Ketika kecil saya selalu hairan bagaimana datuk saya boleh bangun seawal 4.30 pagi . Bersolat dan membaca qur'an sambil menanti hampir subuh untuk bertarahim di masjid. Dia sering juga menyuruh saya bangun awal untuk mengulangkaji pelajaran ketika bersekolah menengah. Liatnya nak bangun, nak menolak selimut dan menadah air paip yang sejuk bagaikan ais itu Tuhan sahaja yang tahu. Kini bila anak-anak pulang dari asrama begitulah juga situasi mereka. Jika tidak dikejutkan sebelum saya ke masjid mungkin juga mereka akan solat subuh di pinggir waktu atau lagi malang terbabas terus.
Bila sudah masuk usia senja ini baru saya memahami bagaimana datuk boleh bangun awal pagi. Bila sudah beralih usia sedikit demi sedikit Allah cabut nikmat dari hidup kita. Nikmat tidur sudah tidak senyenyak zaman muda dulu. Hari ini orang bercakap tentang tidur yang berkualiti pula. Sampaikan sudah dicipta ubat bagi membantu mereka yang tidak dapat tidur dengan nyenyak.
Jika tidur pun minda masih bekerja. Memikir hal di siang hari dan segala macam tugasan yang tidak pernah selesai. Kalau pun mata terpejam sudah pasti seawal 2 -4 pagi pasti sudah terjaga. Bagi mereka yang memgerti ketika inilah masa yang sangat dituntut untuk berwudu dan melakukan solat tahajjud.Bermunajat ,memohon dan menangisi segala kesilapan yang telah lalu. Airmata yang mengalir kerana memohon ampun dari Allah tidak akan disentuh api neraka.
Ketika ini juga kita akan berperang dengan nafsu dan syaitan. Bangun atau tidak? Bangun atau tidak..dan dalam tarik menarik itu kebanyakannya mata akan kembali terlelap dan sedar-sedar azan subuh sudah berkumandang di puncak menara. Kita pasti bingkas bangun sambil memarahi diri kerana terleka dengan pujukan tadi. Jadi apa yang perlu dilakukan sudah pasti bersegera membersih diri, berwudhu dan segera tunaikan solat subuh. Saya mendengar ceramah seorang ustaz "Jika kita sentiasa menunaikan ibadat sunat dan wajib semasa kita sihat dan mampu Allah tetap akan mencatat kita tetap mengerjakan ibadat tersebut ketika kita sakit dan tidak berdaya nanti". Marilah bersegera bermujahadah ketika tenaga masih ampuh, kaki masih kuat berdiri dan mata masih terang untuk menatap ayat-ayat Allah. Semua ini hanyalah pinjaman yang tidak mustahil akan diambil kembali Yang Empunya tanpa sebarang amaran atau petanda. Janganlah kita menjadi orang yang disebut Allah dalam Suroh Al Baqarah: 216 ini.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik buatmu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk buatmu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"
No comments:
Post a Comment