Sudah agak lama kami tidak berpeluang berbual dari hati ke hati dengan anak-anak. Kesempatan bermalam di Hotel Uitm, Shah Alam memberi kami berdua banyak peluang untuk berkongsi rasa dan harapan dengan kak lang. Pagi yang nyaman dan suasana yang hening sepi menjadikan suasana cukup syahdu buat kami. Bila suami memulakan bicara kami berdua tekun mendengar. Kak lang tunduk menyuap sambil mengukir senyum sesekali. Sisa bahagia Konvokesyen 71, di Sidang 20 masih bersisa di wajahnya. Suami terus berkata -kata menyampai hasrat hati dan saya akan mencelah menguatkan hujjah.
Saya yang lembut hati ini pasti tidak dapat menahan sayu hati bila perbincangan kami menjurus masa depannya. Tiba-tiba saya teringatkan peristiwa seerah di haji Wida'. Bila Ar Rasul menyampai amanat terakhir , Abu Bakr sahabat setianya menangis. Bila ditanya kenapa dia menangis, dia menjawab masa untuk Nabi sudah semakin singkat di muka bumi ini.
Itulah yang saya rasakan pagi itu, keinginan hati melihat semua anak perempuan mendakap kemas ijazah masing-masing sudah terpenuh. Harapan hati untuk diri sendiri sudah dapat disalurkan melalui anak-anak. Syukur alhamdulillah....saya sangat bersyukur Ya Allah!
Apa yang terbayang diminda ialah bila tanggungjawab sudah sempurna bermakna sudah tiba dan ketikanya kami melepas kak lang melalui fasa hidup yang seterusnya.Saya mengimbau kembali zaman awal kak lang di sekolah menengah.Sabagai putri bongsu dia memang sangat rapat dengan saya, banyak bergantung kepada kami berdua untuk membuat keputusan untuknya. Namun dalam serba kegoyahan dan tidak kepastian dia terus melangkah setapak demi setapak. Kami yang tahu putri ini amat perlukan sokongan tidak membiar dia sendirian. Dari pemilihan kursus dan universiti kami berbincang bersama. Sokongan kewangan, moral dan tunjukcara dari abunya memberi kekuatan semangat untuk dia bergerak dari fasa ke fasa. Meskipun tidak menjadi graduan First Class atau penerima ANC tetapi kami sungguh berbangga dengan pencapaiannya.Terima kasih Tuhan kerana memberi saya peluang melihat kejayaan anak-anak. Ramai yang saya kenali sudah lama pergi menemui Ilahi meskipun anak-anak masih kecil .Sebagai ibu bapa kami bersyukur diberi penghormatan membuat keputusan untuk dirinya.Sudah pasti kami akan membuat keputusan yang terbaik untuknya.
Saya sudah tidak memperdulikan tamu hotel yang menikmati sarapan di belakang kami. Airmata merembas tanpa henti. Suami melawak" Tu la..banyak sangat baca novel".Agaknya kerana saya kuat menangis ketika mengandung kak lang dulu sampai sifat itu pula yang 'turun' kepadanya. Cakap sikit mesti nangis. Dia menangis dan saya menangis cuma abunya terus tenang menyampaikan amanat dan harapan.
Tisu yang patut mengelap mulut sudah menjadi tisu pengelap mata. Bila suami bangun dan bertemu rakan lamanya dari Uitm, Arau saya tidak bersamanya. Sisa airmata di tubir mata membuatkan saya tidak selesa menganggu kebahagiaan keluarga itu. Seharian dan semalamam di Kampus Shah Alam sangat berbekas di hati saya. Selepas ini saya tidak pasti adakah anak-anak yang lain pula yang akan menjadi siswa di sini. Hanya Alalh jua yang mengetahuinya.
2 comments:
berdrama di pagi hari..aduhai..si ratu airmata ni mmg cpat tersentuh dgn kata2 especially ayat tu kuar dr mulut abu dan umi..tp org kata org kuat nangis ni murah rezeki..betul k??amin..
jgn lupa mai graduation abg 2 thun lg pulak hehe
Post a Comment