Ketika suami memandu saya leka melihat sawah di kiri kanan Lebuhraya PLUS. padi di bendang abah dan emak juga sudah mula menguning. Sawah yang terletak berhampiran dengan airport Alor Setar itu masih memberikan hasil selagi masih ada tenaga tua yang sanggup mengerjakannya. Tahun lepas ketika padi mula menguning juga abah baru ditimpa stroke. Sudah setahun rupanya kehidupan abah dan emak berubah. Sekarang kehidupan emak berlegar di sekitar rumah. Sekali-sekala kami mempelawa abah beralih angin ke rumah tetapi abah tetap dengan gelengannya. Mujurlah bila suami saya memujuk mahu juga abah mengikut. Kesian emak, tetapi apa kan daya tempat isteri sudah pasti di sisi suami. Berbakti selagi daya . Bila melihat pohon padi meliuk-liuk saya selalu teringatkan pantun ini:
Tuai padi antara nampak
esok jangan layu-layuan
intai kami antara nampak
esuk jangan rindu-rinduan.
Pantun ini menjadikan hati saya sebak bila melihat wajah abah dan emak. Adakah saya sudah cukup 'mengintai' mereka sementara nampak, agar tidak rindu-rinduan bila mereka sudah tidak nampak di mata kelak?
No comments:
Post a Comment