Saturday, March 20, 2010

Perjalanan Yang Indah




Minggu makan-makan. Itulah yang dapat dikatakan bila ahli keluarga berkumpul. Hujung minggu lepas kami semua pulang ke rumah mak. Bila sudah berkumpul apalagi tugas utama orang dapur, sudah pasti memikir dan merancang menu. Maklumlah bila kami berkumpul macam kenduri kecillah juga jadinya. Anak-anak saudara pula sudah remaja belaka jadi bila makan sudah pasti mengalahkan emak-emak dan ayah-ayah yang sudah makan tidak serancak dulu. Lagipun bila mereka sudah bersila memang tak cukup ruang untuk kami tumpang sekaki. Jadi biasanya biar mereka makan dahulu dan kami akan beransur-ansur makan kemudian. Bila pulang ke rumah mak, kami memang tak kurang idea. Terasa nak makan kerabu mangga  ada pulak tenaga yang rajin mengait dan memarutnya .Maka saya tinggal mengarah itu dan ini. Akhirnya siaplah kerabu mangga untuk makan tengahari itu. Gulai rebung madu, ayam masak kicap, sayur campur dan panas-panaskan semula lauk kenduri yang diberi orang kepada emak.


Bila pulang ke Bertam, anak-anak sudah menuntut janji mahu ke Nasi Sila. Jadi sebaik solat maghrib kami sudah bergegas ke Lahar Kepar. Tiba di sana lima minit pukul 8 malam. Sudah ada 5 orang yang beratur. Periuk lauk pauk baru diatur di atas meja, jadi hampir 20 minit juga beratur sebelum saya dapat memilih menu. Di belakang saya barisan makin panjang, macam nak beli tiket bola Kedah lawan Kelantan. Harith tukang membawa hidangan  ke meja, kak lang menunggu meja supaya tidak diambil orang. Maklumlah ahli keluarga kami ramai. Sementara menanti suami saya tiba dengan anak-anak yang lain, kami meratah ayam goreng yang menimbun. Walaupun lauknya kena sangat dengan selera kami tetapi saya kurang selesa kerana kelkatu yang merayap di dalam baju. Sambil makan sambil membuang kelkatu. Apa-apa pun memang best dan memang berbaloi. Al maklumlah sekali sekala makan besar gitu. Yang lucunya bila anak saudara saya yang agak kuat makan pun menolak untuk menghabiskan saki baki lauk kerana kekenyangan. Ada komen dari jiran saya" Tak sunnah betul makan kat sini.  Kita sepatutnya berenti sebelum kenyang ni dah jadi macam pacat baru nak berenti" Sesekali puaskan hati anak-anak dan gembirakan hati kita melihat mereka makan di depan kita apa salahnya kan.Insyaallah, bulan 6 nanti kita datang lagi bersama ahli keluarga yang lain pula!


Pagi Jumaat kami sudah bersiap untuk mandi-manda di Anand Love Bara. Batu Feringgi. Balik tu cadang nak makan mee Sifu Omar. Sayangnya dah habis bila kami ke situ. Jadi selepas anak-anak solat Jumaat di Masjid Terapung kami ke Seberang Jaya sahaja untuk makan char koey tew Ki. Malangnya mungkin dia sudah bertukar tempat dan GPS pun asyik suruh pergi ke tempat  lama yang kini sudah berganti tuan. Akhirnya kami memutuskan makan di Sunway sahaja dan ngah yang belanja. Mula-mula ke Nando's kemudian ke Pizza Hut dan akhirnya ke Nando's semula kerana tempatnya lebih tenang berbanding kat Pizza Hut yang muziknya bagaikan blasting gitu. Saya segera menalipon suami yang masih di  Uitm.  Sementara menanti suami datang , anak-anak merayau ke Al Ikhsan dan Bread History. Saya pula menunggu meja dan segala electronic gadgets mereka.. Mujur tak ramai pelanggan di situ jika tidak tentu terganggu dengan telatah anak-anak saya. Bila ke mana-mana agenda utama mereka sudah pasti bergambar dan berposing. Sampaikan suami saya siap bising suruh segera makan sebelum makanan sejuk. Saya tersedak dua-tiga kali. Anak-anak mengusik "Ni mesti kakak sebut.." Rupanya mereka nakal mengirim MMS kepada orang yang jauh di mata tetapi dekat di hati itu. Sudah pasti dia segera membalas  "Eeei...jelesnyer....." Dan hari ini dua orang anak saya akan kembali ke sempadan negara. Seorang ke Johor dan sorang ke Bukit Kayu Hitam. Sudah pasti jauh di sudut hati masing-masing terasa malas dan berat untuk meninggalkan rumah. Begitulah kehidupan, ketika kecil ditimang ibu, bila besar ditimang ombak. Apa-apa pun kesempatan yang sekejap ini sangat membahagiakan hati kami berdua. Pelabuhan sepi yang sentiasa sabar menanti kapal dan kolek datang berlabuh.Terima kasih Allah dan terima kasih untuk anak-anak yang tahu erti kasih dan sayang.Ras bersyukur kerana nun di bumi Palastine catuan makanan sedang berlangsung. Marilah meringankan tangan menghulur sumbangan untuk mereka , saudara seagama yang sedang menderita.Bukan dari kalanganku orang yang tidur kekenyangan sedangkan jirannya kelaparan.Secebis hadis yang sentiasa mengingatkan kita.

1 comment:

Lady Qay said...

jeles jeles jeles...takpe..bln 6 kita buat smbutan bday zaffran 1 rejab naaa..14 jun je pun...hihihi..