Friday, October 30, 2009

Epilog Budi



Once a teacher, always a teacher. Inilah mutiara kata yang menjadi gurauan kami. Sudah pasti bila berkunjung ke mana-mana kami tidak menolak kemungkinan bertemu bekas pelajar suami.. Perjalanan hidup sebagai tenaga pengajar selama 25 tahun sudah pasti melahirkan berpuluh ribu graduan. Ada yang dikenali dan sudah pasti ramai yang tidak dikenali. Jika pelajar rajin bertamu ke bilik pensyarah besar kemungkinan besar mereka ini masih dikenali. Itulah yang terjadi sepanjang kami di Kampus induk Uitm.

Bila suami bertemu dan bertukar cerita dengan bekas pelajarnya saya akan membawa kaki menyelusuri  laman yang pernah  dipijak lumat hampir 30 tahun lalu. Kampus ini sudah jauh berubah. Rimbunan hijau sudah berganti hutan batu. Cuma yang masih kekal ialah laluannya yang berbukit-bukit itu. Terlayang diingatan betapa seronoknya zaman menjadi siswi dulu. Tidak banyak sangat tempat lepak kami ketika itu. Seroja, surau, kuliah dan library. Warga kampus pun tidak sesesak sekarang. Inilah harga pembangunan yang perlu dibayar. Siswa banyak yang tinggal di Sec 6 dan motor pula menjadi kenderaan utama mereka.

Bila di meja study pada waktu malam sudah pasti mata saya tidak akan melepas peluang melihat kapalterbang naik dan turun di Subang Airport ketika itu. Dibenak ketika itu hanya teringat "Bilalah aku dapat peluang naik kapalterbang?" Saya bercita-cita ingin segera menghabiskan Diploma dan pergi ke UK buat ACCA . Negara lain memang saya tak minat, mungkin kerana pengalaman menghantar bapa saudara ke England ketika kecil menjadikan saya macam tidak pernah tahu ada negara lain yang membuka peluang untuk kita menyambung pelajaran.Kalau ke US ketika itu ramai yang akan ke Ohia. Dan ITM ketika itu banyak membuat program bersama dengan University of Ohia.
Oh..itu cerita 30 tahun lalu. Semuanya sudah terlipat dalam buku Sejarah Hidup yang panjang dan terus akan dibawa hingga kembali bertemu Maha Pencipta




Masa untuk suami saya mencurah bakti di Uitm semakin singkat. Insyallah jika diizin Allah hanya tinggal lebihkurang 5 tahun lagi. Berbagai kisah suka duka yang saya kongsi bersamanya. Bermula dengan tugas di Polisas ,Kuantan pada tahun 1985. Meskipun bukan cita-cita asal menjadi pendidik tetapi dalam keterpaksaan suami saya terus gigih meneruskan tugas. Tak kenal maka tak cinta. Once a teacher always a teacher. Demi tuntutan tugas juga memerlukan kami kembali ke UK untuk menambah ilmu. Saya juga tidak percaya bagaimana kami boleh mengharungi hidup dengan 3 anak yang masih kecil, tiada elaun keluarga sekadar biasiswa persekutuan. Melahirkan anak ke 4 pula di sana. Kalau difikir kembali mungkin ketika itu kita masih muda. Semangat juang masih tinggi. Ke lurah sama di turuni, ke bukit sama didaki.Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Hari ini saya amat-amat bersyukur menumpang kejayaan suami. Saya tahu dia banyak berkorban untuk keluarganya.. Dia terpaksa menolak peluang ke Sarawak kerana ingin berbakti kepada ibubapanya. Dia juga menarik diri dari tempat lama semata-mata kerana tidak mahu dipindahkan keluar kerana kenaikan  pangkat. Dia juga menolak peluang menyambung Phd kerana  tidak mahu menganggu  proses pembelajaran anak-anak. Maka saya merasakan apa yang diperolehnya hari ini adalah sangat wajar. Pangkat itu hanya di dunia tetapi dengan  pangkat dan gelaran itu menjadikan tuturbicara kita 'masin'. Orang lebih memberi perhatian apa yang kita utarakan. Sudah pasti kecintaan kepada Islam menjadikan kita berusaha merebut peluang apa saja yang datang untuk mengetengahkan idea Islam. Agar kita mampu melahirkan ramai jurutera berjiwa Islam. Seterusnya melahirkan masyarakat yang ingin kembali menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Syukur Ya Tuhan & tahniah untuk empunya diri !

1 comment:

My Heart Draws A Dream said...

congrats utk abu..anugerah dr Ilahi..