Tuesday, June 7, 2011

Seminggu Berlalu

Cuti sekolah sudah masuk minggu kedua. Uitm juga sudah memulakan kuliah untuk pelajar asasi dan diploma.  Cuti yang tidak sama . Nampak gayanya anak-anak terpaksa memerap di rumah mengadap TV atau komputer.Ibubapa pula bertugas dan tidak boleh bercuti. Mujur anak saya sudah penuh jadualnya sepanjang masa cuti ini. Menjadi urusetia untuk Ekspo Pendidikan Islam yang diadakan di sekolahnya dan selepas itu ke Rantau Abang menyertai program LEADERS anjuran IKRAMteens di sana.
Program LEADERS bertujuan melatih remaja menjadi pemimpin yang seimbang fizikal, mental dan spiritual, memandu remaja untuk membentuk matlamat hidup yang jelas, mempraktiskan konsep berpasukan dalam bekerja dan mempraktikkan asas asas dakwah. Program LEADERS 2011 kali ini turut dibantu oleh barisan fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT yang sedang bercuti dari pelbagai latarbelakang bidang pengajian.


Aktiviti aktiviti menarik yang dijalankan ialah taaruf al-ankabut, sambutan karnival Palestin-Kami Bersamamu, trekking de Rantau, kenali penyu, seruanku dan banyak lagi. Semua aktiviti adalah bercorak kerja berpasukan dan melatih peserta menonjolkan kepemimpinan secara individu dan berkumpulan. Peserta juga dilatih untuk solat wajib dan sunat di tepi pantai diatas pasir bertemakan alunan ombak dan berlangitkan bintang bintang. Kata  anak saya  "3 hari yang sangat besssttt...."
Saya sudah agak 'lapang' sekarang. Dua bulan lepas yang cukup padat. Abah jatuh sakit, pembedahan suami, kelahiran  cucu dan kematian abah.  Rintitan  peristiwa besar yang memerlukan kami  semua mengatur sebaik mungkin  jadual hidup masing-masing. Jumaat lepas  Lutfil Haziq sudah pulang ke rumahnya. Insyaallah, seminggu  lagi mamanya akan kembali bertugas . Jadi dia perlu dibiasakan dengan mak toknya. Segala persiapan telah disediakan. Tempat tidur dan stok susu ibu yang memenuhi peti sejuk insyaalllah cukup untuk menampong keperluannya.Terasa juga sunyi bila mereka berangkat pergi.Tapi apakan daya bertemu dan berpisah itukan lumrah  hidup.




 Hujung minggu lalu kami berdua pulang menziarahi mak .Masyaallah, jalan sesak teruk. Bermula dari tol Bertam hingga ke SP Selatan. Kami mengambil masa dua jam untuk sampai ke AS(U). Bila memikirkan keadaan jalanraya pada musim cuti dan perayaan saya bersyukur tidak tinggal jauh dari kampong. Nikmat berjalan-jalan dalam suasana tenang sudah ditarik Allah. Kenderaan juga bersesak teruk untuk membayar tol. Ketika ini  kami sangat bersyukur kerana ada Smart taq. Segera singgah untuk solat asar yang telah terlewat di Masjid Sultanah. Dalam perjalanan ke rumah mak kami singgah sebentar menziarahi pusara abah. Hujan renyai-renyai dan harum kemboja  bersama  bayu petang menyapa kami. Rasa sebak dan sayu masih kuat terasa..  Abah tetap di hati.

Rintik hujan dan harum kemboja  menemani abah

Setiba di rumah mak sedang berehat  sambil jarinya membilang buah tasbih. Sudah sebulan abah pergi meninggalkan kami. Airmuka mak masih mempamerkan kesedihan yang masih berbekas. Minggu lepas adik ipar saya pulang bersama anak-anaknya.Sekurang-kurangnya mak tidaklah terlalu sunyi. Dulu rumah mak sering jadi tempat cicit -cicit saudara mak  bermain tetapi  sejak kebelakangan ini  tidak lagi. Mungkin kerana ingin memberi ketenangan kepada mak yang masih dalam tempoh berkabungnya.Suara dari TV Hijrah mengisi kesepian senja . Suasana sudah tidak serupa dulu. Abah pergi dan membawa bersamanya segala keceriaan dan kegembiraan dari rumah ini. Saya bagaikan ternampak-nampak abah di sana dan di sini. Saya percaya mak pun demikian juga. Sudah pasti lebih mendalam lagi. Perkongsian hidup yang cukup lama sudah pasti tetap akan meninggalkan kesan yang cukup berat di jiwa mak. Bila melihat mak saya selalu membuat refleksi diri. Mampukah saya melakukan apa yang telah mak lakukan dan bersediakah saya jika tiba-tiba suami dipanggil Tuhan? 

1 comment:

Fudhla Bt. Harery said...

Walau dah sebulan abah meninggalkan kita, namun masih terasa abah berada bersama..kehilangan abah masih ditangisi kini dan selamnya..moga abah tenang di 'sana' ...Teh