Hari -hari yang berlalu ibarat daun-daun kehidupan yang gugur satu demi satu. Maka akhirnya pohon yang megah berdiri sujud rebah ke bumi menunggu perhitungan seterusnya.
Saturday, January 30, 2010
Dicelah Derai Airmata
Kelahiran dan kematian saling silih berganti. Berselang waktu dan hari pasti ada jasad yang menangis kerana dilahirkan di dunia dan ada pula jasad yang dibawa pergi malaikat kepada Penciptanya. Ahad lepas kami dikejutkan dengan kematian saudara ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Wajah -wajah anak-anak istimewa yang ditinggalkan sudah pasti mengundang rasa sayu dan sedih kepada para penziarah. Sudah pasti hari-hari mendatang akan penuh dengan cabaran yang akan tetap dipikul si balu kerana ini adalah amanah Allah dan amanah dari suami yang pergi. Berat bahu memandang sudah pasti berat lagi bahu yang akan memikul.Semuga Jamaliah sabar dengan ujian ini.
Dua hari lepas kami dikejutkan pula dengan kematian seorang sahabat lama , Dato' Amir Nordin. Wajah cerianya ketika menyambut menantu tahun lepas masih terbayang meskipun dia sedang menderita sakit. Meskipun tiada pertalian darah tetapi kerana sama-sama bergiat cergas dalam JIM kami menjadi rapat. Ikatan ukhuwwah islamiyyah sebenarnya meresap jauh ke dasar hati. Tugas yang membawanya dan keluarga bertugas di Alor Setar beberapa tahun lalu telah menemukan kami. Saya dan isterinya, Datin Masinah , yang suka dipanggil Kak Mas begitu rapat dan bila berpeluang ke KL sudah pasti rumah lamanya di Ampang menjadi tempat singgah saya. Kini yang pasti tinggal adalah kenangan dan kenangan. Dari jauh kami hanya mampu mengirim doa semuga Allah memberi rahmat dan kekuatan untuk kak Mas dan anak-anak yang ditinggalkan. Untuk roh , Akh Amir Nordin sudah pasti dikirim doa agar Allah memudahkan semua urusannya di alam sana.Semuaga segala kebaikan semasa hidup dapat membantunya semasa bertemu Allah.
Malam tadi saya menerima panggilan dari anak. Ibu saudara suaminya, Cik Yah yang baru sahaja dimasukkan ke hospital Bukit Mertajam kerana demam telah kembali kerahmatullah. Sudah pasti masih terbayang raut wajah, dan senyum tawa serta segala gurau sendanya semasa kenduri di rumah adiknya Julai lalu. Ketika ini anak saya dan keluarganya sudah bertolak dari Kota Bharu dan insyaallah saya juga akan menyusul ke Lenggung selepas suami selesai memberi ceramahnya di Uitm. Kematian yang mengejut sudah pasti meninggalkan kejutan juga buat sanak -saudara. Besan saya yang telah bertolak malam tadi dengan bas sudah pasti akan terkejut besar bila hajatnya ingin menziarahi kakak yang sakit terpaksa berdepan dengan ap jasad kakaknya yang sudah sejuk dan kaku.
Sudah pasti kematian adalah tazkirah yang sangat besar buat kita. Tetapi bila hati kita sudah tidak tersentuh dan menganggap itu adalah perkara biasa kita wajarlah memeriksa hati kita dan darjah iman kita. Kadang-kadang kerana banyak makan , kerana banyak dosa dan kerana banyak ketawa juga boleh membuat hati kita mati. Marilah meluang sedikit waktu untuk merenung ke dalam diri .Muga-muga subuh tadi bukankan subuh yang terakhir kita. Mereka sudah pergi dan kita hanya menghitung hari sahaja lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment