Monday, September 26, 2011

Melakar Rindu

Lama sungguh saya tidak berpeluang  bertemu adik-beradik sendiri.  Maklumlah bila emak dan bapa sudah tidak ada di dunia anak-anak bagaikan kehilangan tonggak keluarga. Satu masa dulu ketika emak dan bapa masih ada kami akan berkumpul . Sekurang-kurangnya setahun sekali . Terutama pada hari raya . Ketika itu dapatlah bergurau, bertukar berita  sambil menikmati juadah hariraya yang dibuat atau yang diberi jiran tetangga. Ketika itu juga  anak-anak dapat bermain dengan sepupu-sepupu mereka atau bergaduh dengan anak jiran tetangga. Maklumlah ketika masih kanak-kanak belum pandai berfikir silap sikit semua akan jadi punca pergaduhan dan perselisihan faham.
Seronoknya dapat bertemu semua yang dirindu
Selepas emak meninggal kami tidak berpeluang berkumpul. Walaupun pernah ada usaha sekali dua untuk sama-sama menyambut raya tetapi kami tidak berjaya mengumpulkan semua ahli keluarga. Bila arwah mak dan bapa sudah tidak ada tanggungjawab kami berdua beralih kepada keluarga mertua  pula. Selagi termampu suami saya tetap ingin berbakti kepada mak dan abah .Seboleh mungkin suami saya mahu berada di sisi mereka setiap kali tibanya hari raya. Begitu juga adik beradik saya yang lain. Perhatian dan tanggungjawab beralih ke keluarga mertua masing-masing. Seingat saya selepas pemergian mak kami tidak pernah beraya di tempat lain selain Titi Gajah. Jadi bila datang raya ada yang beraya di Johor, ada yang beraya di Rembau, di Melaka dan di Kedah. Waktu lain memang sukar untuk berkumpul. Jika seorang di Sarawak, sorang di Johor, 4 di Selangor dan saya sendiri di P.Pinang tentu agak sukar untuk bertemu walaupun bukanlah mustahil. Makin meningkat usia makinlah beratlah tanggungjawab dan makinlah singkat masa senggang untuk kita.

Kami empat beradik tanpa ancik Tim.
Panggilan telefon dari kak long membuka ruang untuk kami bertemu. Saya terus menghubungi suami dan segera merangka perjalanan kami. Maklumlah bila hari cuti hujung minggu tidak sama tentu banyak perkara perlu diuruskan. Kebetulan  menantu saya sedang berkursus di Bayan Lepas jadi mudahlah dia ikut serta. Saya memang sangat ingin membawanya  bertemu ahli keluarga saya. Selepas berkahwin tahun lepas mereka ada juga ke sana tetapi maklumlah bukan senang bertemu orang KL. Bila kita lapang mereka pula tidak lapang. Bila kita sudah ada di depan pagar mereka pula sedang tersepit di kesesakan jalan raya. Jadi bila Allah bukakan jalan sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang ini.

Selepas solat Jumaat kami bertolak ke sana. Kami .merancang untuk .tidur di rumah adik menantu saya di Rawang. Jadi tidaklah terlalu lama  Lutfil Haziq terkurung di dalam kereta. Maklumlah baru belajar merangkak tentu rimas bila terperok lama-lama di ruang yang sempit. Kebetulan pula  isterinya anak sepupu suami saya .Mereka berdua  baru diuji Allah kehilangan anak sulung berusia 9 bulan  pertengahan Ramadan lalu. Anak adalah amanah yang dipinjamkan Allah. Tiba masanya akan diambil kembali. Walau betapa kasih dan sayang kita kepada mereka. Dan Allah menguji dengan apa yang kita mampu tanggung. Semuga Allah akan mengantikan dengan  yang lebih baik lagi.Ameen.
Berpuluh tahun tidak bertemu

Selepas sarapan kami singgah sebentar di Taman Melawati. Menziarahi  keluarga adik ipar. Mereka juga sedang bersiap ke satu majlis raya. Selepas  merasa sepotong dua lemang Pak Ajai kami meminta diri. . Destinasi seterusnya sudah pasti ke tempat kenduri. Taman Bukit Mahkota. Kami tiba tepat jam satu. Majlis baru bermula. Pengantin pun belum lagi tiba. Selepas  bersalam  dan bertanya kabar andak ,busu dan  kak long kami segera  mengambil beberapa keping foto  sebelum melangkah ke meja hidangan.

Menantu saya memuji acar buah yang hidangkan manakala suami saya termenung memikir apa yang boleh dimakannya. Kasihan dia  tidak ada pilihan. Semuanya pedas dan berempah. Selepas pembedahan  dulu dia terpaksa menapis  apa yang boleh dimakan. Sambil kami menjamu selera kami memerhati keliling. Ada tetamu yang dikenali dan ada juga yang tidak.Maklumlah bila sudah lama tidak bertemu sudah pasti ada perubahan fizikal yang menyukarkan kita mengecam  mereka yang satu waktu dulu sangat hampir dengan kita. Sekejap-sekejap ada sahaja adik , abang atau kakak mengajak saya bertemu dengan saudara mara yang sudah lama tidak bertemu.  Memang betul kata orang tua-tua. Di tempat kenduri dan kematian sahaja tempat kita bertemu saudara mara.
Perjalanan pertama Lutfil Haziq 

Majlis hampir berakhir ketika kami meminta diri. Lutfil Haziq sudah rimas. Sebaik mendapat kunci rumah dari adik ipar kami meminta diri . Saya melangkah pulang dengan hati yang berbagai-bagai. Wajah-wajah ceria adik beradik dan anak-anak saudara  kuat mengingatkan saya kepada emak. Terbayang di mata betapa gigih dan sabarnya  mak menjaga dan mendidik cucu-cucunya ketika ibuayah mereka keluar bekerja. Walaupun kepoh mulutnya meleterkan budak-budak tu tetapi bila sudah ke dapur bagaikan hilang rasa penatnya memasak itu dan ini untuk anak menantu dan cucu-cucu kesayangannya. Cuma saya berharap dan berdoa agar dalam keceriaan dan kegembiraan hidup hari ini  masing-masing tidak lupa menziarahi  pusaranya dan menitip sepotong dua doa untuk kesejahteraannya di alam sana.Tiada apa lagi yang didambakan sekadar doa-doa yang tidak putus-putus dari anak-anak yang soleh. Tika harta tidak lagi berguna doa-doa itulah yang lebih bernilai dari dunia dan seluruhnya. Meskipun iman itu tidak boleh diwariskan tetapi saya percaya mak dan bapa sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan iman itu sebagai bekalan hidup kepada anak-anak yang tinggal. Terserahlah kepada anak-anak yang tinggal untuk menyemarakkan lagi iman itu atau membiarnya terkulai layu. Saat ini  mak dan bapa sudah tidak ada lagi di sisi tetapi ajaran dan kata-kata nasihatnya masih terngiang segar di telinga. Mudah-mudahan apa yang kita kerjakan hari ini tidak sampai menjadi beban kepada ibubapa yang sedang menanti kita di alam sana. Permudahkanlah Ya Allah urusan mereka di sana.Ameen Ya RabbalAlameen.Dan anakmu ini tetap akan menyusulmu cuma bila dan ketikanya hanya di dalam ilmu Allah Taala jua.
Bersama busu, kak long dan andak.

Wednesday, September 14, 2011

Hari ini realiti, semalam tetap sejarah

Bila mencari buku saya suka mencari buku yang mengisahkan kehidupan seseorang. Tak kira orang itu terkenal ataupun tidak. Tak pula bermakna saya jenis suka jaga tepi kain orang. Cuma bila mengatup buku saya akan pandai-pandai buat analisa sendiri. Kenapa orang tu jadi begini dan bukan begitu. Dan apa yang boleh saya pelajari dari kisah kehidupan itu. Jadi secara tak langsung saya belajar tentang sejarah. Cuma bila sebut pasal sejarah , perkataan itu sudah jadi satu perkataan yang sensitif lah pulak.

Saya yang lahir selepas merdeka...oopps betulkah perkataan itu? Makin pening dan keliru. Hari in ini orang ini cakap ini dan esok orang lain pula cakap lain. Makin keliru dan kepala yang sering migrain makin kena telan banyak ubat-ubat bagi meredakan rasa pening itu. Saya tidak pasti juga samada mulai tahun ini tarikh 31 Ogos itu perlu diingati atau tidak? Dan sesiapa yang lahir pada tarikh tersebut atau ada perkataan Merdeka pada nama mereka patut terus merasa unik dan bangga. 

Mungkin juga lepas ini kita tidak berpeluang mendengar  suara Sudirman setiap kali tiba bulan lapan. Lagu  Tanggal 31....bulan lapan 57...mungkin  tidak lagi dimainkan di corong radio dan kaca TV kerana secara teknikalnya kita tidak pernah dijajah. Jadi kita tidak perlu merdeka dari siapa yang menjajah kita. 

Dengar kata panel mengkaji buku teks sejarah juga sibuk bekerja. Laporannya dijangka siap hujung tahun ini. Cuma jika ada orang yang sudi menemu bual dan bertanya saya apa yang saya harap dari laporan itu. Saya sekadar ingin berkata. Peradaban manusia menjadi bertambah baik jika kita  belajar dari kesilapan diri sendiri dan orang lain. Tidak ada yang perlu dimalukan jika kita mengaku yang benar tetap benar. Perkara yang paling berat ialah mengaku kebenaran walaupun ia sangat pahit . Lihatlah seerah Nabawiyah. Saidina Omar ra yang hebat itu tidak pernah menafikan sejarah ketika dia menanam  anak perempuannya hidup-hidup. Bertitiktolak dari saat dia melafazkan syahadah dia telah menjadi orang yang hebat dan tinggi imannya. Sejarah tetap sejarah. 

Berilah peluang  anakcucu kita membaca yang benar-benar belaka . Tidak guna membiar mereka rasa bangga tak tentu arah kerana lahir di bumi yang tidak pernah dijajah. Sedangkan pada hakikatnya  setiap keputusan sebelum 31hb Ogos 1957 itu  perlu mendapat kata putus dari Penasihat British kecuali yang berkaitan dengan  agama dan adat istiadat orang Melayu. Apakah yang akan kita labelkan kepada Tok Janggut, Hj  Abd Rahman Limbong, Mat Kilau dsbnya. Apakah gelaran Bapa Kemerdekaan yang dipegang Tunku Abdul Rahman kena ditarik balik dan ditukar dengan gelaran yang lain pulak?

Gambar dalam buku Sejarah

Oh! Masa saya di dunia ini sudah semakin singkat. Saya tidak  boleh menongkat langit untuk bercerita tentang sejarah negara bila anak cucu cicit bertanya nanti. Apa yang akan mereka baca tentulah apa yang ditulis pada hari ini. Setiap kita bertanggungjawab dengan apa yang dipertanggungjawabkan.  Saya makin pening jadi sebelum bertambah kuat peningnya baik saya bangun mencari Dyfenamic Tablet. Sementara saya reda dari pening ini tolong-tolong fikirkan apa yang sebenarnya sedang berlaku ini.Dan bolehkah menyediakan jawapannya sekali.?  Oh! Kepalaku.



Saturday, September 10, 2011

Menyemai Kasih

 Bila ada pembaca komen kenapa tak update blog barulah teringat sudah beberapa hari tak ada entri. Sibuk...(bila tak sibuk  ya!) Alasanlah tuu... Ya! Saya dan semua orang memang sibuk. Siapa kata suri rumah tak pernah sibuk ?  Walaupun rumah saya comel sahaja tetapi tugas mengemas tak pernah selesai. Dulu anak saya selalu komplen. Bila telefon ummi asyik kemas..tak habis-habis kemas. Besar sangat ke rumah kita tuu...???? Tapi..bila dia balik bercuti dan melihat saya tak pernah berhenti bekerja kecuali masa makan, solat dan sedikit nap baru dia tak mengomel lagi. Saya orang KL sebenarnya tapi sudah rasa macam orang Kedah. Saya baru baca satu buku lama yang dah lama dibeli dan ditulis oleh orang lama. Katanya orang Kedah memang kuat bekerja. Ada-ada sahaja yang mahu dilakukannya kalau tidak bekerja badannya akan rasa nak demam dan sebagainya. Bila difikir balik mungkin betul juga sebab alasan ini selalu  diberi ibu-ibu dan nenek-nenek kita. Itu kata penulis yang kebetulan juga orang Kedah. Kalau orang Kedah tak promo orangnya siapalah lagi kan...???
Cartoon of a Woman Tired from House Cleaning clipart
 Masa saya baru beranak dua saya pernah menegur mak kerana dia asyik mengemas dapurnya yang comel. Berehatlah ,mak. Tak penat ke dari tadi asyik kerja. Sebenarnya bukan dia yang penat tapi mata kita yang penat kerana mengikut dia sekejap ke dapur sekejap ke beranda.Ada-ada sahaja yang dilakukannya. Tapi bila sudah ada rumah sendiri dan usia pun makin meningkat  perangai mak dan tok jugak yang diikut. Walau badan letih tapi kalau kerja tak siap walau badan sudah terbaring mata tetap tak mahu pejam. Minda di luar sedar masih berfikir. jadi baik siapkan kerja baru cari sedikit masa untuk rehatkan badan.

Selepas anak-anak pulang saya mulalah mencari kerja. Kerja yang sudah lama dirancang tapi tak berkesempatan. Mengemas dan mengosong segala laci-laci. Entah apa-apalah yang disimpan bertahun-tahun. Hasilnya beberapa beg sampah di luar pagar. Dulu saya memang sayangkan bahan bercetak. Buku, keratan akhbar, majalah hatta buku sekolah anak-anak pun mahu disimpan.Kini bila tahun demi tahun  ahli keluarga makin bertambah  dan kami perlukan lebih ruang maka saya terpaksa 'pejam mata' dan membuang segala harta merdak yang sangat disayang tuu.Kononlaaa...


Bila sudah membongkar memang macam-macam yang ditemui. Semuanya menyimpan kenangan yang bukan sedikit.Dairi -diari lama semuanya bertampal dengan keratan resepi yang dikutip dari akhbar dan majalah. Apa komen suami saya? Hmmmm...buku resepi mengalahkan chef tapi masak asyik tuuu ...tuuu saja....Hai.!..dia mana tahu resepi tu sekadar panduan untuk memasak sesuatu yang baru dan bila dah mahir tentu resepi tu dirujuk bila terlupa bahan atau langkah sahaja. Bila sudah mahir memasak sudah pasti kita perasan bahan dan cara memasak lebihkurang saja cuma nama sahaja diberi nafas baru. Pernah dengar  Sup Gadai Nyawa ??? Haa..kalau nak tau rupa dan rasa cuba cari di kedai makan dekat-dekat Utim, Permatang Pauh. Kenapa dan mengapa nama itu dipilih sila cari sendiri jawapannya.

Ini mee udang Pulau Sayak. 

Sambil mengemas sambil membaca apa yang ditemui. Kad-kad ucapan, surat-surat, kad raya. Walaupun bukan semua yang saya baca tetapi saya tetap akan membaca surat-surat yang pernah saya tulis kepada anak-anak. Sambil membaca airmata pasti turut berjurai. Kata-kata nasihat, pujukan dan semangat ketika mereka sedang dilanda demam peperiksaan, ketika keciwa, ketika mengalami krisis jiwa dsbnya. Maklumlah tengah meniti alam remaja menuju kedewasaan. Kini anak-anak itu sudah  dewasa , ada yang sudah membina hidup sendiri dan sedang belajar membesarkan anak-anak. Dan ada yang masih tercari-cari hala tuju hidup. Saya yang tidak berpeluang membantu  membesarkan anak-anak mereka,  sekadar menitip buku-buku untuk panduan mereka. Dengan harapan mereka membaca dan menimba ilmu keibubapaan. Itu pun jika mereka tidak sibuk mengisi masa dengan Facebook, twitter, dsbnya.

Saya sendiri banyak belajar dari buku maka saya harap mereka pun begitu juga. Maklumlah menjadi ibu ketika jauh di rantauan tiada mak atau tok untuk dirujuk jadi sudah pasti buku yang menjadi teman karib saya. Orang sekarang beruntung maklumat dihujung jari. Jika ada masalah boleh saja dicari atau ditweetkan saja. Dunia makin maju dan jangan sampai kemajuan itu menjarakkan kita dari orang yang kita kasihi.  Ketika masih hidup kita perlu bersilaturrahim dan jika kita mati anak-anak pula diajar Rasulullah SAW berhubung dengan rakan taulan ibubapa. Dalam sisa-sisa Syawal ini masih ada masa untuk kita ziarahi  rakan, jiran dan mungkin teman lama yang sudah dilupakan. Insyaallah, jika diizinkan Allah saya sangat ingin menghadiri jemputan walimah anak perempuan teman sebilik saya semasa bersekolah di T.I Penang pada lewat tahun 70an. Bertemu dengannya pun satu kebetulan. Di sebuah kedai daging menjelang Syawal. Itu yang dikatakan rezeki. Jika sudah tertulis rezeki kita di situ maka ada-ada sahaja cara Allah membolehkan kita.

"Aku terima nikahnya..."
 Begitu juga dengan jodoh .Jika bukan jodoh kita saban waktu bertemu belum tentu jodoh kita dan jika sudah jodoh sekali bertemu sahaja terus Allah buka ruang untuk proses seterusnya. Jadi bagi yang masih menunggu dan mencari jodoh jangan mudah berputus harap. Ada yang jodohnya dilambatkan dan ada yang dicepatkan. Setiap sesuatu ada hikmahnya.  Akhir-akhir ini saya banyak menerima jemputan kahwin anak-anak sahabat yang sedang belajar di luar negara. Sebagai ibubapa tentu banyak faktor difikirkan sebelum mengizinkan anak-anak berkahwin muda. Insyaallah, ibubapa yang normal akan mengizinkan bila sudah ditimbang buruk baiknya . Berkahwin ketika belajar bererti mengambil beberapa tugas dalam satu masa.  Pelajar, isteri/suami  dan mungkin ibu/bapa. Ada yang mampu dan mungkin juga ada yang tidak mampu melakukan multi tasking. Jangan keciwa jika ibubapa menangguhkan permintaan anda kerana di hati dan minda mereka, tiada yang mereka fikirkan kecuali yang terbaik untuk anda semua. Kembalilah ke tempat anda dulu  dan jangan lupa perhatikan diri, perbaiki diri dan persiapkan diri  sehingga  summer depan. Who know's mungkin summer depan  permintaan anda mungkin akan diterima dan tidak lagi pending. Mana tahu mungkin ketika itu anda sudah lulus ujian penilaian ibubapa untuk mereka berkata 'ya' terhadap proposal anda berdua. Selamat belajar!!!
Meniti ruang waktu
Bulan Syawal antara bulan-bulan baik untuk mendirikan rumahtangga. Dan saya bertuah kerana kami mula hidup bersama pada  10 Syawal . Sudah berpuluh kali Syawal disambut bersama tetapi setiap datang Syawal  adalah permulaan tahun baru  buat kami.Banyak ruang dan peluang berkongsi dosa dan pahala. Dosa bila kami saling mengabaikan hak masing-masing dan pahala bila saling menunaikan hak-hak itu. Tiada yang sempurna kecuali Allah Azzawajalla. Maka salinglah menjadi pakaian untuk menutupi segala kelemahan antara satu sama lain jika ingin cinta di dunia ini membawa kita hingga ke syurga. Bertolong-tolongan dalam jalan ketaqwaan.

Debar hati seorang isteri

" Manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam, bukan
dari kepalanya untuk menjadi atasnya, bukan dari kakinya
untuk menjadi alasnya, malah dari sisinya untuk menjadi teman
hidupnya, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat
di hatinya untuk dicintai





بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِيْ خَيْرٍ.

“Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan atasmu serta mengumpulkan kamu berdua (pengantin laki-laki dan perempuan) dalam kebaikan.”  buat pasangan  pengantin sepanjang bulan Syawal ini.