Tuesday, August 11, 2009

Doa Inti Kehidupan



Setelah merancang beberapa lama akhirnya kami berpeluang bertamu ke rumah adik di BBB. Garmin yang bertugas menunjuk arah menjalankan tugas sungguh baik sekali. Sudah agak lama tidak bertemu adik. Saya menumpang bahagia melihat kegembiraan yang terukir di wajah mereka suami isteri. Status baru sebagai mertua dan warga Petronas sudah pasti meningkatkan lagi darjah kegembiraan itu. Bila melihat kebahagian ahli keluarga saya apa yang terlayang di fikiran saya ialah alangkah seronoknya jika arwah mak dan bapak masih ada. Sudah pasti mereka orang yang paling gembira di atas pencapaian anak-anak. Namun itu hanyalah ingatan sesaat. Saya percaya kita semua yakin bahawa kejayaan kita hari ini bukan sekadar hasil usaha kita semata tetapi adalah disebabkan doa dan munajat ibu bapa kita juga. Saya masih ingat ketika adik saya ini ditawarkan ke Canada berpuluh tahun yang lalu emaklah yang bersungguh-sungguh meminta dia menerima tawaran tersebut. Dia juga yang bersolat istikharah untuk mencari petunjuk Ilahi. Malah dia juga yang akan solat hajat bila kami akan menghadapi temuduga dsbnya. Oh..besar sungguh jasa emak. Dari kecil hingga dewasa sampailah ke usia senja begini kita sentiasa mengharapkan doa yang tak putus-putus dari ibubapa.


Redha ibubapa bererti redha Allah. Patutlah sesetengah orang merasa hidupnya sudah tidak okay sejak ibu bapanya meninggal dunia. Rupanya selama ini hidupnya okay-okay sahaja kerana doa yang tidak putus-putus dari kedua ibubapanya. Mampukah kita meluangkan sedetik masa kita yang sungguh sibuk itu setiap usai solat untuk berdoa sebaris dua untuk ibu bapa kita yang masih hidup apatah lagi yang sudah pergi?
Di ambang Ramadhan ini banyak pusat pengajian agama membuka peluang untuk membacakan al qur'an sebagai hadiah kepada arwah kerabat yang telah meninggal. Jika tidak mampu membaca sendiri dan menyedekahkan pahalanya bolehlah digunakan khidmat ini. Di zaman yang serba sibuk ini banyak perkara yang kita kena 'sub' kan. Anggaplah khidmat ini sebagai membantu kita dan cubalah sedaya mungkin cubalah mencari masa untuk menghadiahkan sendiri pahala untuk ibubapa kita. Tak inginkah kita memegang tittle anak yang soleh yang doanya akan membantu ibu bapa kita di alam sana?

No comments: