Friday, February 26, 2010

Mari Menghayati


Maher Zain Thank You Allah Lyrics
I was so far from you
Yet to me you were always so close
I wandered lost in the dark
I closed my eyes toward the signs
You put in my way
I walked everyday
Further and further away from you
Ooooo Allah, you brought me home
I thank You with every breath I take.
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.
I never thought about
All the things you have given to me
I never thanked you once
I was too proud to see the truth
And prostrate to you
Until I took the first step
And that’s when you opened the doors for me
Now Allah, I realized what I was missing
By being far from you.
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.
Allah, I wanna thank You
I wanna thank you for all the things that you’ve done
You’ve done for me through all my years I’ve been lost
You guided me from all the ways that were wrong
And did you give me hope
O Allah, I wanna thank you
I wanna thank You for all the things that you’ve done
You’ve done for me through all my years I’ve been lost
You guided me from all the ways that were wrong
I wanna thank You for bringing me home
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah
Alhamdulillah, Elhamdulillah
All praises to Allah, All praises to Allah.
Artist: Maher Zain
Album: Thank You Allah
Copyright: Awakening Records 2009

Thank You , Allah



Thursday, February 25, 2010

Maulud Datang Lagi


Esuk kita semua akan bercuti. Maulidur Rasul datang lagi. Sudah pasti setiap organisasi dan agensi telah mengatur berbagai acara bagi menyambut hari kelahiran Rasul Junjungan. Ketika mengemas mencari barang untuk persiapan sukan esuk saya bertemu kaset lama nyanyian Kumpulan Rabbani. Memang kena sangat dengan mood sekarang. Suara Allahyarham Asri Rabbani bagai mendayu-dayu memuji keagungan Nabi SAW. Walaupun riuh dengan  suara anak-anak berlatih sukan saya bagaikan tenggelam dalam dunia saya sendiri. Saya teringat kata seorang kawan "Pernahkah kita merasa  rindu untuk bertemu Rasulullah SAW?" "Jika tidak pernah sudah pasti hati kita masih jauh dari cinta kepadanya". Saya menghisab diri, merenung kata-kata kawan tadi. 
Kita sambut tahun demi tahun tetapi yang sedih dan malunya bila saya melihat temuramah spontan di kaca TV. "Adik tahu ni sambutan apa? "tanya si pemberita. " Dia orang kata maulud nabi" "Tahu bila nabi lahir? tanya si penanya lagi. "Bukan  1Muharam ke?" jawab anak muda tadi. Keliru atau tidak tahu. Jadi perarakan tadi sekadar menyempurnakan acara tradisi setiap tahun. Hari ini kita bukan lagi bercakap tentang menuruti sunnah dan akhlaq Nabi SAW. Sekadar mengetahui profil Nabi SAW pun belum tentu anak-anak kita tahu. Saya tersenyum bila guru tadika saya menyoal anak-anak tadika. "Siapa nama ibu nabi? Ok...cikgu bagitau sedikit. Siti.....Siti.... Siti apa?" Riuh anak-anak menjawab "Siti Norhaliza, cikgu" "Isy...itu bukan ibu nabi , itu isteri datuk K " seorang guru lagi menyampuk'. Saya hanya menggeleng kepala dan memikirkan apa lagi yang patut dilakukan bagi menanam rasa cinta kepada Nabi SAW . Jika melentur buluh sudah pasti dari rebungnya.

Wednesday, February 24, 2010

Mencari Jalan Pulang

Semalam  tiba-tiba fon saya berdering mempamirkan nombor yang tidak dikenali. Saya segera menjawab mungkin panggilan dari waris anak-anak didik saya di tadika atau mungkin juga penjual kad diskaun dan kad kredit. Tanpa berprasangka saya menjawab sambil berhati-hati bercakap. Bila si pemanggil memperkenalkan diri , saya terkedu. Jantung saya bagaikan disentap....seorang  lagi remaja sedang mencari jalan pulang. Berseronok berdua sehingga lupa dunia dan kini si dara sudah ditinggal pergi sang kumbang yang telah menyedut madunya. Terkapai-kapai bagai ikan di daratan. Naluri keibuan menjadikan saya sebak tiba-tiba..saya bagaikan merasa bibir mata sudah hangat dan mulut sudah tidak mampu berlawan cakap. Saya juga punya anak remaja yang  seusia. Sedangkan panggilan itu datang jauh dari Pantai Timur. Kredit sedang berjalan dan tiba-tiba saya kembali ke alam nyata dan segera meminta diberi sedikit masa untuk mencari maklumat untuk membantu.



Kenapa suka sangat sudah terantuk baru nak terngadah? Pergaulan bebas sudah pasti menjadi sebab utama kenapa hal ini terjadi. Dari mata turun ke hati, tak kenal maka tak cinta. Pertemuan tanpa dirancang akhirnya menjadi pertemuan yang terancang. Bila hati sudah suka sudah pasti tiada apa yang dapat menghalang. Buang emak buang saudara kerana kasih aku turutkan...ah! kerana itukah  pantun itu dicipta. Kita masing-masing punya anak , sudah pasti kita ingin melindungi anak-anak kita dari segala gejala yang menjebak mereka. Namun sampai bila kita perlu memayungi hidup mereka, tiba masanya bila sayap sudah teguh mereka pasti akan terbang jua.Hanya yang mengiringi dan melindungi adalah iman dan keyakinan pada pahala dan dosa. Yang pasti pedih dan tak mampu ditanggung walau sezarah sel tubuh.

Berdua berpacaran bagaikan dunia ini kita yang punya. Apa peduli pada mata yang memandang atau mulut yang mencemuh. Sedetik berpisah bagaikan setahun rasanya dan berjam-jam bersama terasa begitu pantas masa berlalu. Jika mampu bagaikan ingin dimatikan sahaja jarum jam. Ayuhai anak ! Kembalilah kepada kata hati: Jika ingin melakukan dosa hati kita tidak akan teragak-agak tetapi kesan dan rasa bersalahnya sangat lama tetapi jika ingin melakukan kebaikan hati kita selalu berbolak-balik tetapi bila sudah dilaksanakan rasa puas dan tenteram itu akan kekal hingga ke akhirat. Cukuplah airmata ibu ayah gugur kerana menahan malu, keciwa, marah  dan segeralah menggugurkan airmatamu untuk memohon keampunan dari Allah yang maha pedih siksaannya. Muga Allah memberi peluang kedua untukmu di rumah perlindungan itu. Sudah pasti di situ bukan tempat untukmu menyorok arang yang terconteng di wajah tetapi di situlah nanti kamu akan belajar mencari diri dan mencari jalan pulang. Bersegeralah mencari redha Allah di atas kesilapan yang akan terus menghantui sepanjang hidupmu. Masa terus berdetik dan Allah terus menanti untuk mengampunimu jika kamu benar-benar menyesal.Cukuplah hanya sekali.

La Tahzan: Usah Bersedih


Semalam suami saya pulang dan mengadu demam. Saya sudah berjanji untuk ke satu program di sempadan negeri selepas solat maghrib. Sebagai rakan kongsi selama hampir 30 sudah pasti saya peka dengan seleranya bila mengalami ulser mulut. Bihun sup panas yang hanya sedikit ditambah kuah cili bagi menambah perisa mampu menjernihkan wajah yang suram. Selepas meletak air suam dan ubat demam di meja sisi saya melangkah pergi sambil memohon  restu dan izinnya.






Oh! Minggu ini ramainya ahli keluarga saya yang ditimpa sakit. Bermula dengan  bang  cik yang mengadu  kulitnya elergik  dan kemudian keracunan makanan pula. Bila sudah mampir ke penghujung semester sudah pasti kami suami isteri sangat risaukan kelasnya yang tertinggal dan masa untuk mengulangkaji. Dari jauh apa yang mampu dilakukan selain mengirim ubat  dan berdoa agar Allah segera menyembuhkan agar dia dapat  kembali menumpukan perhatian kepada peperiksaan akhir yang akan tiba awal Mei nanti. Setiap hari ada sahaja surat tawaran dari universiti-universiti yang dipohonnya yang tiba di rumah.. Sudah pasti tawaran bersyarat ini akan melonjakkan lagi iltizamnya  untuk membuat sehabis baik bagi mengapai impiannya. Peluang sering tidak datang dua kali, sekali terlepas belum tahu bila pula ia akan datang mencari kita dan paling  ingin dihindari jika terpaksa menukar pilihan dan membuat keputusan baru.

Dalam perjalanan pulang  malam tadi saya sempat  berSMS dengan kak lang. Dia membalas  "Umi, balik nanti jgn lupa jumpa lang dulu. Aris talipon tadi" Hai...hati saya diserang bimbang. Mesti  ada sesuatu yang besar dan penting jika tak tentu dia tidak berpesan begitu. Tiba di rumah sudah hampir jam 1.00 pagi, saya segera mengetuk pintu bilik  dan bertanyakan pesanan Harith. Aduh! seorang lagi ditimpa sakit. Kakinya pula terseliuh ke terkehel akibat sukan. Mungkin esuk saya perlu membawanya untuk di x-ray dan mencari bomoh untuk mengurut kakinya pula.Harith...tahun ini tahun PMR...risau lagi  hati umi.

Semasa di Sg Petani saya terserempak dengan sahabat saya yang mengajar di sekolah bang cu. Katanya " Zaid sakit gigi?" Hah? Saya terperanjat kerana dia tidak melaporkan apa-apa.  Gurunya menambah  "Zaid rajin betul tak sihat" Saya ingin menjawab "Mungkin sekolah kena fikir supaya tender dewan makan kena tukar, kot" Tapi...program dah nak bermula jadi terpaksalah dipendamkan saja hasrat itu dan sahabat tadi sudah beralih ke kerusinya. Minggu lepas ketika bang cu pulang bercuti saya sudah menulis  satu usul untuk mesyuarat PIBG sekolahnya. Muga pihak sekolah dapat memberi pertimbangan yang wajar. Yuran makan sudah dinaikkan sepatutnya pelajar mendapat layanan yang sepatutnya  seiring dengan kenaikan kadar makan.. Kasihan ! Mereka bukannya ada pilihan lain. You take it or leave it . Itu saja  yang ada.Tambahan pulak tahun ini bang cu sudah di tahun SPM. Bertambahkah  lagi risau saya? Apa patut saya lakukan? 


sabar

Monday, February 22, 2010

Bendang Di Hujung Airport








Wah! seronoknya mereka bergembira di bendang yang baru dituai. Cuaca panas membara tidak begitu terasa kerana dipuput bayu senja.
Itu kisah tahun lalu. Wajah-wajah di dalam gambar di atas sudah bertebaran di merata tempat di bumi Allah ini. Bendang sudah kering, padi sudah dituai yang tinggal kini hanyalah tunggul jerami untuk dibakar bila masa sesuai. Jika dulu abahlah yang bertugas mengurus bendang di tepi jalan itu, kini tugas itu sudah beralih ke bahu  mak .Dari proses mengupah orang mengerjakannya sehinggalah padi selamat dimuat ke dalam lori. Bila hasil padi sudah diperolehi tibalah pula masa untuk menunaikan zakat. Mujurlah abah ada membuat catatan dalam diari hitamnya, dapatlah disampaikan zakat kepada orang-orang yang selalu menerima zakat darinya. Namun nasib tanah bendang itu masih belum tentu, hambatan kemajuan dan permintaan pemaju menjadikan tanah bendang itu hanya menunggu hari untuk beralih tuan. Hanya tunggu dan lihat sahajalah.

Friday, February 19, 2010

Majulah Sukan Untuk Negara

Bila awal tahun sudah pasti sana-sini sibuk dengan acara sukan tahunan. Sekolah anak saya juga tidak terkecuali. Bila dia pulang dari asrama terkejut saya melihat mukanya  kelam dibakar mentari. Meskipun ada ruling supaya acara sukan diadakan pada bulan Jun tetapi tentu tiap sekolah sudah ada perkiraan masing-masing untuk meneruskan juga acara yang telah dirancang. Walaupun panas menyengat tetapi semangat anak-anak lebih membara lagi. Ingin rumah masing-masing menggondol tempat terbaik. Dan ingin menang semua acara yang disertai.


Saya dan guru-guru di tadika juga tidak terkecuali. Setiap pagi murid-murid dilatih di laman tadika untuk sukan tahunan yang akan diadakan sempena cuti Maulidul Rasul nanti. Sambil menyiap pundi kacang saya bersungut kepada cikgu-cikgu. "Pertandingan junjung pundi kacang ni macam dah jadi tradisi, dari zaman kak sekolah rendah sampai dah bercucu masih belum pupus acara ni, minat sungguh orang dengan acara ni. Atau cikgu yang tak dak idea lain?"

Setiap kali musim sukan, saya sangat suka pergi mencari hadiah dan membungkus hadiah. Anak-anak tadika pula akan mengintai-ngintai apakah hadiah yang disiapkan untuk mereka. Masing-masing bagaikan tidak sabar ingin mengutip hadiah yang mereka inginkan.

Insyaallah, cuma 4 hari lagi sukan akan diadakan. Masing-masing sudah tidak sabar ingin mencuba baju sukan yang telah diberikan kepada mereka semalam. Dan setiap tahun kami akan mencari dewan yang agak selesa di sekitar Kepala Batas ini . Selain dari menghindari panas terik kami juga tidak perlu risau jika hujan turun tiba-tiba. Yang pasti setiap tahun bukan murid sahaja yang tak nyenyak tidur kerana menanti hari sukan tetapi guru juga tidak terkecuali. Tugasan sudah diagihkan yang belum pasti ialah anak-anak tadika itu sendiri. Kadang bagai  nak rak mereka berlatih , tapi bila tiba hari sukan tak mahu pulak berenggang dengan ibu ayah mereka. Kenalah disediakan Plan B untuk situasi begini. Walaupun penat tetapi keseronokan melihat  wajah gembira ketika mereka menerima hadiah melenyapkan segala lelah berhari-hari.Begitulah sifat guru sejati.!

Thursday, February 18, 2010

Duit ke Pitih?

Tricycle Vs Motorcycle?

Panas Yang Menyengat

Sehari dua ni cuaca sangat panas. Orang yang diberi Allah rezeki yang lebih tentu mampu pasangkan air con  tetapi bagi yang kurang mampu terpaksa bersabar dengan ujian Allah ini Kalau diberi pilihan saya sangat ingin tinggal di rumah kayu beratap rembia yang dapat memberi laluan udara segar keluar  masuk dan menyejukkan isi rumah. Namun apakan daya rumah sebegitu hanya menjadi hiasan di resort dan hotel. Mungkin kerana kos binaannya yang tinggi maka ramai orang beralih kepada bata dan simen untuk menyiapkan rumah idaman mereka.



Bayangkan yang dingin...hm..teringatlah pulak iklan Hazeline Snow zaman TV Hitam putih dulu. Betullah juga kata orang fatamorgana, bila kita di padang pasir dan nampak macam ada air.Agaknya itulah juga bayangan dan idaman orang yang sedang kehausan dan kepanasan. Nak yang sejuk-sejuk dan yang dingin-dingin sahaja. Di mata dan juga di hati.

Saya yang sukakan ruang rumah yang nyaman ketika siang mahupun malam segera memberi cadangan kepada  menantu saya supaya dapat berbincang dengan pemaju untuk meminda sedikit ruang tingkap  bakal rumah baru mereka. Kalaupun mampu memasang air cond atau kipas jangan terlalu yakin yang bekalan elektrik akan ada sepanjang 24 jam untuk 365 hari. Jika bekalan letrik terputus dalam cuaca panas sehebat sekarang saya tidak dapat bayangkan bagaimana cucu saya  merengik sambil mengadu gatal badannya. Yang pasti saya tidak ingin  merasa bagaikan duduk di dalam ketuhar.


Ketika melawat rumah kediaman Ngah Ibrahim di Matang tidak lama dulu, saya meneliti cara orang dahulu membina rumah. Ruang pengudaraannya menjadikan rumah itu sangat selesa diduduki waktu siang mahupun malam. Siling yang tinggi dan banyak ruang udara bersih berputar menjadikan rumah itu sangat nyaman. Ketika kami di situ matahari sedang tegak di atas kepala tetapi kami tetap selesa. Ada kalanya kita tidak patut  meninggalkan semua yang lama-lama. Walaupun tidak belajar ilmu senibina tetapi saya percaya tukang rumah zaman dahulu sudah mengambil kira faktor-faktor tertentu sebelum memulakan sesuatu binaan.

Bila berjalan ke Penaga atau Kuala Muda saya suka melihat rumah-rumah kayu yang masih dijaga dengan baik. Saya teringatkan ketika kecil bila bermalam di rumah nek di Kg Suka Menanti .Bila tidur dan terjaga di tengah malam saya terpaksa masuk ke bawah tilam kerana cuaca  terlalu sejuk. Hari ini anak-anak saya tidak suka langsung berselimut kerana panas dan tidak selesa. Kipas mesti berjalan 24 jam jika mereka ada di rumah. Yang  pasti bil letrik  akan mendadak naik setiap kali musim cuti. Kita sudah kehilangan satu lagi nikmat yang Allah kurniakan. Penipisan ozone dan pemanasan global sudah sering sangat dibincang semenjak duamenjak ni.. bagi orang yang beriman sudah pasti ini dikaitkan sebagi ujian dari Allah. Allah mengamanahkan bumi ini untuk ditadbirkan dan manusia juga yang merosakkannya.

Tuesday, February 16, 2010

Kembara Rindu

Ketika kaum Cina berduyun balik ke kampong dabn bandar untuk  menyambut CNY sudah pasti yang tidak merayakannya turut mengatur plan dan agenda . Kami sekeluarga tidak ketinggalan. Saya , suami dan bang cu ke Pasir Tumbuh melawat Zaffran dan ibu abahnya, kak lang dan bang cik ke JB melawat kak ngah dan Harith pula ke Pahang untuk program sekolahnya.'Ammar pula dah hampir 2 minggu berada di China.

Tidak  mahu menunggu sampai hari Sabtu konon-konon takut jalan sibuk kami bertolak pada pukul 4 petang Jumaat. Bila sudah di jalan baru tahu rupanya jalan tetap sibuk mungkin kerana Kedah sudah mula bercuti. Seperti biasa tiap kali cuti panjang ramai orang yang gemar ke Kelantan. Kami yang sering kali terperangkap dalam traffik jam tidak membuat rancangan ke mana-mana. Sekadar ke Kota Bharu dan singgah sebentar mencari barang  di Rantau Panjang.

Selebihnya dihabiskan  di rumah melayan dan melihat kerenah Zaffran yang tidak sihat. Mujurlah motor lama abahnya masih berfungsi bolehlah wannya membawa pusing sementara saya dan ibunya sibuk di dapur.
Bukan mudah membesarkan seorang anak, masa kecik cara kecik bila dah besar lain pula cara menangganinya.

Sambil melayan cucu wannya pulak sibuk berchatting  melayan 'Amar . Yang paling seronok bila dapat jemputan makan pagi di rumah kawan ibu Zaffran. Saya yang memang suka nasi kerabu memang teruja bila dihidangkan makanan tradisi itu, yang lain-lain tu dalam sey...tak sey habis jugak dua pinggan. Seronoknya menerima layanan mesra orang Kelantan di Jelawat. Baru kenal tapi macam dah kenal lama...jangan  lupa datang Penang kita nak jamu nasi kandar pulak pelawa saya sungguh-sungguh sebelum menaiki kereta untuk bertolak balik. Zaffran sudah mula tunjuk peel..memang kena cepat balik . Lagipun tenggiri segar dari Tok Bali dalam bonet tentu tak boleh dibiar lama . Di mata sudah terbayang sup fish ball untuk makan tengahari nanti. .

Wednesday, February 10, 2010

Harapan


Sudah masuk bulan dua, bermakna ada dua bulan setengah untuk bang cik menempoh peperiksaan yang akan menentukan masa depannya. Kalau dapat memang ingin lebih kerap mengunjunginya, namun apa kan daya hanya dikirim doa di angin lalu. Bila sudah sampai di peringkat ini sudah pasti inilah era pecutan terakhir. Cikgu-cikgu yang sangat banyak membantu sudah pasti tidak lena tidur seperti juga para pelajarnya.  Tiap tahun sudah pasti masing-masing ingin melonjakkan lagi nama kolej bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global. Untuk mencapai yang tinggi sudah pasti mesti datang dari mereka yang bercitacita tinggi juga.

Sebagai ibu sudah pasti saya inginkan anak saya menumpukan perhatian kepada peperiksaan terakhir pada awal Mei nanti. Bukan mudah memusatkan penumpuan kecuali jika kita benar-benar nampak dan fokus arah tuju kita di masa depan. Memang mudah bercakap tetapi melaksanakan tidak semudah itu.

Ketepikan mana  yang tidak perlu dan fokus serta baiki segala kesilapan lalu.  Jangan nanti menyesal kerana terlepas peluang akibat satu -dua mata sahaja. Jika inginkan yang besar-besar sudah pasti kena diabaikan apa yang remeh-temeh dan yang boleh ditangguhkan. 


Friday, February 5, 2010

Cakap Malam Dengar-Dengar


Minggu ini minggu tidak sihat. Di tadika pun ramai murid tidak hadir kerana  demam dan selsema. Jika tidak ada program saya akan berada  di rumah sahaja setiap malam. Cuma mungkin kerana kurang sihat dan masa banyak dihabiskan di tempat tidur. Bukan nak tidur sangat tetapi mungkin kerana ubat selsema yang membuat saya rasa macam tak  nak buat apa kecuali tidur, maka terpaksalah tidur. Walaupun nyamok sangat menganggu dek penangan ubat memang mata asyik nak tutup sahaja.Buku entah kemana, selimut juga kemana.

Bila sudah tidak sihat sudah pasti deria yang lain menjadi sangat  sensitif, sampaikan budak-budak kolej yang menyewa di belakang rumah bising dan ketawa pun hati jadi terganggu.. Bila tengok jam hm.....rupa-rupanya sudah jam 11.00 malam dan  mereka masih bergurau senda dan ketawa riuh rendah.Tanpa menyedari waktu tidur jiran keliling tidak sama dengan  waktu tidur mereka.

 Kasihan Nani, jiran sebelah rumah saya . Dia sedang  sarat mengandung, ada anak kecil pula, suami pula ke China ,Setiap hari pukul 6.30 pagi sudah kena keluar rumah kerana mengajar di bahagian Pulau.tentu dia turut geram kerana tidak dapat tidur dan anaknya sudah pasti susah dipujuk bila sudah terbangun. Mahu tidak mahu ayahnya, Mr J  terpaksa menalipon polis meminta polis datang bagi amaran kepada anak-anak muda tersebut. Barulah aman sikit.

Saya terfikir adakah orang muda sentiasa berpegang dengan prinsip hidup muda hanya sekali. Jadi mereka merasakan dunia ini bagai mereka yang punya. Pedulikan apa kata jiran, apa kata orang lebih tua dari mereka asalkan mereka dapat melakukan apa yang mereka inginkan sudah cukup bagi mereka.

Saya cuba tidak bersikap prejudis dengan mereka. Saya juga pernah muda tetapi mungkin kerana masa muda saya tidak mempamerkan sikap begitu saya tidak dapat menerima nilai-nilai begitu. Manakah perginya perpatah lama masuk kandang kambing mengembik, cukupkah setakad difahami makna agar dapat  menambah markah Bahasa  Melayu sahaja?

Hidup muda memang sekali tetapi alangkah indahnya jika anak-anak muda ini belajar hidup bermasyarakat. Belajar menghormati jiran setempat. Bukan sahaja menambah nilai baik kepada diri sendiri tetapi membawa nama baik kolej dan ibubapa. Jika terus-terusan anak-anak muda ini bersikap begini saya tidak pasti masih adakah lagi tuan rumah yang ingin menyewa rumah kepada  mereka di masa hadapan. Sendiri dan ibu bapa juga yang susah.

Sebagai orang tua sudah pasti tugas kita menegur dan membimbing mereka. Kembali kepada cara yang Islam ajarkan tetapi mungkin memakan masa yang lama dan panjang kerana dalam diri mereka sendiri kesedaran itu masih belum ada. Manakan tidak ketika waktu solat Jumaat suara mereka masih riuh-rendah bergurau senda manakala di menara serak suara khatib membacakan kutbah dan memberi peringatan. Remaja hari ini adalah pemimpin di masa depan, bagaimanakah mereka akan mencorakkan negara jika mereka belum nampak arah mana mereka mahu mencorakkan diri mereka hari ini. Marilah tidak berputusasa kerana mereka masih muda-muda belaka.Kata orang tua-tua, ubun-ubun masih lembut dan fikiran masih belum cukup matang.Cabaran pula datang dari berbagai penjuru hanya iman dan akal yang sihat sahaja mampu menangkis serangan ini.

Wednesday, February 3, 2010

Menuju Ke Timur


Ketika berhenti solat di R&R Semanggol saya mengusulkan supaya kami mengikut jalan ke hulu negeri Perak untuk sampai  ke Lenggong. Pada mulanya suami ingin mengikut lebuhraya PLUS dan keluar di Kuala Kangsar tetapi setelah dicongak-congak  kami dapat menjimatkan hampir 30 KM, maka akhirnya kami pun keluar melalui Taiping Utara.Menyusur ke Kemunting, Batu Kurau, Kg Masjid dan akhirnya keluar di Kg Sumpitan, Lenggong. Cuma beberapa ratus meter dari Kg Gua Badak.

Perjalanan berdua memang seronok banyak yang dapat kami bualkan dan bincangkan. Dari hal di tempat kerja, masyarakat mahupun keluarga. Bertemankan Garmin yang sesekali sekala membuat onar kerana tiada satelite signal kami bertawakkal mencari jalan ke kampong besan.

Perjalanan ini sungguh mengembalikan nostalgia ketika anak-anak masih kecil dan ketika kami perlu berulang-alik dari Kuantan ke kampong bila cuti panjang dan hari raya. Setiap kali tiba di laluan Selama-Kubu Gajah anak-anak yang bising dan bergaduh di belakang kereta pasti akan senyap tiba-tiba. Manakan tidak abunya awal-awal lagi dah bagi amaran siapa yang bising abu akan tinggalkan kat sini dan kawan dengan monyet. Waktu tu kak lang pun masih kecil, dia yang rajin mencuit dan mengacau kakak-kakaknya akan monyok dan menyandar di belakang sambil memoncongkan mulutnya.. Ngah yang suka menyanyi akan terus menyanyi sambil mengikut alunan kaset manakala  mata melingas melihat monyet di kiri kanan jalan.

Suasana yang suram, sejuk dan kelam kerana dinaungi pokok-pokok besar sudah jauh berubah wajah. Pokok ketapang yang menaungi gerai laksa dan tapai di situ entah sudah berapa tahun rebah di mata gergaji. Sesekali kita melencung dari lebuhraya memang baik untuk merehatkan minda. Ada sesetengah tempat sudah jauh berubah tetapi masih ada sesetengah tempat yang masih nampak mundur macam dulu-dulu juga.

Perjalanan jauh tidak terasa kerana ketibaan kami disambut wajah Zaffran yang sentiasa riuh dan tak reti duduk diam. Mulutnya becok menyebut entah apa-apa. Yang pasti bila dia memanggil 'ibu' ayat itu keluar begitu jelas dan nyata. Sudah pasti saat inilah yang dinanti-nantikan oleh setiap ibu muda, meskipun itu bukanlah perkataan pertama yang zahir dari  mulutnya.

Sekali-sekala kita patut membawa anak-anak berjalan jauh ke hulu negeri. Melihat cara hidup dan susah payah orang-orang desa. Sesekali anak-anak dan kita juga perlu belajar  hidup sekejap tanpa segala macam kemudahan teknologi. Ramai yang mengeluh sukar menghubungi seseorang kerana kehilangan Hand phone, PDA dsbnya. Jika kita terlalu paperless dan kita tidak juga manfaatkan daya imengingat yang Allah bekalkan kepada kita sudah pasti kita juga yang susah bila segala nikmat dan kemudahan ini ditarik oleh Allah tiba-tiba.