Friday, February 19, 2010

Majulah Sukan Untuk Negara

Bila awal tahun sudah pasti sana-sini sibuk dengan acara sukan tahunan. Sekolah anak saya juga tidak terkecuali. Bila dia pulang dari asrama terkejut saya melihat mukanya  kelam dibakar mentari. Meskipun ada ruling supaya acara sukan diadakan pada bulan Jun tetapi tentu tiap sekolah sudah ada perkiraan masing-masing untuk meneruskan juga acara yang telah dirancang. Walaupun panas menyengat tetapi semangat anak-anak lebih membara lagi. Ingin rumah masing-masing menggondol tempat terbaik. Dan ingin menang semua acara yang disertai.


Saya dan guru-guru di tadika juga tidak terkecuali. Setiap pagi murid-murid dilatih di laman tadika untuk sukan tahunan yang akan diadakan sempena cuti Maulidul Rasul nanti. Sambil menyiap pundi kacang saya bersungut kepada cikgu-cikgu. "Pertandingan junjung pundi kacang ni macam dah jadi tradisi, dari zaman kak sekolah rendah sampai dah bercucu masih belum pupus acara ni, minat sungguh orang dengan acara ni. Atau cikgu yang tak dak idea lain?"

Setiap kali musim sukan, saya sangat suka pergi mencari hadiah dan membungkus hadiah. Anak-anak tadika pula akan mengintai-ngintai apakah hadiah yang disiapkan untuk mereka. Masing-masing bagaikan tidak sabar ingin mengutip hadiah yang mereka inginkan.

Insyaallah, cuma 4 hari lagi sukan akan diadakan. Masing-masing sudah tidak sabar ingin mencuba baju sukan yang telah diberikan kepada mereka semalam. Dan setiap tahun kami akan mencari dewan yang agak selesa di sekitar Kepala Batas ini . Selain dari menghindari panas terik kami juga tidak perlu risau jika hujan turun tiba-tiba. Yang pasti setiap tahun bukan murid sahaja yang tak nyenyak tidur kerana menanti hari sukan tetapi guru juga tidak terkecuali. Tugasan sudah diagihkan yang belum pasti ialah anak-anak tadika itu sendiri. Kadang bagai  nak rak mereka berlatih , tapi bila tiba hari sukan tak mahu pulak berenggang dengan ibu ayah mereka. Kenalah disediakan Plan B untuk situasi begini. Walaupun penat tetapi keseronokan melihat  wajah gembira ketika mereka menerima hadiah melenyapkan segala lelah berhari-hari.Begitulah sifat guru sejati.!

No comments: