Hari ini hari ulang tahun ngah. Kad sudah dibeli sejak saya mencari buku-buku sekolah adik-adiknya akhir tahun lalu. Mungkin kerana kesibukan yang tidak pernah putus membuatkan kad itu pun hilang dalam simpanan. Kalau ngah tahu mungkin kecil hati kerana kami bagai melupakannya nun jauh di selatan negara. Namun di awal pagi saya dan ahli keluarga yang lain sudah mengirim SMS yang isinya mungkin sama sahaja setiap tahun.
"Bertambah usia mestilah bertambah amal. Jika masih kurang bekalan bermulalah dari saat ini"
Sebagai ibubapa tanggungjawab kita untuk mengingatkan anak-anak tentang hak mereka kepada Allah tidak akan pernah selesai. Manusia dijadikan Allah sentiasa lalai dan lupa.Malah Allah mendidik manusia dengan berulangkali menyebut satu-satu perkara di dalam al Qur'an. Namun manusia tidak pernah ingat betapa banyaknya nikmat yang mereka kecapi tanpa perlu membayar apa-apa. Allah tidak akan berkurang sedikit pun kekuasaannya jika manusia tidak tunduk dan patuh kepadaNya. Dan tidak juga bertambah kekuasaannya jika kita tunduk menyembahNya. Yang rugi sudah pasti kita dan diri kita. Jika diberi sedikit waktu sudah pasti mereka yang sudah mati ingin kembali walaupun sebentar untuk mengganti masa yang mereka sia-siakan ketika hidup di dunia dulu.
Arus masa yang bergerak pantas menjadikan kita sering tersasar. Kita leka dengan kerjaya, dengan keluarga dengan hiburan dengan harta dsbnya. Sudah pasti semua ini tidak akan memberi makna apa-apa bila kita kembali bertemu Allah kelak jika ketika hidup semua tadi tidak disalurkan kepada mencari redha Allah. Kenapa mesti tunggu mati baru diwasiatkan harta kita diwakafkan ke jalan Allah? Kenapa mesti menunggu mati baru diharap anak-anak mengirim doa untuk kita sedangkan semasa di duni kita tidak mengajak mereka bersama menimba ilmu akhirat dan melakukan amal salih.
Tugas ibubapa tidak semudah bicara. Adakala kita perlu menangis di dinihari mengadu kepada Allah Azzawajalla tentang prilaku anak-anak. Ya! Anak-anak adalah ujian Allah. Baik dan buruk mereka terletak di tangan kita, kata orang bagaimana kuih begitulah acuannya. Tapi betulkah peribahasa itu? Adakala anak-anak adalah bayangan ibubapa dan adakalanya Alalh menguji kita dengan anak-anak. Tingkahlaku anak-anak tersasar jauh dari 'acuan'nya. Dalam situasi begini saya selalu berkata kepada kawan-rakan yang bertanya" Saya percaya Allah menguji kita dengan beban yang mampu kita tanggung. Kita baca saban waktu doa-doa ma'thurat tetapi bila diuji kenapa kita sering mempertikaikan ujian Allah itu"
Doa juga senjata mukmin. Berdoa dan bersolat hajat meminta dan terus meminta agar Allah mendengar dan menerima permohonan kita. Bila berhenti meminta bererti kita sudah berputus asa dengan Allah. Berputus asa bukanlah sifat orang beriman. Dia yang menjadikan kita sudah pasti Dia mengetahui apa yang tidak kita ketahui.
"Selamat Ulang Tahun, ngah. Muga sisa usia yang tinggal tidak dipersiakan. Bertambah usia sudah pasti bertambah tanggungjawab dan bertambah matang dalam berfikir dan bertindak"
No comments:
Post a Comment