Tuesday, October 6, 2009

Beban Rindu


Siapa kata hati tidak rindu. Jika dari kecil sebesar tapak kaki dua jari maereka bersama kita tiba-tiba hari ini mereka akan pergi jauh dari kita. Rindu sudah pasti bersarang lama di dalam hati. Hati ibu amat lembut, amat basah dengan  kasih sayang yang melimpah ruah. Adakala kasih ibu ini dipandang remeh. Dianggap terlalu memanja anak, terlalu ingin melindungi dan kalau  anak rapat dengan ibu dikata pula sampai bila mahu duduk di bawah  ketiak ibu.  Ibu yang pengasih lagi penyayang sudah pasti mempunyai tempat paling istimewa dalam hati setiap anak. Ini bukan bererti ayah dipinggirkan dan tidak perlu dilayan seperti melayani ibu. Hati ibu sangat sensitif, hati ibu sangat perasa., hati ibu sangat peka. Jika anak yang dimarah sudah pasti ibu turut terasa. Cubit paha kiri paha kanan pun turut merasa sakitnya. Jika anak dalam kesulitan ibu bagaikan tahu apa yang berlaku pada anaknya. Telepathy atau talian  hayat yang menyambung semasa di alam rahim akan terus menegang hingga hayat ibu diambil Allah.

Saya mengerti perasaan ibu yang terpaksa berpisah jauh dengan anak. Sekali sekali timbul juga ingatan jahat di dalam fikiran, "kalau aku tak suruh mereka pulun belajar tentu mereka tidak perlu jauh-jauh mencari ilmu" Tapi bolehkah kita menghalang  mereka  jika mereka memilih untuk pergi  ?.  Kita ingin mereka pergi jauh untuk menimba pengalaman hidup dan di masa yang sama kita ingin mereka selalu dekat dengan kita. Mustahil mereka ada di dua tempat pada masa yang sama. Maka kita dan mereka kena banyak belajar berkorban rasa.

Satu kaedah yang saya lakukan ketika anak-anak mula-mula pergi jauh ialah menyibukkan diri dengan berbagai urusan dan tidak membenarkan hati memikirkan bagaimana keadaan mereka. Tidak menelifon sehingga mereka menelefon kita. Bukan tidak ingat, tangan bagai digaru-garu ingin menekan nombor mereka tetapi belajar bersabar dan biar mereka meneroka hidup baru tanpa kita.

 Ketika di awal perpisahan adalah masa yang sangat kritikal, mana hendak menyesuai diri dengan suasana baru , mana nak menahan rindu pada keluarga lagi. Cuma bila agak sebulan barulah saya membawa hati perlahan-lahan mengenang mereka. Mungkin nampak saya kejam tetapi inilah cara saya mengubat hati saya dan mereda  beban rindu di hati anak-anak. Lain orang lain caranya tapi kalau ingin mencuba kaedah saya apa salahnya. Ia mungkin membantu mereka yang akan beramai-ramai ke KLIA  melihat anak-anak  berangkat ke bumi asing demi mengejar sebuah cita-cita dan harapan.

No comments: