Sunday, September 19, 2010

Di 10 Syawal 1431

Sehari dua ni  saya memang sibuk ke sana ke mari. Namun dalam kesibukan itu sempat juga meluang masa menerima jemputan dari teman dan saudara . Sudah pasti bila bertemu selain bertukar kabar dan cerita sudah pasti  kisah jenayah terbaru di Malaysia antara cerita paling hot. Masing-masing menyuarakan rasa hati masing-masing. Selamatkah kita sekarang? Bila difikirkan memang ngeri seolah terbayang apa yang kita sering tonton dalam filem-filem. Apakah ini antara bala-bala yang diturunkan Allah  kerana kita kian meninggalkan segala yantg diperintah dan melaku apa yang ditegahNya?

Ketika ini siapakah yang kita harus percaya? Orang yang bercakap lemah lembut kadangkala busuk hatinya. Depan kita lain belakang kita pula lain. Tapi bila telah berlaku sesuatu insiden kita dengannya dan kita cuba menceritakan kepada orang lain agar mereka juga tidak terpedaya. Sudah pasti mereka tidak percaya dan yang paling sadis mereka menyampaikan pula hal tersebut kepada sidia . Maka kita yang pada awalnya dipihak yang benar tup..tup kita  pulak jadi orang yang  tak baik. Dalam insiden begini saya selalu berpegang pada  satu hadis 

"Jika kita dikatakan apa yang tidak kita lakukan dan kita bersabar dengannya maka Allah akan bina sebuah rumah di pinggir syurga untuk kita'
Kata orang mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia tak boleh. Jadi sedaya mungkin saya akan berusaha agar diri tidak menjadi pencetus kontravasi tapi adakala Allah tetap menguji. Di bulan baik ini marilah kita merapat ukhuwwah dan sentiasa maaf bermaafan agar hati kita sentiasa bersih dan sentiasa bersangka baik sesama manusia .Luangkan masa berziarah terutama rumah mereka yang kita kenal bertahun-tahun tetapi kita belum sempat jejaki rumah mereka  sambil membawa rahmat ke rumah tersebut.

Saya sering juga bertemu orang yang bertanya bila saya akan mengadakan  rumah terbuka. Jawapan  saya senang sahaja. Rumah saya sentiasa terbuka...tau apa jawab mereka. Tak bestlaa..nanti pi tak ada apa pulak nak makan" "eh...hello...kalau nak makan bagi tau ajalah nak makan apa...insyallah saya akan berusaha memasaknya..itupun kalau tak sibuk. Tapi kalau nak mai rumah just sebab nak makan itu dan ini  baik pergi jamuan raya atau rumah terbuka yang dibuat pembesar negara. Kat situ pilih aja apa nak makan. Tapi kalau datang rumah saya..tak lah sampai  tak ada apa nak dimakan..mai lah dan kalau bagi tau awal..insyaallah saya akan berusaha menyediakan satu menu sampingan selain kuih raya yang masih ada. Janganlah berziarah semata-mata untuk makan, jika kita terlalu obses dengan  bab-bab makan ini macam tak berkesan kita melalui madrasah Ramadan selama sebulan tu. Puasa yang kita jalani sekadar lapar dan dahaga tetapi tidak mampu mendidik jiwa kita.


Oh! hari ini juga 10 Syawal. Saya ingin mengucapkan tahniah untuk diri sendiri dan suami  kerana sudah berjaya menyambut hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke 31. Berbagai fasa kehidupan sudah dilalui bersama. Merata rumah orang juga kami menyewa sehingga mampu memiliki rumah sendiri. Seorang demi seorang anak dapat di hantar belajar di sana sini. Dan alhamdulillah selepas subuh semalam kami sempat mengadakan majlis  bacaan Yassin dan majlis kesyukuran untuk anak-anak yang akan mengambil PMR, SPM dan bang cik yang akan pergi seminggu lagi. Saya  dan suami turut terharu kerana ramai sahabat handai dan jiran yang sudi menerima jemputan kami. Meskipun penat dan terasa sakit badan di sana sini kerana mengurus hal dapur  bersorangan  tetapi jauh di sudut hati saya bersyukur. Sepanjang hidup berumahtangga ini  Allah telah melimpahkan rezeki yang banyak untuk kami sekeluarga. Bila ditanya apa rahsia kami..sudah pasti inilah jawapan  yang selalu saya berikan. Rajin baca Qur'an, buat solat hajat dan mudah tolong orang. Jika kita jaga Allah, insyaallah Allah akan jaga kita dan melimpah rezeki dari punca-punca yang tidak kita ketahui. semuga Allah  terus melimpahi kami dengan berkat dan rahmah agar dapat menjadi contoh terbaik untuk anak-anak pula, ameen.

Thursday, September 16, 2010

Lebaran Lalu

Sudah hampir seminggu kita berhari raya. Seperti yang dijangka tak henti-henti juga kami menerima undangan. Jamuan  raya, kenduri kahwin dan majlis bacaan Yassin. Ketika ini juga anak-anak yang akan mengambil UPSR dan PMR sibuk membuat persedian terakhir. Di masa yang sama juga anak-anak yang akan menyambung pengajian di luar negara sedang membuat persiapan terakhir. Ada juga yang telah terbang di akhir Ramadan, pada hari raya dan insyallah minggu-minggu akhir September.

Saya dan suami mengambil peluang membawa anak, menantu dan cucu menziarahi sanak-saudara pada hari raya pertama. Tahun lepas kami langsung tak berpeluang berjalan raya kerana terlalu padat jadual melayan tetamu yang datang menziarahi abah dan mak. Maklumlah kami baru menyambut menantu  baru jadi inilah masa yang paling sesuai untuk membawa dia bertemu keluarga.Juga kesempatan menziarahi sanak-saudara yang sakit dan uzur belaka.

Tahun ini entah kenapa acara bergambar di atas tangga tak pula dijalankan. Jadi kami memutuskan untuk bergambar di hadapan pokok asam jawa di tanah kepunyaan suami di kampongnya. Menantu saya yang terlibat langsung dengan bidang pertanian memang nampak teruja bila melihat suasana kampong yang redup dan damai.

Raya kedua sahaja kami sudah pulang ke rumah. Raya ketiga pula ke Kubu Gajah untuk menghadiri majlis perkahwinan student/ staff suami. Hari ini anak-anak saya akan pulang bertugas/bersekolah. Seminggu lagi insyaallah rumah kami akan sepi. Kami akan kembali berdua semula. Begitulah putaran hidup.

Pokok asam yang sering menggugurkan buah tetapi tak dimanfaatkan kerana tida siapa yang mengusahakannya

Thursday, September 9, 2010

Didiklah Hati

Detik-detik  menuju akhir Ramadan dilalui dengan perasaan yang berbagai-bagai. Bila melihat saf penuh hingga ke belakang saya berdoa dan berharap agar begitu juga bila Syawal nanti . saf penuh hingga melimpah. Tinggal semalam lagi untuk berqiyamulail dan sekali lagi bertarawih. Itupun kalau tak jadi beraya pada hari Khamis. Tahun demi tahun Ramadan datang dan pergi. Hanya kita saja mampu menilai diri kita adakah hati kita makin  bertambah  taqwa, bertambah takut kepada Allah atau sebaliknya. Jika kita mampu berdiri lama sepanjang malam di bulan Ramadan tentu tidak akan sukar kita meneruskan amalan mulia ini di bulan-bulan mendatang.

Banyak hadis-hadis yang menerangkan kelebihan bersolat di waktu dinihari. Ketika itu Allah  turun di langit dunia di sepertiga malam dan Dia menunggu untuk mengampun dosa hambaNya yang meminta ampun. Juga memakbulkan doa yang diminta hamba-hambaNya.Amalan bangun malam bukanlah perkara baru bagi saya. Ketika tinggal bersama arwah wan dia selalu mengejutkan saya supaya bangun bersolat dua rakaat dan mengulangkaji hingga subuh. Ketika itu Tuhan saja yang tahu betapa mata bagai digantung batu saja.. Air kolah pulak sejuk macam air batu. Kerana takutkan wan terpaksa juga diharungi semua itu. Dan memang benar bila  belajar di waktu pagi  hampir 90% yang dibaca melekat di ingatan bagai terpahat di batu.

Kini saya selalu menyarankan anak-anak saya tidur awal dan menyuruh mereka bangun di awal pagi. Tambahan pula pada musim peperiksaan tentu suasana damai, dingin dan sunyi sepi itu memudahkan kita menyerap segala yang dibaca.

Bangun malam juga wajar diamalkan bila mata kita terkebil-kebil tidak mahu lena. Mungkin kerana banyak  perkara bermain di fikiran atau ada perkara yang diserabutkan. pada bulan ramadan tentu mudah kerana tiada syaiatn yang menganggu tapi bulan-bulan lain tentu sukar, Setiap malam syaitan akan membuat 3 simpulan pada tubuh kita. Satu simpulan terbuka bila kita terjaga dan terus mengingati Allah, kedua pula terbuka bila kita berwudu' dan ketiga akan terlerai bila kita mengangkat takbir.


Jika difikirkan memang pelik,kan. Manusia boleh melawan musuh yang bersenjata dan memenangi macam-macam peperangan tetapi kita boleh kalah dengan  tilam dan bantal yang empuk. Perjuangan melawan nafsu akan  bermula tidak lama lagi. Didiklah hati kita agar menjadi kita hamba yang rabbani dan bukan hamba ramadani.

Tuesday, September 7, 2010

Nostalgia Hari Raya

Hari-hari menjelang akhirnya Ramadan . Ingatan dan kerinduan kepada arwah bapa, mak, wan dan tok. Mereka adalah orang yang sangat hampir dengan saya. Merekalah mencorakkan pemikiran dan gaya hidup saya hari ini. Meskipun orang dulu-dulu tidak menunjuk yang mereka sayangkan kita, tetapi saya tahu jauh di sudut hati mereka sayangkan kita. Berbeda dengan ibubapa sekarang, kita pamirkan supaya anak rasa disayangi dan dihargai. Adakala terlampau sangat menunjuk rasa sayang hingga anak-anak tidak tahu pula menunjuk rasa hormat dan meletak kita di tahap yang lebih atas darinya. Dulu dan sekarang memang berbeda. Itu tak dapat dinafikan.Sekali air bah sudah pasti pantai berubah. Tidak salah kita bergerak maju ke hadapan tetapi kita juga perlu menoleh ke belakang melihat sejarah. Dari sejarah kita mengambil pengajaran dan membaiki kesilapan yang mungkin dilakukan orang terdahulu. Juga dari sejarah kita dapat membuat penilaian apa yang patut kita ambil, apa patut dibuang dan apa yang patut dimurnikan. 
 arwah Tok cik Don yang tak sempat beraya tahun ini
Raya datang dan raya pergi. Yang tetap tinggal sudah pasti kenangan dan nostalgia yang diimbau sekali-sekala. Saya suka juga mengenang zaman ketika kecil-kecil dahulu. Seingat saya apa yang saya suka tentang puasa sudah pasti hidanagan ketika berbuka. Bila datang bulan ramadan ketika itulah arwah tok akan memasak berbagai makanan yang jarang dimasak di waktu lain. Hidangan wajib sudah pasti nasi ulam + sayur keladi, kuih kasidah, buah melaka, , kanji  Kedah , telur masin, papadom dan acar . Mungkin kerana memberi ganjaran kepada ahli keluarga yang berpuasa tok akan cuba memasak apa yang digemari kami semua. Bila hampir raya pula sibuk menjemur  tepung, mengoreng dan menumbuk kacang hijau, menumbuk gula , mengisar tepung. Sabut dan telur pula dikumpul sejak berbulan-bulan untuk membakar bahulu. Menjelang hari raya  putu kacang, biskut arab, kek buah, wajit, halwa maskat, kuih siput, kuih bangkit  siap semuanya menanti untuk dihidangkan. hasil tangan sendiri. Bila di sekolah pula sibuk bertukar cerita kuih apa yang dibuat mak-mak kelmarin. Kalau yang tidak puasa pula akan menayang kuih raya yang dibawanya dari rumah. 

 Tok memang pandai masak...cuma tok tak sempat menurun  semua ilmu masak-memasaknya. Silapnya kerana saya tidak digalak ke dapur kerana arwah wan lebih suka saya di meja studi sepanjang waktu. Tugas memasak adalah tugas amah atau orang  gaji ketika itu. Cuma bila saya berpindah tinggal dengan arwah mak barulah terasa langit itu tinggi atau rendah.
orang yang rajin memasak sudah tak larat semuanya, 
 Arwah mak yang sibuk mengajar mengaji di rumah orang (mencari pendapatan tambahan) di sebelah pagi akan mengarah saya membuat itu dan ini. Baliknya sudah pasti mak mengharap mesti semua sudah siap belaka. Adik bongsu saya pula bersekolah petang dan abang saya yang ketika itu belajar di ITK akan pulang makan tengahari. Dalam keadaan tak tahu hal-hal dapur saya terpaksa memula dari awal. Belajar membeli ikan, menyiang, menyiap bahan dan memasak. Beberapa kali juga ikan hangus atau nampak garing di luar tetapi mentah di dalam. Juga beberapa kali saya terpaksa membuang makanan ke dalam tong sampah kerana tak mahu mak tahu masakan tidak menjadi. Mujur mak banyak buku resepi sekurang-kurangnya saya ada juga sumber rujukan. Walau kadang resepinya untuk orang kaya-kaya sahaja seperti beef stik, ayam golek dsbnya.

Oh...bila dikenang memang lucu dan bila difikir balik memang banyak silapnya. Kemahiran memasak adalah satu kemahiran untuk hidup. Survival skil kata orang sekarang.  Memang rugi dan memang perit bila perut lapar, tekak  pula mengidam itu dan ini.Tentu tekak kita tak larat juga nak telan mee segera, sardin, telur dadar setiap hari. Hari ini memang banyak buku masak di pasaran tetapi jika tak tahu atau tak ada langsung asas memasak susah juga kita nak menganalisa kehendak resepi tersebut. Bahan-bahan pun belum tentu kita kenal semuanya. Kalau malu bertanya lagilah parah.

Saya teringat satu masa  dahulu saya pernah mengikuti seminar anjuran NURY. Antara perkara yang disarankan supaya diajar kepada  anak kecil ialah memperkenalkan benda di sekelilingnya. Antara yang saya ingat ialah rempah ratus, tanaman herba dsbnya. Hari ini saya tak pasti anak-anak di luar sana kenal atau tidak daun kari, daun limau purut. Yang mana halia  dan yang mana lengkuas. Atau ada yang tak berminat langsung untuk tahu kerana tak ada kena mengena dengannya. Nak makan main beli aja. Atau nanti minta bibik yang masakkan. Kan sekarang serba mudah semuanya. Main call aja siap ada orang deliver depan pintu rumah. Ada duit kertas atau duit plastik bayar aja lah.

Tak usahkan orang lain, anak-anak saya sendiri kalau perlu pergi membeli ikan saya akan minta mereka bawa hp sekali. Bila sampai mereka akan tanya "Ni ikan apa?" dan akan bagitau saya pula. Dan saya  pula akan mengarah mereka membeli ikan jenis apa yang saya mahu. Saya rindukan masa lalu, dimana saya dipaksa berbasikal ke pasar Seberang Perak dan tok akan suruh saya beli itu dan ini. Ketika itu saya masih bersekolah rendah. dari tak tahu kita akhirnya jadi tahu.Alah bisa tegal biasa.

Dan hari ini saya hanya  dapat menerap apa yang saya inginkan ke jiwa anak-anak bila mereka pulang bercuti sahaja. Sayangnya masa yang ada  tersangat  padat. kerja kursus, ulangkaji, tuition dan akhirnya mereka sampai ke penghujung alam sekolah menengah.. Bila berpeluang menyambung pengajian ke luar negeri isu ini timbul semula. Ketika itu masa juga dijadikan alasan. Mana nak pergi cari barang, mana nak pergi taklimat penaja, mana nak buat visa...mana itu dan mana ini akhirnya masa untuk belajar masak terus dilupakan. Sedar-sedar masa pergi begitu sahaja dan mujurlah zaman serba mudah ini membantu anak dan saya bertemu di halaman sembang. Dia bertanya dan saya membalas. Mudah-mudahan anak saya tidak  akan kelaparan di tempat orang.

Sebaik-baiknya selepas SPM belajarlah menjengah dapur. Anak yang berminat dan ada kesedaran lebih baik dari ibu yang memaksa. Saya jenis yang tak sabar melihat muka anak bermuncung tajam bila dipanggil  menolong di dapur. atau sambil mengupas bawang atau menggoreng ikan sempat  pula berselang-seli berchatting atau berbalas SMS dengan kenalan. Apa-apa pun kena fokus jika tidak hangus ikan di kuali, berkepala  masak lemak di periuk dan saya selalu berpesan kepada diri sendiri. Jika boleh mengajar orang lain kenapa sukar saya mengajar anak sendiri.Saya perlu banyak lagi membuat muhasabah diri. Saya bimbang anak-anak kita nanti menjadi itik di air mati kehausan, ayam dikepuk mati kelaparan. Makanan penuh peti sejuk tetapi tak pandai ditukar menjadi hidangan  yang boleh diterima tekak. 

Raya hari ini juga sudah hilang serinya. Anak-anak tidak merasa teruja lagi menyambut raya. Setiap hari mereka dapat memakan  apa yang diiginkan asalkan ada duit di tangan.Kuih-kuih yang susah dibuat dan hanya muncul bila menjelang raya berlambak di pasaran sepanjang tahun. Keseronokan membantu membuat kuih raya tidak pernah dikecapi anak-anak. Kuih raya hanya dipilih di katalog atau beli online saja.  Saya bimbang hari raya sudah tidak membawa apa-apa erti lagi . 1 Syawal hanya dinanti kerana kita sudah tidak perlu berlapar di siang hari. Dan ia juga permulaan kepada  pesta makan yang akan berlangsung selama sebulan pula. Berselang-seli dengan kenduri kahwin.
bukan senang nak bakar ayam kalau tak ada pengalaman
Tahun ini anak-anak bercuti awal jadi marilah kita mengajak mereka mengacau rendang, menjaga api lemang dan ketupat atau membantu menyedia semata dua kuih raya. Biar mereka tahu betapa pedihnya mata dimasuk asap atau  bosannya menunggu air ketupat kering atau biskut masak di oven .Barulah mereka ada pengalaman manis atau pahit untuk dinostalgiakan pula kepada anak cucu mereka.Walau nampak remeh tetapi itu yang akan diingat sampai bila-bila. Semua itu kenangan yang akan diceritakan meskipun kita sudah tiada lagi
bersama mereka menyambut raya

"kek ni tentu  lebih sedap kalau  sendiri yang buat"
.
Selamat menyambut hari raya. Semuga tiada kata yang menyinggung perasaan atau menyentuh hati sesiapa. Saya hanya  ingin berkongsi rasa dan pengalaman agar ada yang dapat dimanfaatkan. Berayalah dengan cara yang izinkan Allah. Luanglah sedikit  batas waktu untuk mengenang saudara-saudara kita yang menderita akibat perang dan bencana alam. Gempa bumi di New Zealand membuktikan tiada apa yang dapat menahan bila Allah mengkehendakinya. Dan kita sebagai hambaNya yang mengaku beriman beringat-ingatlah dalam bergembira. Dalam suka adakala ada dukanya. Selamat pulang ke kampong  halaman.Muga selamat semuanya.Ameen.

Monday, September 6, 2010

Datang Dan Pergi

Anak saya bertanya " Betui ka  lagi 3 hari kita nak sahur?" . "Kenapa tanya macam tu?" saya bertanya.                    "Rasa macam cepat sangat masa berlalu"  Ya betul, mungkin ada orang  yang rasa cepat dan tak kurang pulak yang rasa lambat sangat jarum jam bergerak.

 Ketika ini di sana sini riuh-rendah mendendangkan lagu-lagu raya.Mood raya dah menjalar di mana-mana.Sebenarnya shopping complex dah lama main lagu raya...sejak awal puasa dan ada juga yang mula siarkan akhir Syaaban lagi. Beriya-riya sungguh nak raya ni.

Dapur-dapur juga mula mengeluarkan aroma yang wangi, sedap, enak-enak belaka. Maklumlah sejak awal pagi hingga lewat malam tukang buat kuih sibuk menyiapkan tempahan. Kekangan masa membuatkan ramai surirumah tidak berpeluang mennunjuk bakat membuat kuih itu dan ini. Semuannya bergantung pada sampel-sempel yang dipromo di tempat kerja. Ketika ini juga yang tidak pernah berniaga belajar berniaga.

Walauapapun yang kita lakukan sudah pasti sekali-kali jangan dilupakan amalan dan tanggungjawab kita terhadap bulan Ramadan. Ia akan berlalu pergi dalam sedikit hari sahaja lagi. Tahun depan belum tahu kita mampu untuk menemuinya lagi. Sayang sungguh jika kita biar Ramadan depan mata berlalu begitu saja, tanpa kita mendapat sebarang manfaat darinya. Tidak lebih dari lapar dan dahaga semata-mata.Adakah cukup rutin kita sepanjang Ramadan sekadar bangun sahur, petang ke bazar ramadah, buat persiapan raya dan tahun depan kita lalui rutin yang sama juga. Tidakkah terdetik di hati kita, sesuai denagn peningkatan usia kita ingin tambahkan amalan, siapkan bekalan dan ubah rutin hidup kita?

Mudah-mudahan hamba-hamba yang berusaha berjaga malam dan bangun malam di 10 malam terakhir ini dapat meneruskan amalan ini di bulan-bulan  seterusnya. Jika kita berfikir kita patut mengandakan ibadat di bulan Ramadan sebenarnya kita tersilap. Kita juga menyembah Tuhan yang sama di bulan-bulan yang lain juga. Janganlah kita menjadi hamba ramadan tetapi jadilah hamba Allah. Tuhan yang tidak tidur dan  tidak alpa walau sesaat pun. Kita yang banyak  berdosa ini sudah pasti mengharap rahmah dan kasihsayangNya untuk mengampun kita. Jadi dengan sisa waktu yang ada berusahalah meraih redaNya bersungguh-sungguh. Tidak akan meraih syurga orang yang mengutamakan kerehatan. Dunia adalah tempat kita berusaha kerana bila mati kita akan lena dan tidak akan bangun-bangun lagi sehingga Allah menentukan ketikanya. Rebutlah sisa masa yang tinggal kerana bila Ramadan berlalu dibawanya bersama segala nikmat, rahmat dan segala yang baik-baik yang Allah janjikan untuk kita.

Sempena Syawal bakal tiba, saya memohon maaf zahir dan batin di atas segala kekasaran bahasa yang mungkin menyinggung hati pembaca dan pengikut blog. Semuga Allah akan menjadikan kita semua lebih baik dari hari semalam. Dan kita keluar dari madrasah Ramadan ini dengan masterplan yang lebih baik untuk meneruskan hidup lebih bersyariat sehingga kita dipanggil menemuiNya.Railah Syawal denagn adab dan akhlaq yang ditunjuk Ar rasul Saw. Janganlah dicemari denagn cara-cara yang tidak disukai Alalh. Berhibur berlebihan, bersalaman lelaki -perempuan bukan muhrim, memakai pakaian tidak menutup aurat  dan tidak bermaaf-maafan sebagaimana  yang diajar Islam.  Kunjung mengunjung sanak saudara  sebagai merapat silaturrahim sambil memohon maaf di atas kesilapan zahir dan batin yang sengaja dan yang tak disengajakan. Tidak perlulah  kita merai Syawal hanya dengan menunggu di depan TV bersama   sepiring makanan kerana jika kita tahu fadilah berziarah tentu kita akan berlumba-lumba melakukanya.