Tuesday, November 16, 2010

Kenangan di Aidil Adha

Pusara  ayahanda & bonda  tercinta di Perkuburan Ampang

Ketika arwah mak  masih ada dia selalu menunggu datangnya hari raya haji. Mulanya kami tidak tahu sebabnya tetapi setelah dewasa baru mengerti rupanya hari raya haji adalah hari ulang tahun perkahwinan mak. Pelikkan..tetapi itulah hakikatnya kerana kata mak orang dulu susah jadi bila nak kenduri terpaksa menunggu musim korban.Dan sebahagian daging itu akan digunakan menjamu tetamu di majlis tersebut.

Mak meninggal pada 2001.Sejak itu kami tidak pernah lagi berhari raya di kuala Lumpur. Ini pula  gambar yang diambil pada tahun 2003. Ketika itu kami cuba beraya  qurban di rumah mak di Kampong Baru.Sudah pasti  hari raya  tidak meriah bila ibu bapa sudah tiada. Terasa kosong dan hambar sekali walaupun riuh rendah suasana keliling. Sejak itu kami tidak lagi pernah beraya di tempat lain kecuali di Alor Setar. Memang terasa juga teringin beraya di tengah keluarga sendiri. tetapi suami selalu tidak sampai hati meninggalkan abah dan mak beraya  berdua bila adik beradik yang lain tidak dapat pulang.


Menyambut kepulangan haji dan hajjah  di Bayan Lepas

 Saban tahun pasti ada sanak-saudara , jiran tetangga atau handai taulan yang menerima jemputan menjadi tetamu Allah. Bagi yang sudah berpeluang ke sana sudah pasti masih kekal dalam ingatan segala kenangan ketika beribadat di sana. Sekarang makin sukar untuk mendapatkan tempat. Jika mendaftar sekarang kemungkinan besar tahun 2030 baru sampai   giliran kita. Bagi jemaah haji hari yang paling penting ialah hari Arafah atau hari ukuf pada 9 Zulhijjah. Hari ini adalah dikatakan sebaik-baik hari. Terdapat berbagai kelebihan pada hari tersebut. Bagi yang tidak menunaikan haji disunatkan berpuasa pada hari tersebut. Bagi yang berpuasa Allah  berjanji akan mengampun dosa  pada tahun ini  dan pada  tahun akan datang.

Memotong daging korban untuk diagih dan dimasak
 Selain  menunaikan fardhu haji kita juga dituntut melakukan ibadat qurban. Saya masih  ingat arwah wan selalu menganjurkan jamaah di masjidnya supaya membuat tabungan. Bermula bulan Muharam  sehingga ke bulan Zulhijjah. Setiap bulan seorang demi seorang ahli jemaah datang ke rumah menghantar duit qurban mereka. Pernah pada satu subuh rumah kami dimasuki pencuri. Ketika itu pagi Jumaat dan jemaah masjid agak lama bersolat subuh kerana  imam (arwah wan ) akan membaca surah Sajdah. Sebaik selesai solat kami pulang ke rumah dan melihat  pintu rumah terbuka luas. Soalan pertama yang keluar dari mulut wan "Duit korban dah lesap ka?" Kami semua meluru ke atas rumah, dan wan sudah pasti segera mencari laci dimana wang yang berjumlah hampir seribu ringgit itu tersimpan. Laci sudah dikopak pencuri. Dengan kumut-kamit membaca doa wan menarik isi laci keluar. Alhamdulillah...jatuh satu sampul surat. Wan segera mencapai dan membukanya. Saya terkejut melihat duit  berkeping-keping ditarik keluar."Alhamdulillah...duit berkat.Allah pelihara' itulah ucapan wan sambil menadah tangan mengucap syukur. Saya tertanya di dalam hati "Kenapa pencuri tadi tidak mengambil duit tersebut". Tidak jumpa  atau tidak sampai hati mencuri duit yang tertera perkatan "duit kurban" di muka depan  sampul itu.

 Bukan mudah orang dahulu mengumpul wang. Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka mencari wang dengan bersusah payah dan bila mampu melakukan tuntutan agama hati mereka menjadi gembira tidak terkira. Sekarang zaman sudah  berubah korban boleh dilakukan dengan mudah. Kita tidak perlu bersusahpayah keluar rumah mencari orang yang menganjurkan. Cari sahaja di laman sesawang banyak pihak yang melakukan kurban di merata negara. Keperluan membantu saudara kita di negara yang minoriti Islam. Ada yang benar-benar susah sehinggakan mereka menunggu datangnya bulan haji untuk merasa daging lembu atau kambing. Di negara kita daging mudah diperolehi sepanjang tahun. Berbagai hidangan berasas daging turut dijual di kedai-kedai makan. Tentulah lebih besar pahalanya jika kita memberi makan orang yang benar-benar lapar.
Bertahu- tahun rumah mak/abah jadi tempat solat hariraya
 Di hari raya juga kita dituntut menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat.  Antara perkara yang disunatkan ialah makan selepas solat sunat hariraya  dan bukan sebelum bersolat.Sebaik selesai bersolat segeralah menumbangkan binatang ternakan sebagai korban. Ini adalah sebagai memperingati peristiwa Nabi ibrahim as mengorbankan anaknya Nabi ismail as.
abah tetap kuat beribadat

 Biasanya  daging korban akan diagih kepada kaum kerabat, jiran, fakir miskin dan ada juga yang mengambil kesempatan  untuk melakukan akikah. Satu ibadat yang dituntut ke atas ibu bapa selepas kelahiran anak. Khusus pada hari ke tujuh kelahiran atau selewatnya sebelum anak itu baligh. Anak lelaki dianjurkan 2 ekor kambing dan anak perempuan seekor sahaja.
daging untuk akikah sunnat dimasakkan
 Jiika korban disunnatkan diagih daging mentah tetapi akikah pula disunatkan dimasak masakan yang manis-manis. Saya teringat pada hari raya haji tahun lepas kami juga membuat akikah untuk Zaffran. Memang sibuk kerana paginya sembelihan baru dibuat. Selepas  itu  daging perlu pula dilapah, dipotong dan diagihkan. Untuk akikah Zaffran kami memasak kurma dan menghantar ke rumah-rumah bersama daging korban. Petangnya selepas asar kami merebus tulang-tulang untuk bihun sup sempena majlis pertunangan Kauthar-Zaharan. Memang penat tetapi penuh dengan kegembiraan dan kesyukuran  kerana banyak tanggungjawab tertunai pada hari tersebut.Tahun ini insyaallah ibadat korban tetap akan dilaksanakan  pada hari raya pertama. Dan setelah selesai urusan kami perlu bergegas pulang ke rumah kerana  ada anak yang akan menduduki  SPM  tidak berap hari sahaja lagi.
.
Zaffran yang masih bayi

Marilah memperbanyakkan bertalbiah kalimah suci ini bagi menenangkan  hati-hati kita yang kusut dan gundah gulana.Dengan mengingati Allah  hati akan menjadi tenang. Semuga  Allah  membuka peluang untuk kita menjadi tetamunya di tahun-tahun akan datang. Untuk saudara -saudara kita yang sedang bergerak ke Mina untuk melontar jumrah  semuga Allah memberi haji yang mambur kepada mereka. Ameen.


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu

No comments: