ingin cucu ini lahir selepas kedua bapa saudaranya pergi  Tetapi siapalah kita yang ingin mengarah -ngarah Allah. Setiap kejadian bukan satu kebetulan tetapi semuanya  telah ada dalam perancangan dan perkiraan Allah. Jika doa kita diterima dan hasrat kita dipenuhi bukan kerana diri kita tetapi kerana rahmat dan kasihsayang Allah. Dan jika Allah menguji bukan juga bermakna Allah bencikan kita tetapi kerana dia kasih dan ingin kita lebih hampir dengan meminta penuh ikhlas dariNya.
Saat bahagia sesekali dapat bersama
Tahun datang dan pergi .Selagi matahari masih muncul  setiap pagi kita tidak boleh berhenti beramal, berdoa dan menanti ketetapan dari Allah.

Thursday, December 16, 2010

Baiti Jannati

Kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermanja. Inilah perasaan saya bila dapat kembali ke rumah lama kami. rumah ini memang rumah lama.Usianya kalau tak silap mungkin sudah 40 tahun. Ketika taman perumahan ini mula diduduki kalau tak silap saya masih di sekolah rendah lagi. Rumah ini adalah rumah pertama kami. Pada tahun 1994 kami sekeluarga menyewa di Jitra ditakdirkan Allah suami saya terpaksa menjalani satu pembedahan di Hospital Alor Setar. Saya memohon bantuan tok su untuk menjaga anak-anak dan saya pula berada di HAS sepanjang masa. Pada suatu hari suami saya meminta saya membawa kereta untuk dicuci. Sambil menanti kereta dicuci di sebuah kedai di Jalan Sultanah saya terfikir 'Alangkah baiknya kalau rumah kami dekat-dekat dengan hospital "
Ditakdirkan Tuhan mertua adik ipar saya memberitahu ada sebuah rumah hendak dijual.  Rumah lama tetapi lamannya luas. Kami juga meminta pandangan mak dan abah tentang  rumah tersebut.
Kalau nak cari suami syarat tambahan mesti pandai membaiki paip bocor atau yang tahu tukar mentol lampu .Itu kata A Jalil Ali dalam majalah MIDI.

Suami saya pun mula bertanya tentang pinjaman perumahan dsbnya. Saya pula sudah teruja maklumlah entah kenapa suka sangat nak tinggal di situ. Mungkin kerana lokasinya dekat dengan masjid atau  kerana ada dua buah stesen minyak atau kerana dekat dengan sekolah atau kerana dekat dengan hospital atau kerana ada kedai Peladang yang menjual bun .Wah...the lists may go on. Pak Jamil pula terus tidak berhenti bertanya "Jadi dak nak ambik rumah tu?". Setelah berbincang panjang kami pergi  bertemu jiran di sebelah rumah tersebut. Jiran ini yang memegang kunci rumah tersebut kerana tuan rumah asyik outstation mengusung kamera RTM mengikut menteri. Segera kami maklumkan hasrat  kami.  Beberapa minggu kemudian kami pergi melihat rumah itu lagi. Kata jiran tadi  "Kalau tak jadi pun tak pa...sebab 4-5 orang dah datang bertanya. Siap tinggal nombor telifon..kalau tak jadi depa nak" Saya menoleh melihat muka suami. Tanpa ragu-ragu dia menjawab "Insyaallah..jadi. La ni saya tengah tunggu surat dari bahagian pinjaman saja".
laman tepi pagar tempat anak lelaki mengasah bakat jadi Bekham.

Sebaik surat perjanjian dibuat saya mula mengemas barang-barang untuk berpindah. Maklumlah bila dalam pantang nanti tentu pergerakan saya agak terbatas.  Setiap hari saya akan memasukkan barang ke dalam kotak dan letak di bilik belakang. Ketika ini masa untuk menyaring mana yang perlu simpan dan mana yang perlu dibuang.  Akhirnya selepas selesai berpantang kami mengadakan  majlis baca Yassin di rumah tersebut. Selepas tinggal di sepuluh buah rumah sewa selama 14 tahun akhirnya kami ditakdirkan berpindah ke rumah sendiri November 1995
mujur juga ada pembantu jika tidak teruk juga mengerjakan rumah tu!
 Bila mengetahui kami membeli rumah di situ , emak saudara saya mengusik " Ambuih!..dulu mak cik nak jual rumah mak cik depa tak mau noo...last-last mai dok juga Taman Uda" Suami saya segera menyambut "Bukan tak mau mak cik.Tapi saya dah azam nak pi Mekah dulu baru nak beli rumah.Masa mak cik pelawa tu kami baru dok pekin nak bagi duit dalam Tabung haji cukup.Nak buat macamana dah tak jadi   rezeki kami dan rezeki mak cik "  Sambil tersenyum mak cik menjawab " Tak pa..mak cik bukan apa..bukan tak sayang rumah tu tapi bila sudah tinggal sorang rasa macam besar sangat rumah tu.Lagipun rumah tu mak cik jual kat cikgu yang satu sekolah. Dia tu pun macam adik juga . Kurang-kurang bila rindu dapat jugak mak cik pi rumah dia nanti " Kami menganggok .Rupanya apa yang mak cik sebut dan rasa  15 tahun lalu itulah yang kami rasa sekarang ini.
Tak tahulah konsep apa dapur ini dicat oleh penyewa lama. Moden retro ka...? Tu kena confirm dgn  Eric Leong kot
 Ketika kami ditukarkan ke Pulau Pinang rumah itu terpaksa disewakan. Bila sudah disewakan kami tidak gemar sering sangat datang memeriksa  itu dan ini. Tambahan pula kami percaya penuh dengan penyewa dan kami yakin mereka akan menjaga rumah kami seperti rumah sendiri. Sebarang kerosakan kecil minta dibaiki. Maklumlah mereka yang akan duduk dan untuk keselesaan sendiri juga. Kami pun bukanlah  berkira  sangat kalau perlu ditolak sewa ,tolaklah asalkan rumah itu selesa untuk diduduki. Yang penting rumah itu terjaga dan berpenghuni. Bukankah kata  orang jika rumah tidak dihuni selama 40 hari akan ada makhlok halus pula yang tinggal di situ. Sebelum berpindah keluar suami saya baru  mengecat keseluruhan rumah tersebut luar dan dalam. Mahal juga upah dan harga cat. Cat minyak bukan cat kapor. Sekarang 1 liter cat sahaja berharga RM26 . Bayangkan berapa liter cat yang cukup untuk mengecat keseluruhan rumah. Kata suami saya "Kita nak bagi orang sewa kenalah bagi elok.Barulah puas hati. "Jadi setelah tujuh tahun disewakan dan melihat kondisi  rumah yang disewakan maka kami berdua bertungkuslumus berulang-alik setiap minggu untuk memastikan bakal penyewa selesa dan kami juga berpuas hati dengan  kondisi rumah tersebut.

rumah yang sedang di 'make over'

Suami saya yang memang berjiwa "engineer" sentiasa bertegas mahu melakukan sendiri. Menukar washer paip air yang kembang, menukar soket lampu, mengecat, memasang railing curtain , kerja-kerja plumbing sampailah menjolok lubang tandas semua dilakukan sendiri. Kalau mengupah orang mahu juga beratus-ratus ringgit habis di situ. Jadi  orang-orang muda di luar sana yang bakal-bakal mendirikan rumah tangga mulalah menyiapkan diri dari sekarang. Saya baru membaca kolum Dairi Suami di majalah MIDI. Saya kongsi kata-kata A.Jalil Ali ya!
"Saya bertanya menantu macamana yang menjadi iadamannya? Katanya "Tidak kira menantu lelaki atau perempuan, yang penting baik budi pekerti"Ada lagi syarat tambahan."kalau menantu lelaki biarlah yang pandai membaiki paip bocor atau yang tahu tukar mentol lampu. kalau yang perempuan mesti tahu kerja-kerja dapur"
walaupun serba tak sempurna tapi makan mesti nak fresh dari dapur juga.
Yang perempuan mesti ada sedikit sebanyak kemahiran memasak , menjahit dan mengemas rumah. Mana tahan kalau asyik beli sahaja setiap hari. Suami kan manusia biasa juga. Walau betapa sayangnya dia kepada kita sudah pasti satu hari akan timbul rasa bosan dan jemu jika asyik makan benda yang sama setiap hari. Jika tak percaya bila sudah kahwin nanti perhatikan suami kita bila pulang ke rumah ibunya. Walaupun perut sudah kenyang tetapi bila melihat ada lauk kegemarannya di depan mata pasti dia tanpa menunggu kita akan segera mencapai pinggan. Dan kita pula janganlah berkecil hati bila suami berkata "Bila lagi awak nak belajar masak lauk ni dari mak? Saya suka lauk ni" .Dulu memang ada rasa kecil hati bila suami  berkata begitu tetapi setelah bertahun-tahun berkongsi hidup saya mula memegang prinsip kita memang tidak boleh menukar citarasa suami kerana sedari kecil itulah yang dijamu ibunya dan dimakannya tanpa jemu. Jadi untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga belajarlah memasak dari ibunya. Setiap mertua  pasti gembira dan berbesar hati kerana menantu  benar-benar mahu menjaga anaknya seperti mana  dia menjaganya. Namun bukan semua lauk kegemarannya saya mahir dan  suka memasak. Bila dia bersungut saya menjawab "Saya bukan tak mau masak tapi kita tu kan ada  penyakit" Suami pula selalu membalas "Cakap rajin ke cakap malas?" Saya segera menjawab "Cakap malas" sambil melihat dia menambah nasi lagi ."Tu yang  saya tak mau masak sedap-sedap tu....Kalau masak lagi sedap tentu tak reti nak berhenti pulak. Orang kata hujan pun reti berenti tau ! " " Ha..ha..haa " dia terus ketawa sambil menghirup kuah pindang hingga kering dan isu lauk kegemarannya mati di situ untuk hari itu.

Tuesday, November 23, 2010

Lapangan Perjuangan

"jawab betui-betui jangan dok silap tajuk pulak"
 Perjuangan  SPM bermula hari ini untuk bang cu dan 467970 calon lagi. Ramainya...tahun ini dengar  kata UPSR pun 48 ribu dapat 5A.Budak-budak sekarang makin bijak pandai bukan macam kita dulu-dulu. Satu sekolah nak dapat dapat 5A pun payah. Saya dulu pun cuma dapat 3A saja tu pun bukan main bangga bila nama disebut dalam perhimpunan sekolah. Hajat hati nak juga belajar ke Sekolah Tun Fatimah apa kan daya hajat tak sampai. Lagipun sekolah tu jauh di hujung negeri ibubapa ketika itu berapa orang sangat yang sanggup lepaskan anak belajar jauh-jauh. Tapi bila dapat masuk ke Sekolah Sultanah Asma barulah terbuka luas mata melihat  luasnya dunia ini. Belajar berbahasa Inggeris dan memahami pertuturan guru serta arahan prefects ketika itu.

mohon restu dari wan
 Anak-anak sekarang memang sangat bertuah dan beruntung. Ibubapa akan berusaha sedapat mungkin merestui kemana sahaja anak mahu masuk belajar. Saya baru berbual dengan seorang teman lama .Tentang sikap dan semangat belajar anak bangsa saya.  Bila melihat keliling saya jadi takut. Takut melihat cara anak-anak bangsa saya melihat hidup. Hidup mesti senang ,seronok dan jika boleh tidak mahu susah-susah. Apa ada pada perpatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit dahulu, bersenang kemudian. Itu hanya kata-kata orang lama yang tak membawa erti apa-apa. Saya jadi takut anak-anak kita hanya menang sorak tapi kampong tergadai.
bersiap awal ke dewan peperiksaan
Fikirlah ayuhai anak-anak.Kamulah bakal peneraju negara di masa hadapan. Tidak cukup sekadar berbekal beberapa mata A dalam sijil SPM akan datang untuk bersaing menongkah dunia. Ilmu dunia dikejar, ilmu akhirat digalas. Jangan kita jadi bangsa terbuang di tanahair sendiri.Pandanglah ke belakang sambil menghafal fakta untuk kertas Sejarah  esok lusa apa yang dapat kamu dapat garap dari himpunan peristiwa yang menimpa Bani Umaiyyah, Abasiyyah dan Othmaniyyah. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melain kaum itu yang mengubah nasibnya. Sejarah dipelajari bagi menilai nasib dan kesudahan sesuatu peradaban itu. Dan  Islam boleh kembali gemilang jika kita ummat Muhammad SAW sanggup bangun dari mimpi yang panjang. Jadikanlah kejayaan di dunia sebagai jalan untuk kita berjaya di akhirat juga. Islam akan kembali gemilang jika kita sanggup berjuang bagaikan kita akan hidup selama-lamanya dan beribadat bagaikan  akan mati pada esok hari. Teruskan perjuangan wahai  anak-anak tersayang. Insyaallah ibu ayah tidak akan lupa mendokan, bersolat hajat dan apa saja cara yang mampu memberi ketenangan dan kekuatan berfikir bila berhadapan dengan  kertas demi kertas. Jika sudah berusaha, berdoa sudah pasti bertawakkal dan menyerah kepada Allah akan urusan seterusnya..

Friday, November 19, 2010

Raya Haji 2010-Pasca banjir

Tempat untuk solat sunat hariraya sudah berpindah ke ruaang bawah. 
 Alhamdulillah, kami masih mampu merayakan hari raya haji pada tahun ini dengan sempurna. Walaupun rasa sepi dan sunyi bergayut di tangkai hati tetapi semua tuntutan di hari raya dapat dilaksanakan. Kedatangan bibik baru dari Jawa juga telah membantu meringankan banyak perkara. Pada mulanya hanya kami sekeluarga sahaja yang dijangka beraya dengan mak/abah.Tetapi di saat akhir Cikgu Mis telah membuat keputusan untuk bersama beraya di TTG.

Awal pagi dia  sudah bangun memasak nasi lemak untuk sarapan. Maklumlah kali ini tidak ada siapa yang sanggup membalut ketupat palas. Maklumlah masing-masing belum hilang letih mengemas rumah selepas banjir.  Biasanya  kami akan solat raya di ruang atas tetapi kerana barang-barang masih berkaparan di atas rumah kami memutuskan untuk solat di bawah sahaja.Jammaahnya pun hanya anak beranak sahaja.
Saban tahun Allah beri kemampuan dan peluang untuk berkurban
 Selepas solat baru kami menjamah nasi lemak dan karipap. Sebaik selesai bergegas pula ke Masjid Rafeah untuk ibadah kurban. Kali ini mak hanya mengambil pulang 1 bahagian sahaja. Yang lain diserah kepada pihak masjid untuk diagihkan. Maklumlah tahun ini tenaga pun kurang. Yang tinggal hanyalah anak-anak kecil yang hanya tahu memenuhkan sinki dengan gelas dan pinggan sahaja. Dua orang ahli keluarga  akan mengambil SPM. Mereka  berdua sudah pasti dikuarantinkan dan dikecualikan dari kerja-kerja rumah.
Mujur ada menantu yang rajin membantu jika  tidak teruklah pak mertua, pak lang dan mak lang.
 Hampir jam 12 t/hari suami pulang membawa daging. Saya tidak menolong menghiris daging tetapi sekadar mengambil tulang dan daging untuk dimasak sahaja. Kali ini cikgu Mis menjadi kepala mengganti tugas mak. Ruang kerja juga sudah berpindah ke muka pintu utama. Tempat lama basah dan masih bertakung air.Bau baja yang rosak juga masih menyengat hidung. Saya dan Kauthar segera membasuh dan menaikkan periuk ke api. Maklumlah hari sudah makin lewat perut masing-masing sudah berkoroncong.Kalau hari raya Aidil Fitri ada juga biskut, kerepek dsbnya.
Lepas menakik daging kena pula menjengok dapur, takut hangus
 Anak-anak saudara pula sibuk meminta daging untuk dibakar. Saya pula terlupa membawa  pulang segala perencah dan sos untuk  dicicah. Jadi daging diperapa denagn gula merah dan air asam jawa sahaja.Sebaik siap mereka meratah daging begitu sahaja. Orang-orang tua pun sudah tidak pedulikan mereka. Banyak kerja lain yang belum dibereskan..
Sabn tahun di sinilah spot memasak sup daging n tulang
 Sebaik sup sudah siap diperisa dan dirasa cukup garamnya saya segera menyuruh mereka menghidang. Adat hidup di kampong anak-anak saudara pupu yang berjiran dengan mak tolong mencelur bihun dan memasak kuah cabai. Saya segera ke bilik mandi .Tuntutan pada Allah belum ditunaikan . Usai solat saya turut makan sambil berbual. Tajuk perbincangan  sudah pasti  berkisar tentang soal banjir, borang bantuan yang hendak diisi, isu banjir yang dipolitikkan dll. Membiar mereka terus berbual saya segera ke dapur. Banyak kerja kemas mengemas perlu dibuat sebelum saya bersiap pulang.
Sup yang sungguh enak.Bukan sebab pandai masak tetapi sebab daging/tulang sangat segar.
 Hanya kami berdua. Saya dan cikgu Mis . Yanti pula sudah lesap. Pengsan kata anak-anak saudara. Cikgu Mis membasuh pinggan mangkok dan saya asyik menghulur ke dalam sinki. Bila siap terasa lega dan lapang. Barulah saya mengutip barang-barang pribadi  untuk bersiap pulang. Di Penang cuti raya hanya sehari. Jadi kami tidak mahu lewat di jalanan.Biasanya petang-petang hujan akan turun dan kenderaan juga banyak di jalan. Tiba-tiba satu SMS pula masuk . "Kami on the way!"
Tak bermakna rezeki yang banyak jika tidak berkongsi dengan tetamu
 Saya segera memaklumkan "Besan on the way" Segera kami mengemas bekas-bekas makanan  yang masih  berserakan di ruang tamu. Sambil menambah apa yang kurang saya menunggu kedatangan mereka. Besan saya membawa semua anak-anaknya. Tahun lepas mereka semua datang dan dijamu bihun sup. Tahun ini juga dijamu menu yang sama. Cuma rasa bihun sup tahun ini lebih enak kerana  kami tidak terlalu sibuk dan kalut .Otak juga difokuskan tidak seperti tahun lepas. Macam-macam perkara di dalam fikiran maklumlah orang nak datang meminang anak kita. Seronok kami melihat makanan  yang dijamu dimakan dengan penuh selera. Simple but delicious.
Akhirnya tinggal dua orang sahaja anak di rumah. Tearsa sangat lengang dan sunyi nya.
 Cadangan untuk pulang sebelum maghrib tertunda hingga ke waktu  insyak. Saya cuba menahan mata agar tidak terlelap tetapi bila badan sudah letih memang minta maaf banyak-banyak pada pemandu di sebelah. Tertidur juga beberapa puluh minit..Anak-anak dua orang di belakang memang sudah lama hanyut. Akhirnya kami tiba dengan selamat di rumah hampir jam 10 malam. Mata yang makin malap terbuka luas bila anak yang akan mengambil SPM bertanya " Mana beg buku bang cu?". Aduh..!!!! masalah ni. Nak balik rumah mak tok pun lambat lagi. Ulangkaji dan latihan untuk final touch kena juga dibuat. Mahu tak mahu terpaksalah SOS pada puan Kauthar. Esok kita pi tunggu bas Trans di Bagan. Hari pun dah lewat...pi tidur ajalah...Awat buat macam tu???? Anak oh anak.

Tuesday, November 16, 2010

Kenangan di Aidil Adha

Pusara  ayahanda & bonda  tercinta di Perkuburan Ampang

Ketika arwah mak  masih ada dia selalu menunggu datangnya hari raya haji. Mulanya kami tidak tahu sebabnya tetapi setelah dewasa baru mengerti rupanya hari raya haji adalah hari ulang tahun perkahwinan mak. Pelikkan..tetapi itulah hakikatnya kerana kata mak orang dulu susah jadi bila nak kenduri terpaksa menunggu musim korban.Dan sebahagian daging itu akan digunakan menjamu tetamu di majlis tersebut.

Mak meninggal pada 2001.Sejak itu kami tidak pernah lagi berhari raya di kuala Lumpur. Ini pula  gambar yang diambil pada tahun 2003. Ketika itu kami cuba beraya  qurban di rumah mak di Kampong Baru.Sudah pasti  hari raya  tidak meriah bila ibu bapa sudah tiada. Terasa kosong dan hambar sekali walaupun riuh rendah suasana keliling. Sejak itu kami tidak lagi pernah beraya di tempat lain kecuali di Alor Setar. Memang terasa juga teringin beraya di tengah keluarga sendiri. tetapi suami selalu tidak sampai hati meninggalkan abah dan mak beraya  berdua bila adik beradik yang lain tidak dapat pulang.


Menyambut kepulangan haji dan hajjah  di Bayan Lepas

 Saban tahun pasti ada sanak-saudara , jiran tetangga atau handai taulan yang menerima jemputan menjadi tetamu Allah. Bagi yang sudah berpeluang ke sana sudah pasti masih kekal dalam ingatan segala kenangan ketika beribadat di sana. Sekarang makin sukar untuk mendapatkan tempat. Jika mendaftar sekarang kemungkinan besar tahun 2030 baru sampai   giliran kita. Bagi jemaah haji hari yang paling penting ialah hari Arafah atau hari ukuf pada 9 Zulhijjah. Hari ini adalah dikatakan sebaik-baik hari. Terdapat berbagai kelebihan pada hari tersebut. Bagi yang tidak menunaikan haji disunatkan berpuasa pada hari tersebut. Bagi yang berpuasa Allah  berjanji akan mengampun dosa  pada tahun ini  dan pada  tahun akan datang.

Memotong daging korban untuk diagih dan dimasak
 Selain  menunaikan fardhu haji kita juga dituntut melakukan ibadat qurban. Saya masih  ingat arwah wan selalu menganjurkan jamaah di masjidnya supaya membuat tabungan. Bermula bulan Muharam  sehingga ke bulan Zulhijjah. Setiap bulan seorang demi seorang ahli jemaah datang ke rumah menghantar duit qurban mereka. Pernah pada satu subuh rumah kami dimasuki pencuri. Ketika itu pagi Jumaat dan jemaah masjid agak lama bersolat subuh kerana  imam (arwah wan ) akan membaca surah Sajdah. Sebaik selesai solat kami pulang ke rumah dan melihat  pintu rumah terbuka luas. Soalan pertama yang keluar dari mulut wan "Duit korban dah lesap ka?" Kami semua meluru ke atas rumah, dan wan sudah pasti segera mencari laci dimana wang yang berjumlah hampir seribu ringgit itu tersimpan. Laci sudah dikopak pencuri. Dengan kumut-kamit membaca doa wan menarik isi laci keluar. Alhamdulillah...jatuh satu sampul surat. Wan segera mencapai dan membukanya. Saya terkejut melihat duit  berkeping-keping ditarik keluar."Alhamdulillah...duit berkat.Allah pelihara' itulah ucapan wan sambil menadah tangan mengucap syukur. Saya tertanya di dalam hati "Kenapa pencuri tadi tidak mengambil duit tersebut". Tidak jumpa  atau tidak sampai hati mencuri duit yang tertera perkatan "duit kurban" di muka depan  sampul itu.

 Bukan mudah orang dahulu mengumpul wang. Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka mencari wang dengan bersusah payah dan bila mampu melakukan tuntutan agama hati mereka menjadi gembira tidak terkira. Sekarang zaman sudah  berubah korban boleh dilakukan dengan mudah. Kita tidak perlu bersusahpayah keluar rumah mencari orang yang menganjurkan. Cari sahaja di laman sesawang banyak pihak yang melakukan kurban di merata negara. Keperluan membantu saudara kita di negara yang minoriti Islam. Ada yang benar-benar susah sehinggakan mereka menunggu datangnya bulan haji untuk merasa daging lembu atau kambing. Di negara kita daging mudah diperolehi sepanjang tahun. Berbagai hidangan berasas daging turut dijual di kedai-kedai makan. Tentulah lebih besar pahalanya jika kita memberi makan orang yang benar-benar lapar.
Bertahu- tahun rumah mak/abah jadi tempat solat hariraya
 Di hari raya juga kita dituntut menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat.  Antara perkara yang disunatkan ialah makan selepas solat sunat hariraya  dan bukan sebelum bersolat.Sebaik selesai bersolat segeralah menumbangkan binatang ternakan sebagai korban. Ini adalah sebagai memperingati peristiwa Nabi ibrahim as mengorbankan anaknya Nabi ismail as.
abah tetap kuat beribadat

 Biasanya  daging korban akan diagih kepada kaum kerabat, jiran, fakir miskin dan ada juga yang mengambil kesempatan  untuk melakukan akikah. Satu ibadat yang dituntut ke atas ibu bapa selepas kelahiran anak. Khusus pada hari ke tujuh kelahiran atau selewatnya sebelum anak itu baligh. Anak lelaki dianjurkan 2 ekor kambing dan anak perempuan seekor sahaja.
daging untuk akikah sunnat dimasakkan
 Jiika korban disunnatkan diagih daging mentah tetapi akikah pula disunatkan dimasak masakan yang manis-manis. Saya teringat pada hari raya haji tahun lepas kami juga membuat akikah untuk Zaffran. Memang sibuk kerana paginya sembelihan baru dibuat. Selepas  itu  daging perlu pula dilapah, dipotong dan diagihkan. Untuk akikah Zaffran kami memasak kurma dan menghantar ke rumah-rumah bersama daging korban. Petangnya selepas asar kami merebus tulang-tulang untuk bihun sup sempena majlis pertunangan Kauthar-Zaharan. Memang penat tetapi penuh dengan kegembiraan dan kesyukuran  kerana banyak tanggungjawab tertunai pada hari tersebut.Tahun ini insyaallah ibadat korban tetap akan dilaksanakan  pada hari raya pertama. Dan setelah selesai urusan kami perlu bergegas pulang ke rumah kerana  ada anak yang akan menduduki  SPM  tidak berap hari sahaja lagi.
.
Zaffran yang masih bayi

Marilah memperbanyakkan bertalbiah kalimah suci ini bagi menenangkan  hati-hati kita yang kusut dan gundah gulana.Dengan mengingati Allah  hati akan menjadi tenang. Semuga  Allah  membuka peluang untuk kita menjadi tetamunya di tahun-tahun akan datang. Untuk saudara -saudara kita yang sedang bergerak ke Mina untuk melontar jumrah  semuga Allah memberi haji yang mambur kepada mereka. Ameen.


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu

Monday, November 15, 2010

Sesekali Allah Menguji

 Alhamdulillah.Itulah kalimah terbaik yang mampu diucapkan. Sudah tiga minggu 'mengerjakan' rumah mak/abah. Hari ini kami pulang ke rumah sendiri. Bermula hari Jumaat pagi dan berakhir magrib hari Sabtu. Cuci, buang dan kemas.Awal pagi saya sudah memasak nasi lemak. Sedikit alas perut  untuk team DERU ,IKRAM yang bakal datang membantu. Kami bertolak ke kampong selepas bersarapan. Hujan sejak malam tadi masih turun lagi. 
Menilai kerosakan yang berlaku! Nak report ke tidak?

Menghampiri susur keluar AS Utara kelihatan sebuah VIVA putih sudah terperosok di dalam longkang di kiri jalan. Esoknya saya baca di akhbar rupa-rupanya 2 pelajar Uitm, Arau  telah terkorban bila kereta itu  terbabas dan melanggar sebatang pokok. Malang tidak berbau.Kita tidak boleh pandang remeh tuntutan berdoa ketika menaiki kenderaan dan memulakan perjalanan. Orang tua-tua selalu melarang kita terlalu gembira dan ketawa kerana kata mereka suka lawannya duka. Bila kita terlalu gembira kita jadi lupa dan ketika kita leka dan lalai selalu terjadinya kemalangan. Manakala dalam buku-buku doa juga dicatatkan antara  orang yang diterima doanya ialah orang yang musafir atau dalam perjalanan. Sudah pasti bila kita berjalan tiada apa yang dapat membantu kita kecuali Allah. Berdoa juga mampu menolak musibah. Jika ditakdir kita tetap terkena mungkin sedikit atau kecil sahaja. Al fatihah untuk  Syazwan dan Azrul Hadi. Semuga Allah memberi kesabaran kepada keluarga yang tinggal dan dicucuri rahmat ke atas roh mereka.


Viva yang meragut 2 nyawa.
Tiba di rumah mak/abah kami segera memulakan tugas. Tidak lama kemudian seorang sahabat menelefon.Bertanyakan jika kami masih perlukan bantuan. Sudah pasti kami menerima dengan tangan terbuka.Kali ini team DERU IKRAM  Kedah  daerah  Kulim pula turun membantu. Tidak lama kemudian mak/abah pula tiba dari Kulim bersama adik ipar saya. Cikgu Mis  gembira melihat  pelajar-pelajar sekolahnya sedang sibuk mencuci  halaman rumah.  Sambil menghidangkan makanan saya juga sibuk membantu Kauthar menyiapkan laksa Kedah. Deria rasa seorang ibu. Petang Khamis saya sudah membeli beberapa kilo ikan kembong untuk dibuat laksa. Malamnya Kauthar pula berSMS ' ummi, pak cik Radhi juai ikan dak? esok kita buat laksa" . Saya pula membalas "Sapa nak perisi ikan, semua sibuk cuci rumah?" Dibalasnya pula "Tak apa lang sanggup".  Saya segera memesan dia mencari satu dua rencah tambahan  untuk laksa .Insyaallah, laksa Kedah untuk  makan tengahari esok.


dah lama gamaknya pakcik-pakcik ni tak basuh pinggan bertoran-toran 
 Bila orang lelaki bersolat Jumaat kami berhenti rehat dan mula menjamu selera dengan laksa Kedah yang sungguh enak.  Selepas solat kami mula mengemas pinggan mangkok berselerak di atas rumah. Yang perlu sahaja diturunkan.Manakala yang kurang perlu dibiar dulu  di atas rumah. Saya dan Kauthar segera mencari  ruang almari yang masih kosong.Jenuh juga memasuk apa yang patut kerana kabinet di bawah masih belum kering sepenuhnya.
Mengemas apa yang patut
nasi lemak dan donut pengalas perut IKRAM Kedah

bertahun menanam baru ini dapat merasa enaknya air kelapa pandan

sedapnya....!!!! Zaharan sanggup berlapar menunggu sambal tempenya
 Untuk makan malam kami makan laksa lagi. Zaharan menggeleng kepala melihat isterinya, si 'hantu Laksa' Suami saya pula memberi komen "Depa ni kalau jumpa laksa 3 hari 3 malam pun tak apa!" .Kalau jadi hari Selasa nanti kami bercadang makan laksa lagi. Kali ini istimewa dari Telok Kecai pula.Itupun kalau ada orang sanggup pergi beli. Maklumlah bila keluarga berkumpul untuk menyambut Hari Raya Haji tentulah laksa Telok Kecai jadi pilihan mudah dan pantas bagi mengisi perut ahli keluarga yang ramai. Tambahan  pula  dapur pula sedang dikemas dan peralatan memasak bertaburan di sana sini. Tukang masak pun sudah kehabisan tenaga dan minda juga sudah letih.
Tak pernah-pernah banjir..kali ni naik paras peha.

Pagi-pagi Sabtu kami berdua segera bertolak ke Taman Uda pula. Dua keluarga sudah berpakat mencuci rumah dan halaman. . Sampah bertimbun-timbun di kiri kanan jalan. Itulah suasana  selepas banjir. Perabut dan segala yang rosak dihumban ke tepi jalan sebelum lori MBAS datang membuat kutipan. Dengar kata depa  ni tak menang tangan menerima panggilan dari sana-sini.  Dalam situasi begini kita perlu bersikap rational. Bersabar bila ditimpa musibah kerana sudah lama Allah  memberi kita senang dan nikmat. Susah-susah kita masih ada tempat berteduh, di hujung bulan ada juga duit gaji masuk ke akaun.
Mengutip apa yang dibuang orang untuk mengganti apa yang dah rosak
 Menurut kata anak saudara, setiap mangsa boleh membuat laporan kerosakan. Pergi ke mana-mana balai polis daerah yang kena banjir dan bersedialah beratur dan menunggu giliran. Orang datang tak kira waktu.Ambil  nombor giliran pagi dan datang semula mengisi borang pada waktu petang. Maklumlah ramai yang terlibat dan ramai juga yang menuntut bantuan  seperti yang diwar-warkan. Bagi petani yang musnah tanaman padi pula  pihak MADA ada  membuka kaunter aduan dan mereka boleh membuat aduan di situ. Bermula banjir melanda tak henti-henti berbagai pihak datang menghulur bantuan. Saya turut terkilan bila ada orang luar senang-senang mengata kerajaan negeri tidak ambil peduli. Nama pun bencana alam. Datangnya pantas macam kilat dan perginya lambat pula macam semut. Begitulah bila Allah hendak menguji kita. Fizikal dan emosi juga turut terkesan.
Kerosakan banjir hanya minima tetapi  kena juga dibaiki agar selesa bakal penghuninya

Sehari suntuk kami di Taman  Uda. Memunggah .membuang dan mencuci apa yang patut . Di depan pagar dua orang pengutip barang-barang buruk sedang berusaha keras mengutip barang-barang yang kami buang. Betullah kata orang somebody's trash, somebody cash. Mujur juga besan kami datang menolong. Mereka  menebas, mencantas dan membakar dahan-dahan kering yang merosakkan pandangan. Ketika berhenti rehat sambil memakan nasi lemak bungkus mereka anak-beranak  sudah merancang  pokok apa yang patut ditanam bagi mengindahkan laman rumah tersebut. Saya hanya tersenyum kerana sebagai orang lama dalam bidang pertanian sudah pasti mereka lebih arif bab itu. Hasil kebun mereka pun tak henti-henti sampai  ke rumah saya. Kauthar dan Zaharan turut teruja mendengar.
Mujur besan orang seberang jalan dapat juga mereka menghulur bantuan 

Suami saya pula sibuk menyiapkan kerja-kerja plumbingnya di atas rumah. Segala paip yang rosak dibaiki.Dan akhirnya kami dapat makan tengahari pada masa azan asar sedang berkumandang. Itupun sekadar sebungkus mee goreng mamak dari kedai Mee Abu yang famous di Alor Setar .Bila hari sudah menjelang senja kami memutuskan untuk berhenti dahulu. Meskipun masih banyak kerja yang belum diselesaikan tetapi tubuh kita juga ada hadnya. Ketika kami bertolak keluar dari Taman Uda pakcik dua orang tadi terus dengan kerja mereka.Lori sampah dan para pekerja MBAS masih bertungkus-lumus menghabiskan tugas. 3  tong besar sedang menunggu untuk diangkut ke tempat pembuangan sampah. Dan masih bertimbun-timbun samaph dan perabut berlonggokan di bahu-bahu jalan. 


Terdengar-dengar kata besan  saya  tadi "Kalau tak mai banjir orang perempuan ni kerja kumpul dan simpan. Bila datang banjir yang dok simpan, yang dok sayang tu depa  buang macam tu saja." Saya juga terfikir agaknya  begitulah juga bila kita mati nanti.Yang sayang yang kasih kita akan tinggal macam tu sahaja. Cuma yang akan mengikut kita hanyalah doa anak yang soleh serta amalan baik bersama  harta-harta yang kita gunakan untuk jalan Allah.
sayang..sayang..akhirnya tetap terbuang

Malam itu kami berdua  tidak dapat tidur mungkin kerana terlalu letih. Saya risaukan suami saya yang mempunyai komplikasi jantung. Bila bekerja dia sampai  lupa yang dia tidak boleh terlalu tekun tetapi bila saya menegur dia  membalas "Kalau saya tak buat sapa nak buat lagi..kesian kat mak ". Saya terdiam dan berdoa diam-diam di dalam hati janganlah ada masalah kesihatan pula selepas ini.  Besok paginya ketika  sedang berkemas untuk pulang saya diserang migrain yang teruk. Sudah lama tidak migrain dan sepanjang jalan saya cuba melelapkan mata. Dalam kesakitan itu otak saya masih sempat berfikir.Apakah kesudahan nasib rumah mak/abah? Ketika nafas sudah makin pendek, tenaga kian kurang dan kesihatan makin tidak memberangsangkan mampukah kami menghadapi bila banjir datang lagi ?  Hanya masa sahaja mampu memberi jawapannya. Tiba-tiba saya terasa aimata mengalir di pipi. Terlalu sedih atau  terlalu letih segala-galanya bercampur meresap ke segenap saraf dan minda saya sudah tidak mampu lagi berfikir.Saya cuma ingin segera sampai  ke rumah sendiri. It is good 
everywhere but home is better!!


apakah kesudahan rumah ini jika banjir melanda lagi?
tanaman mak pun sudah hidup  segan, mati tak mahu