Wednesday, February 3, 2010

Menuju Ke Timur


Ketika berhenti solat di R&R Semanggol saya mengusulkan supaya kami mengikut jalan ke hulu negeri Perak untuk sampai  ke Lenggong. Pada mulanya suami ingin mengikut lebuhraya PLUS dan keluar di Kuala Kangsar tetapi setelah dicongak-congak  kami dapat menjimatkan hampir 30 KM, maka akhirnya kami pun keluar melalui Taiping Utara.Menyusur ke Kemunting, Batu Kurau, Kg Masjid dan akhirnya keluar di Kg Sumpitan, Lenggong. Cuma beberapa ratus meter dari Kg Gua Badak.

Perjalanan berdua memang seronok banyak yang dapat kami bualkan dan bincangkan. Dari hal di tempat kerja, masyarakat mahupun keluarga. Bertemankan Garmin yang sesekali sekala membuat onar kerana tiada satelite signal kami bertawakkal mencari jalan ke kampong besan.

Perjalanan ini sungguh mengembalikan nostalgia ketika anak-anak masih kecil dan ketika kami perlu berulang-alik dari Kuantan ke kampong bila cuti panjang dan hari raya. Setiap kali tiba di laluan Selama-Kubu Gajah anak-anak yang bising dan bergaduh di belakang kereta pasti akan senyap tiba-tiba. Manakan tidak abunya awal-awal lagi dah bagi amaran siapa yang bising abu akan tinggalkan kat sini dan kawan dengan monyet. Waktu tu kak lang pun masih kecil, dia yang rajin mencuit dan mengacau kakak-kakaknya akan monyok dan menyandar di belakang sambil memoncongkan mulutnya.. Ngah yang suka menyanyi akan terus menyanyi sambil mengikut alunan kaset manakala  mata melingas melihat monyet di kiri kanan jalan.

Suasana yang suram, sejuk dan kelam kerana dinaungi pokok-pokok besar sudah jauh berubah wajah. Pokok ketapang yang menaungi gerai laksa dan tapai di situ entah sudah berapa tahun rebah di mata gergaji. Sesekali kita melencung dari lebuhraya memang baik untuk merehatkan minda. Ada sesetengah tempat sudah jauh berubah tetapi masih ada sesetengah tempat yang masih nampak mundur macam dulu-dulu juga.

Perjalanan jauh tidak terasa kerana ketibaan kami disambut wajah Zaffran yang sentiasa riuh dan tak reti duduk diam. Mulutnya becok menyebut entah apa-apa. Yang pasti bila dia memanggil 'ibu' ayat itu keluar begitu jelas dan nyata. Sudah pasti saat inilah yang dinanti-nantikan oleh setiap ibu muda, meskipun itu bukanlah perkataan pertama yang zahir dari  mulutnya.

Sekali-sekala kita patut membawa anak-anak berjalan jauh ke hulu negeri. Melihat cara hidup dan susah payah orang-orang desa. Sesekali anak-anak dan kita juga perlu belajar  hidup sekejap tanpa segala macam kemudahan teknologi. Ramai yang mengeluh sukar menghubungi seseorang kerana kehilangan Hand phone, PDA dsbnya. Jika kita terlalu paperless dan kita tidak juga manfaatkan daya imengingat yang Allah bekalkan kepada kita sudah pasti kita juga yang susah bila segala nikmat dan kemudahan ini ditarik oleh Allah tiba-tiba.

1 comment:

syamil said...

jom2....p jalan2...trigt p LG titik...knurik abg zulfi... =)