Thursday, January 7, 2010

Renunglah Ke Dalam Diri


Tahun 2010 disambut dengan salji memutih di dada bumi . Anak saya pada mulanya begitu seronok bercerita . Dia pula makin kerap menalipon ke rumah. Agak free dan mungkin juga sunyi kerana ramai kawan-kawannya yang balik bercuti. Pada jangkaan awalnya dia ada juga bercadang untuk pulang tetapi kerana pertukaran university dan perpindahan rumah maka hasrat itu terpaksa ditunda. Saya masih ingat pertama kali berdiri diawal pagi membiar salji jatuh di atas muka. Seronoknya hanyalah Tuhan yang tahu. Betapa saya sangat bersyukur berpeluang merasai sendiri satu nikmat dan tanda kebesaran Allah. Dulu mana mampu untuk terbang ke sana sini bercuti seperti orang sekarang. Jika ingin melihat negeri orang sudah pasti kena mendapat keputusan cemerlang, ditawarkan biasiswa maka dapatlah ke luar negara. Beruntungnya anak-anak kita hari ini , hidup serba mewah dan mudah. Namun senang dan mewah itu belum pasti mampu menjadikan mereka  mampu menongkah arus zaman di masa depan. Saya baru berbual dengan seorang teman yang baru pulang dari Bandung. Katanya "Kita patut bawa anak-anak kita ke sana, melihat betapa susahnya hidup mereka sehinggakan mereka begitu kreatif berfikir untuk mencari beberapa helai rupiah untuk ditukarkan dengan nasi." Saya  tidak pasti mampukah anak-anak kita jika terpaksa hidup susah satu hari nanti. Kesusahan itu boleh terjadi bila -bila masa .Akibat bencana alam, jatuh miskin, peperangan dsbnya. Saya baru merasai saat yang memeritkan bila tidak dapat mengeluarkan wang dari ATM kerana kerosakan cip kad. Bayangkanlah ketika kita amat memerlukan wang tiba-tiba wang yang diharapkan hanya berada di dalam perut mesin yang kaku dan tidak berdaya membaca perasaan kita.Bank pula ditutup keranabercuti panjang pada hujung tahun. Oh peritnya saat itu. Alhamdulillah, masih ada stok makanan sejukbeku di dalam peti ais yang dapat dimasak untuk anak-anak. Sesungguhnya Allah akan menguji manusia dengan ketakutan, kelaparan dan kesakitan untuk menguji siapakah yang bersabar di antara kamu. Marilah mengajar anak-anak kita hidup sederhana kerana sesuatu yang tidak kita duga dan bayangkan boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Kata Allah" Kun Fayakun:Jadilah engkau, maka benda itu pun jadi."

No comments: