Wednesday, April 6, 2011

Hidup Beradab

Entri ini mungkin agak awal tetapi tak salah,kan? Esok saya mungkin sibuk dan mungkin juga letih kerana sudah berjanji mengambil  tugas menjaga abah di hospital. Kita merancang dan Allah yang menentukan.Setiap hari kami berbincang menentukan tugas siapa yang patut menjaga abah. Seringkali ada-ada sahaja ahli keluarga yang menawarkan diri untuk menjaga abah. Jadi sementara saya masih di AS saya membantu menampong slot-slot yang tidak diambil orang lain. Sudah dua hari abah berpindah ke wad baru. Suasana agak selesa dan diharap abah dapat berehat dengan tenang.  Namun selagi bernama manusia sudah pasti tetap ada kekurangan di sana-sini. Patutlah Rasullah SAW pernah bersabda antara timbangan amal manusia yang paling berat di akhirat ialah akhlaq mulia.

 Bukan susah sebenarnya untuk melakukan kebaikan tetapi segelintir manusia malas ambil pusing untuk memikirkan kepentingan dan kemaslahatan orang lain.  Saya selalu merasa rimas bila perlu menggunakan  lif ke tingkat 7. Bukan saya inginkan layanan istimewa tetapi sekadar inginkan peluang untuk melangkah keluar terlebih dahulu sebelum orang luar masuk ke dalam lif. Bertolak dan berebut masuk perkara biasa belum lagi diambil kira bersentuh tubuh dengan lelaki  /perempuan.  Lif untuk lelaki dan satu lif untuk perempuan  jika kita benar-benar ingin menjaga syariat. Begitu juga ketika membeli makanan di cafetaria. Memotong barisan dan berebut memilih makanan. Bila melihat sikap manusia memang kita diajar berlapang dada, bersangka baik namun saya masih tidak dapat memahami kenapa kita tidak melihat akhlaq Islam di kalangan orang Islam sendiri. Apakah ajaran Islam itu tidak di sampai secara menyeluruh atau kita yang malas untuk mengamalkan apa yang diajarkan.

Mengambil kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun kepada anak keempat saya. Semakin tambah usia sudah sewajarnya bertambah kematangan berfikir, bertindak dan beramal.Semuga hidup yang sebentar ini dimanfaatkan sebaiknya. Hadiah paling bermakna dari ibu dan bapa ialah nama yang baik dan akhlaq mulia. 

No comments: