Tuesday, October 6, 2009

Iman



Manusia memang sifatnya suka berkeluh-kesah. Arwah wan dan mak mengajar jika hati tak tenang, ambil air sembahyang , sembahyanglah dua rakaat,,,minta Allah tunjukkan jalan keluar dalam apa pun masalah." Kita sering tidak dapat tidur malam bila  dibelenggu masalah, dari terkebil-kebil di katil, bangun dan solat malam adalah lebih baik.

Saya sering mendengar hadis ini bila anak Adam tidur ada  syaitan yang akan mengikat kita dengan 3 simpulan. Bila dia terjaga dan terus ingat pada Allah maka terbuka satu simpulan, bila dia bangun mengambil wudu' terbuka lagi satu simpulan dan bila solat dua rakat mak terbuka lagi satu simpulan. Saya merasa sungguh hairan mereka yang bangun lewat hingga terlepas solat subuh. Siapa kata  agama mengongkong hidup kita? Memang kita tak bebas melaku larangan agama tetapi apa yang dilarang sudah jelas keburukannya. Dunia adalah penjara orang beriman. Apalah ertinya hidup di dunia sekitar 70 ke 80 tahun berbanding hidup akhirat yang tiada penghujungnya. 1 hari di akhirat = 500  tahun di dunia.

Saya juga kasihan anak-anak muda ketika ini yang tidak mengambil berat faktor agama ketika memilih pasangan hidup. Pangkat, darjat dan harta memang  sentiasa dipandang orang tetapi cukupkah itu untuk menjamin kebahagiaan hidup? Semua ini sekadar mengisi keperluan fizikal tetapi rohani atau jiwa yang kosong akan menjadikan hidup manusia tidak tenteram dan sentiasa ada yang tidak kena.Jika ada harta, ada pangkat, ada darjat dan ada agama sudah pasti ini satu bonus besar  anugerah dari Tuhan Yang Maha Esa. Marilah berdoa dikurniakan anugerah besar itu. Iman juga tak boleh diwarisi. Jika ibubapa oarng masjid belum pasti anak-anak juga kaki  sembahyang. Ia perlu dipupuk, dididik dan berdoalah dengan yang masyhur ini
" Ya Allah jadikanlah zuriat keturunan kami orang yang mendirikan solat". Bukan mustahil kita bertemu ramai orang Islam yang tidak solat. Mereka mampu berpuasa tetapi merasa berat untuk bersolat sedangkan solatlah amalan pertama  yang akan diperiksa Allah di hari amalan kita dihitung.

 Cinta yang tidak menjadikan Allah sebagai sandaran tidak akan sempurna. Jika iman yang menaungi rumah tangga insyaallah segala yang susah pasti menjadi mudah, inilah untungnya orang beriman. Ketika diberi nikmat mereka bersyukur dan ketika ditimpa ujian mereka bersabar. Kedua-dua sifat ini akan diganjari pahala oleh Allah. Marilah kembali mencari Tuhan. Dia ada di mana-mana dan Dia sentiasa menanti kita kembali mencari kasihNya. Bagi yang sedang mencari pasangan  carilah pasangan  yang akan membawa cinta kita hingga ke syurga Allah, bukan sekadar syurga dunia.

No comments: