Friday, October 8, 2010

Resah Di Hati Ibu

Saya sedang berbual dengan bang cik di laman sembang bila ada satu pesanan masuk di peti pesanan. Saya terus berbual kerana adakala pesanan yang masuk datang dari tuan punya talian yang ingin menawar beberapa perkhidmatan mereka. Setelah menaip beberapa baris saya bangun mencari fon saya.

Masyaallah...rupanya pesanan datangnya dari anak yang sedang menunggu di bahagian kecemasan di HUSM, Kubang Kerian. Ya Allah! Saya hanya mampu berdoa dan berdoa agar tidak ada kecederaan yang serius. Pagi tadi baru saya membaca berita tentang satu taska di Putrajaya disita kerana kematian bayi dalam jagaan mereka.

Dalam situasi begini tentu tidak apa yang mampu saya lakukan selain mengambil wudu .Bersolat dan berdoa. Saya boleh membayangkan perasaan anak saya ketika itu. Alhamdulillah, suaminya ada di sisi untuk memberi sokongan moral dan melalui detik yang mencemaskan itu bersama-sama. Walaupun tubuh masih di sini tetapi hati saya sudah jauh dibawa pergi ke KK. Kalau dekat mungkin saya sudah mencapai kunci kereta untuk bersama mereka. Saya boleh membayangkan betapa kuatnya Zaffran menangis dan betapa kuatnya dia menepis nurse dan doktor yang merawatnya.

Bila saya menelefon,  doktor baru membenarkan mereka pulang dan datang semula Selasa depan kerana mereka tidak dapat melihat ke dalam telinganya kerana ada takungan darah di situ. Alhamdulillah, kerana anak saya bertugas di situ mudah sedikit dia melalui berbagai prosedur sebelum dapat berjumpa pakar ENT.

Saya tidak mampu komen apa-apa kerana saya pernah membesarkan tujuh orang anak. Dan macam-macam perkara yang telah terjadi kepada mereka sehingga kita menjadi berani, tabah dan kuat . Seseorang perlu dimasukkan ke hospital .Kakak  dan 'Ammar pernah diserang denggi, kak ngah tertelan duit syiling, bang cik pula terjatuh basikal hingga mendapat Bell's Palsy hampir dua bulan ketika berusia 3 tahun. Bang cu pula kena jaundise yang teruk dan Harith pula dimasuk ke hospital kerana hernia ketika berusia 5 tahun. Kak lang saya tak berapa ingat cuma setiap kali demam dia akan muntah-muntah yang teruk.

Bila menoleh ke belakang saya hairan dimanakah datang kekuatan dan ketabahan untuk melalui semua itu. Saya yakin dan percaya kekuatan itu sudah pasti datang dari hati yang kuat pergantungan dengan Alllah. Ajaibnya orang Islam ini kerana kita bersabar bila ditimpa musibah, kita redho dengan ketentuanNya dan kita bersyukur bila kita dianugerah rezeki dan doa kita dipenuhi.Kekuatan ini tidak datang begitu saja, ia perlu dipupuk dan dididik sepanjang usia kita. Dalam situasi ini saya sangat  berharap anak-anak saya akan mengambil pendekatan yang sama. Menangis sahaja tidak mampu mengubah suasana , ia sekadar mereda gelodak perasaan kita yang kacau bilau ketika ini. Bangunlah dan dirikanlah solat serta banyak membaca ayat-ayat Allah kerana dalam kitabNya ada ayat-ayat yang akan menenangkan dan menyembuhkan. Sesungguhnya hati yang sentiasa mengingati Allah akan menjadi tenang. Marilah sama-sama berdoa agar Zaffran sekadar cedera ringan sahaja., insyaallah.
Zaffran bersama aciknya

3 comments:

Lady Qay said...

tq umii. pg ni dpt apmnt dipercepatkan..so nak pg jmpa dktr kjap lg..mudah2an takde papa

BLOGGERS JIM PENANG said...

muga allah rahmati kehidupan anda hendaknya..

We Haus Enterprises said...

Ameen, dengan berkat doa dari kalian.