Monday, November 8, 2010

Bila Hujan Turun

Cuti umum jatuh pada hari Jumaat . Hari Khamis anak-anak sudah mula pulang. Yang pertama tiba sudah pasti kak ngah dari JB.Kebetulan kami berdua keluar survey water jet di Chai Leng Park jadi dalam perjalanan pulang singgah ambil Harith di asrama. Petangnya saya ikut kak ngah melawat kawannya bersalin di SP. Ketika sedang pulang suami menelefon adik ipar akan sampai dari Alor Setar. Sebaik tiba saya segera masuk menyiapkan bilik-bilik/tilam bantal/selimut dsbnya  untuk mereka.
Sawah yang dulu menghijau dan....

mampu menzahirkan rasa bahagia di wajah....kini
                                  .. 

melaut luas hingga sejuknya menyucuk hati petani

Saya tidak sempat memasak kerana sudah beberapa hari asyik berjalan. Jadi stok makanan di dalam peti ais juga sudah hampir  habis  Kalau ada pun keras membeku.. Tengaharinya kami makan di Penaga dan sebelum ke SP saya sekadar menyiap keow tew goreng untuk makan malam.Itupun sudah dihabiskan kerana kebiasaan kami makan sebelum maghrib. Mujur juga mertua adik ipar membawa nasi goreng . Sambil melayan mereka makan kami berbual kisah banjir di Taman Uda.Rumah lama kami. Letrik sudah dipotong dan air paip juga sudah berhenti mengalir. Air banyak tetapi air bersih tak ada. Saya mengusik " Ni yang orang tua-tua dok kata itik di air mati kehausan". Air mineral laris macam goreng pisang panas. Orang datang membeli berkotak-kotak. Untuk kegunaan sendiri dan yang bijakbertindak sudah pasti untuk dijual pula.
kak ngah  meronda mengambil foto  banjir di Taman Uda  petang 6 Nov 2010

Taman Uda adalah antara taman perumahan terawal di bandar Alor Setar. Tiada siapa menduga air akan naik sehingga ke paras pinggang. Ia tidak datang dari hujan lebat atau dari sungai yang tepu tetapi datang dari sawah padi di belakang taman tersebut. Jika datang menaiki kapalterbang  sawah-sawah itulah  yang dilihat ketika kapalterbang hampir tiba di lapangan terbang Sultan Abd.Halim. Jika musim menanam sungguh cantik pemandangannya. Menghijau atau menguning.Kini batas-batas sawah telah bersatu menjadi lautan yang sangat luas. 

Sawah-sawah itu letaknya di hadapan kampong mertua di Titi Gajah. Menganjur hingga ke belakang Taman Uda. Bila air  sungai   sudah tepu ia akan melimpah ke kampong kemudian air itu akan melintas jalan sebelum masuk ke sawah-sawah. Air terus bergerak dan bergerak hingga sampai ke Taman Uda dan kawasan sekitarnya. Air mulai naik di situ seawal jam 6 petang. Jam 3 pagi air sudah sampai ke paras lutut di lorong rumah lama saya. Air juga melintas Jalan Sultanah untuk sampai  ke Taman Rakyat dimana Kauthar/Zaharan tinggal. Penduduk yang tidak pernah mengalami banjir tidak begitu bersedia. Mengemas dan mengangkat barang-barang letrik dan mudah rosak. Bila melihat paras air semakin naik baru mereka bagaikan tersedar bahawa ini bukan sekadar air biasa. Atau air longkang sebak semasa hujan lebat tetapi ini air banjir. Ya banjir terburuk setiap 100 tahun.


Stesen Esso dan Shell yang selalu jadi landmark untuk ke Taman Uda

Jam 7 pagi  keadaan menjadi bertambah kalut kerana ada beberapa buah sekolah di kawasan ini. Stesen Shell dan Esso sudah tidak boleh dilalui kenderaan ringan.  Ibubapa yang menghantar anak-anak  ke sekolah dan orang-orang yang berusaha memindah kereta-kereta ke tempat yang tinggi. terpaksa bersesak-sesak .Jalan Sultananh sudah menjadi terusan. Di mana mahu parkir kereta ?  Tempat yang paling selamat sudah pasti di atas flyover di Jalan Tun Razak. berhadapan SK Taman Rakyat.Mungkin kerana Jalan Tun Razak agak tinggi air tidak mudah sampai ke Taman PKNK. Namun orang-orang di situ tetap berwaspada dan mula berjaga-jaga.


kak ngah di sawah di belakang Taman Uda 2003 sejurus sebelum berpindah.

Pagi-pagi Jumaat  dalam  hujan renyai-renyai usai  solat subuh saya sudah bersiap dengan  bekas-bekas. Mencari gerai nasi lemak untuk sarapan. Alhamdulillah gerai pilihan kami tetap dibuka walaupun cuti umum. Siap bersarapan adik ipar berkira-kira ke Kulim. Suami menahan dan mereka  memutuskan untuk makan tengahari dan solat  Jumaat di sini sahaja. Saya memasak apa-apa sahaja yang dapat saya temui dalam peti ais. Kemudian Kauthar/Zaharan pula tiba. Mereka  membawa bersama banyak bahan mentah dari peti ais  emak mereka, kak Sakinah . Peti ais terpaksa dikosongkan kerana pencawang TNB sudah ditengelami air. Mereka pula sudah bertolak ke rumah adik Zaharan di Rawang.Saya segera merangka menambah menu.


Menu  mudah tetap  enak bila dimakan beramai-ramai begini

Ketika orang lelaki   bersolat Jumaat kami sibuk di dapur. Kauthar mengopek kerang, kak ngah mengupas ciku. Saya pula menyiap bingka ubi. Ubi pula dicabut dari rumah di Taman Uda ketika kami ke situ Isnin lepas.   Akhirnya dapatlah kami menjamu selera dengan berbagai hidangan. Yang paling istimewa sudah  pasti kerabu pegaga. Pegaganya dipetik di belakang rumah +  serai dari aunty Jalilah + kelapa/kerisik/kerang  dari stok kak Sakinah . Bukan susah sangat nak buat kerabu tetapi bila memikir segala ketete/gelambirnya hm..tu yang jadi payahnya. Tapi bila dah dapat dibuat dan melihat  betapa cepatnya ia lenyap memang rasa berbaloi.

Harith yang tak biasa melihat saya mengoreng kerisik siap memberi komen "Hm..bau apa ni macam sedapp... sangat"  Salah saya juga. Asyik beli kerisik siap di dalam paket sampai anak tak kenal bau harum kelapa sedang digoreng. Sekurang-kurangnya dapatlah juga dikongsi satu lagi pelajaran hidup sambil memberi makan orang yang kelaparan dan terpaksa melarikan diri dari rumah kediaman masing-masing. Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan bukan semua manusia tabah dan reda dengan ujian dariNya. Sesekali bila Allah menguji. Bila merasa  kita yang paling derita sudah pasti ada orang lain lagi yang lebih menderita dari kita. Pujuklah hati kita dengan mengingati balasan baik yang Allah sediakan untuk hambaNya yang bersabar dan  tidak pernah berburuk sangka dengan Nya.

No comments: