Thursday, January 28, 2010

Ragam Hidup




Begitu cepat masa berlalu. Minggu ini kita sudah sampai ke penghujung bulan Januari. Murid-murid saya di tadika sudah dapat menyesuaikan diri walaupun masih ada seorang dua murid yang masih menangis ditinggal ibu. Sebagai orang lama saya sering bertemu berbagai ragam murid dan ibubapa. Meskipun tahun berbeza tetapi adakala sikap manusia ini tetap sama , tidak berubah-ubah.

Sebaik mungkin kami cuba menyelesaikan dengan baik. Cuma yang membezakan murid dahulu dan sekarang ialah disegi pendedahan awal. Jika murid dahulu akan takut dan gerun bila guru menaikkan suara tetapi murid hari ini siap bertanya" Kenapa cikgu tak mau rotan kami?" Sudah pasti saya dan guru-guru lain akan mencari jawapan yang paling lojik dan boleh diterima akal mereka yang masih muda ini. Murid-murid sekarang bila diajak bermain dan bersenam di luar sering berkata" Cikgu saya tak mau main, saya tak suka peluh-peluh". Budak-budak kalau dipujuk lama-lama dia dengar juga cakap kita, tetapi kalau ibu sendiri memberitahu " Cikgu, esuk tak payah suruh anak saya main kat luar, biar dia main kat dalam sahaja" Macamana tu, sedangkan kita ni cubalah ingin mengikut segala draf standart kurikulum pra sekolah yang KPM cadangkan. Manalah nak ada keseimbangan antara fizikal, kognatif dan emosi mereka.








Kata Saidina Omat ra. didiklah anak kamu mengikut zaman mereka. Pada pengamatan saya hari ini kita gagal mendidik generasi muda kita menjadi  generasi yang kuat. Jatuh sedikit ibubapa sudah bersungut, anak mengadu kawan buat mereka cepat melatah , menyalahkan guru tak menjaga anak-anak mereka betul-betul sedangkan kalau mereka menjaga sendiri anak mereka di rumah adakah mereka dapat menjamin anak mereka tidak luka, tidak jatuh atau terseliuh. Inikan proses pembesaran ,sudah pasti ada kesan dan parut di sana sini. Insyaallah, sebagai orang yang diamanahkan menjaga anak-anak dengan sedikit imbuhan atau upah sudah pasti keselamatan anak-anak adalah menjadi keutamaan. Sebagai manusia kita juga tidak mampu lepas dari sifat lalai, leka dan lupa jadi sepatutnya saling ada give and take barulah ada keharmonian.Jika ibubapa tidak menaruh sepenuh kepercayaan kepada cikgu yang mendidik anak mereka memang susahlah kami menjalankan tugas.

Walaupun sering disebut customers always right tetapi kalau ada customers yang memandang rendah dan lekeh kepada guru-guru tadika saya sangat menyesali sikap begini. Guru tadika anak-anak mereka bukanlah bibik yang boleh diarah itu dan ini. Kalau bercakap pun main keluar hang -aku  sahaja naik merah juga muka saya menahan marah. Begitulah kata orang tua-tua ular menyusur akar tak kan hilang bisanya, manusia tidak dipandang pada pangkat darjatnya tetapi pada kehalusan budinya. Pengalaman bergaul dengan ramai orang yang berpangkat tetapi halus budinya membuatkan saya merasa kasihan kepada mereka yang cuba menunjukkan kuasa dan pangkatnya  sedangkan di belakang mereka orang hanya menjuihkan mulut dan mencerca mereka.

Begitulah hidup di dunia. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Sebaik-baik cara mengelak persengketaan ialah berbincang mencari win-win situation. Agar tak kalah menjadi abu atau tak menang menjadi arang.

2 comments:

Misk said...

Aiii kat tadika pun ada gak komplen . Ingatkan kat sek men aja.. Tu lah ibu bapa skrg selalu anggap cik gu ni 3rd class profesion.Tak sedar depa pandai tu sapa yang ajar.. Kan cik gu juga...

Ibu Alin said...

Hari ni alin lambat lg ke tadika..tiba kat gate teacher dah cekak pinggang (main2) sebab semalam teacher pesan suruh datang awal nak ke padang...hehehe