Wednesday, October 13, 2010

Monolog



Sudah masuk minggu ke tiga  anak-anak pergi meninggalkan rumah. Betapa kuat saya menahan rasa namun sekali-sekala bila menatap hidangan di meja makan pasti air mata gugur juga.  Saya  terus menguis nasi yang sejak tadi tidak berusik. Saya memang redha mereka pergi tetapi rasa rindu itu tetap ada. Sudah sekian lama mereka bersama tiba-tiba sahaja rumah menjadi sunyi sepi . Mereka kerap juga menelefon atau berYM. Mendengar suara mereka menghilang sekejap rasa rindu. Saya cuba tidak terlalu mengingati mereka kerana jika makin kuat kita ingatkan mereka, begitulah juga kuatnya rindu mereka pada kita. Telepati di antara ibu dan anak.


Saya ingat petua arwah mak. Bila ada anak-anaknya akan berangkat jauh dia selalu minta sehelai baju yang belum berbasuh. Bila rindu  dia akan gunakan baju atau kain untuk buat selimut. Jika dulu saya dan adik-adik akan ketawakan emak, tapi bila saya terjumpa kisah Nabi Yusuff dan Nabi Yaakub barulah saya mengerti kewajarannya.

Dalam kisah tersebut saya membaca tentang Nabi Yaakub yang menangis sehingga buta kerana rindukan anaknya Yusuff. Ketika  abang-abangnya pergi ke Mesir untuk mendapatkan  makanan , Nabi Yusuf mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan ke muka Nabi Yaakub. Nabi Yusuf juga menyuruh abang-abangnya datang semula ke Mesir dengan membawa ibu bapanya bersama (untuk berpindah dan bermastautin di Mesir).


Semasa abang-abang Nabi Yusuf masih dalam perjalanan pulang, Nabi Yaakub memberitahu saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi Yusuf, tetapi mereka tidak percaya sebab pada sangkaan mereka Nabi Yaakub sudah sangat tua dan kata-katanya itu adalah kata-kata orang tua yang nyanyuk.
Sebaik-baik abang-abang Nabi Yusuf tiba di Palestin dari Mesir, mereka menyapukan baju Nabi Yusuf ke muka Nabi Yaakub lalu ayah mereka dapat melihat kembali. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku telah berdosa dan meminta supaya ayah mereka meminta ampun bagi pihak mereka lalu Nabi Yaakub memohon Allah mengampun anak-anaknya yang sudah insaf. 

Saya tidaklah menangis macam Kassim Selamat tetapi bila melihat berita di akhbar dan kaca TV tentang kemalangan bas hujung minggu lalu hati saya menjadi makin sedih. Bayangkanlah jika kejadian yang sama menimpa kita. Sudah pasti ketika inilah iman kita diuji. Reda atau menyalahkan takdir? Kerap sangat kita mendengar berita kemalangan yang ngeri-ngeri pulak tu. Sikap kita sebagai pengguna jalan raya sering dipersoalkan tetapi cukupkah sekadar itu. Bincang dan tiada tindakan susulan. 

Tiga minggu lepas ketika berhenti di R&R Tapah saya sempat mengisi borang soal selidik Majlis Keselamatan Jalan Raya. Malangnya saya banyak menjawab 'tidak' bila ditanya tentang aspek penguatkuasaan oleh polis atau JPJ. Semuga soal selidik itu akan dianalisa dan dikaji bagi mendapat satu formula terbaik bagi mengurang kadar kemalangan di negara kita. Saya pernah bertanya. 

"Kalau di UK lesen memandu Malaysia boleh guna, tak?"
"Hmm...tak boleh, mak cik. Kena ambil test pulak kat sana."
"Awat?'
"Depa kata lesen kita tak boleh percaya. Depa kata Malaysia antara negara yang kadar kemalangan jalan rayanya tinggi"
"Ya..ka?"
"Tu...depa katalah. Tapi yang pasti lesen kita tak boleh bawa kereta di sana"
"Dulu boleh"
"Tu dulu, mak cik. La dak dah!!"
"Nak belajar berapa ratus pound pulak?"
"Tak pastilah.....saya pun tak pi test lagi. Nak pi mana naik train saja"
"O...rasa-rasa naik train  selamatlah sikit"
"Betui mak cik. Tapi lambat la kita ni kan selalu nak cepat saja. Tu yang banyak kemalangan  tu" 
"Hmm...agaknya lah..."
Saya termenung dan berfikir nak naik apa pulak bila nak pi mana-mana. Tu takut , ni takut...la ni dok rumahlah kot. Tak payah pi mana-mana. Itu pun kalau boleh lah...

No comments: