Thursday, January 7, 2010

Izin Dalam Restu


Buat masa ini tiada seorang pun anak lelaki saya yang tinggal di rumah.Semuanya jauh di mata kerana menimba ilmu. Dua anak perempuan pun jauh seorang di Pantai Timur dan seorang di Selatan . Yang ada di rumah buat masa ini hanyalah anak ke tiga. Sebagai seorang ibu saya sangat memahami perasaannya. Bila bercerita tentang kawan-kawannya yang sudah menjawat jawatan di merata sektor saya turut merasai kesayuaan nada suaranya. Namun sebagai ibu saya juga menjadi  tempat untuk dia merujuk dan meminta pandangan. Saya selalu berkata " Allah sudah menetapkan rezeki, jodoh dan maut untuk setiap hambaNya, Kita juga tidak akan mendapat semua yang kita ingini dalam satu masa. Jika ada pun itu adalah bonus dari Allah untuk hambaNya yang terpilih. jadi bersabarlah dan reda dengan apa yang telah dihamparkan kepada kita. Jika kita boleh membaca nasib kita di masa depan sudah pasti mudah untuk kita membuat keputusan, tetapi itu adalah mustahil. Jadi bertawakkallah dengan apa yang telah kita pilih pada hari ini. Mudah-mudahan Allah akan memudahkan hidup kita"

Esuk lusa dia akan berangkat semula ke Alor Setar untuk memulakan  program di bawah Koridor Utara. Pemilihan tempat juga setelah ditimbang dicongak segala kemungkinan. Sebagai ibu bapa sudah pasti kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua anak-anak. Jika boleh sudah pasti kita ingin selalu memayungi dan melindungi mereka, tetapi bak burung yang sudah kuat terbang betapa keras kita melarang sudah pasti burung itu tetap akan terbang jua.

Saya gembira dan saya sedih di masa yang sama.. Walaupun jarak tidak begitu jauh namun jauh di sudut hati saya tetap akan merindui dan merasa kehilangannya. Anak tetap anak walaupun sudah berpindah jauh dan bertukar status. Dan kami berdua tetap setia di pelabuhan ini menanti kapal dan kolek yang sudi mampir dan singgah mencari bekalan. Kesunyian yang bakal dihadapi memaksa saya kembali bekerja. Saya tahu kesibukan akan membuat saya letih dan dapat tidur nyenyak tanpa membiar rasa rindu itu berlama-lama di hati. Saya juga tidak ingin anak-anak merasa bersalah meninggalkan kami kerana itu adalah sunnatullah yang tidak dapat tidak mesti ditempuhi bila sampai masa dan ketikanya. Insyaallah sebagai seorang Islam kami sentiasa reda dengan apa pun jua ketentuan Allah. Sedikit demi sedikit kami belajar meleraikan beban tanggungjawab yang digalas selama ini kerana telah tiba saat dan ketikanya yang mengkehendakinya.

No comments: